Di Kolaborasi Cochrane, sains terbuka telah lama menjadi nadi etos kami. Daripada menerbitkan ringkasan bahasa mudah percuma dalam pelbagai bahasa hinggalah kepada penyediaan data kajian, kami sentiasa berusaha untuk menjadikan bukti kami mudah diakses, telus dan berguna kepada seramai mungkin orang.
- Pendapatan daripada Perpustakaan Cochrane membolehkan kami menghasilkan dan menerbitkan ulasan yang berkualiti tinggi.
- Semua ulasan Cochrane boleh diakses dengan percuma selepas 12 bulan, semua protokol dan editorial akan menjadi akses terbuka pada 2025.
- Peruntukan nasional, yang dibayar oleh pembiaya nasional dalam negara, menyediakan akses Perpustakaan Cochrane kepada semua orang di negara itu termasuk pesakit, profesional kesihatan dan penggubal dasar.
- Kami sedang berusaha untuk mengembangkan akses awam ke seluruh dunia melalui peningkatan peruntukan nasional, bukan model tidak saksama yang meletakkan kos kepada pengarang.
Sejak 2013, kami telah menyediakan semua ulasan Cochrane secara percuma 12 bulan selepas penerbitan dan semua protokol tersedia secara percuma serta-merta. Lebih 3 bilion orang di seluruh dunia mempunyai akses segera kepada semua kandungan melalui persetujuan akses nasional dan tawaran akses percuma kami kepada lebih 100 negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Kami ingin pergi lebih jauh untuk memastikan semua orang boleh mendapat manfaat daripada akses kepada bukti Cochrane. Walau bagaimanapun, dalam persekitaran pembiayaan yang mencabar ini, kami masih perlukan pendapatan untuk terus menghasilkan dan menerbitkan ulasan yang dipercayai oleh penyelidik, klinisian dan pembuat dasar di seluruh dunia.
Kami harus mengimbangi cita-cita akses terbuka kami dengan tanggungjawab untuk menjalankan amal secara mampan. Model yang membolehkan kandungan kami percuma, tetapi menghilangkan pendapatan kami untuk menghasilkan atau menerbitkan tidak akan memberi manfaat kepada sesiapa. Hasrat asal kami adalah untuk membuat semua ulasan Cochrane terbuka menjelang 2025 jika kami dapat mengenal pasti sumber kewangan yang mampan, tanpa memberatkan tanggungjawab para pengarang. Walau bagaimanapun, ia jelas tidak mungkin dilakukan dalam skala masa tersebut. Walaupun akses terbuka penuh kekal menjadi hasrat kami, kami perlu realistik tentang tempoh masa ini akan diambil dan sedang meneroka pelbagai cara untuk meluaskan akses kepada kandungan kami dalam masa yang sama.
Berpegang pada prinsip kami
Kebebasan adalah salah satu prinsip teras; kami tidak menerima derma atau tajaan daripada sumber yang bercanggah, seperti syarikat farmaseutikal atau peranti perubatan. Itu menjadikan kami luar biasa dalam kalangan badan amal perubatan dan saintifik, yang kebanyakannya bergantung pada para dermawan korporat untuk membayar bil. Bukan Cochrane. Sebagai badan amal yang menerbitkan penilaian yang saksama untuk intervensi-intervensi perubatan dan diagnostik yang dihasilkan dan dipromosi oleh syarikat, kami mempunyai dasar konflik kepentingan yang kuat untuk melindungi kandungan kami daripada pengaruh yang tidak wajar.
Kami ingin ulasan kami diakses oleh seramai mungkin orang, tetapi tidak akan berkompromi prinsip atau kualiti kami. Kerumitan menghasilkan, menyunting dan menerbitkan ulasan sistematik menjadikan Cochrane kurang sesuai untuk model akses terbuka 'emas' semasa, di mana pengarang membayar yuran untuk menampung kos penerbitan. Mengendali dan menerbitkan ulasan sistematik bukanlah murah dan tidak mudah, dan kerja penting ini perlu dibiaya.
Melabur pada masa hadapan
Memandangkan kami tidak boleh membuat semua akses terbuka serta-merta, kami bekerjasama dengan penerbit kami, Wiley, untuk meluaskan akses global kandungan Cochrane sambil memastikan kami masih boleh terus menghasilkannya.
Kami sedang bekerjasama untuk mengembangkan akses awam percuma ke seluruh dunia. Kini empat belas negara mempunyai peruntukan nasional di mana agensi kerajaan menaja akses awam percuma untuk semua. Pelawat dari negara tersebut tidak menemui sekatan berbayar dan boleh mengakses kandungan Perpustakaan Cochrane tanpa log masuk. Dengan itu, kami ingin membuka kunci kandungan untuk wilayah-wilayah luas apabila sebilangan besar negara serantau melanggan Perpustakaan Cochrane melalui peruntukan negara. Kami akan berusaha ke arah matlamat ini secara kolaboratif dengan kumpulan Cochrane di seluruh dunia, agensi pembiayaan nasional dan Wiley.
Kami berhasrat untuk menjadikan semua protokol ulasan akses terbuka mulai 2025 dan seterusnya dengan lesen CC-BY dan sedang meneroka akses terbuka untuk pengeluaran lain seperti editorial dan ringkasan bahasa mudah. Kami akan terus melabur dalam jurnal akses terbuka kami, Sintesis Bukti dan Kaedah Cochrane, membantu komuniti sintesis bukti global untuk mengikuti perkembangan metodologi terkini. Kami juga mungkin menambah jurnal akses terbuka lain kepada pangkalan data teras produk kami pada masa hadapan.
Memandang ke hadapan
Kami masih mengusahakan butiran peralihan jangka panjang kepada akses terbuka, tetapi kami yakin akan mencapai solusi mampan yang mengimbangi keperluan pengarang, pembaca dan pelanggan. Kolaborasi Cochrane diasaskan 30 tahun lalu untuk mengisi jurang bukti yang penting, dan kami perlu kekalkan pendapatan dan integriti untuk memastikan kami dapat terus memenuhi misi dalam dekad akan datang. Kami mengharapkan sokongan anda dalam perjalanan ini sambil terus berusaha untuk menghasilkan bukti kesihatan terbaik dan boleh diakses oleh semua, di mana sahaja.