Apakah manfaat dan risiko bronkodilator yang disedut dalam kalangan bayi pramasa baru lahir untuk mencegah dan merawat penyakit paru-paru?

Mesej utama

• Kami temui hanya dua kajian tentang penggunaan bronkodilator yang disedut (tarikan nafas) (ubat-ubatan yang mengembangkan saluran udara untuk membantu pernafasan) bagi mencegah penyakit paru-paru kronik dalam kalangan bayi pramatang.

• Bukti dari satu kajian mencadangkan penggunaan bronkodilator salbutamol tidak lebih berkesan berbanding plasebo (ubat palsu) untuk mencegah kematian atau penyakit paru-paru kronik.

• Adalah tidak jelas jika salbutamol mempunyai kesan ke atas risiko pneumotoraks (paru-paru musnah); kedua-dua kajian tidak melaporkan kesan buruk (tidak diingini atau mudarat) bronkodilator.

Apakah displasia bronkopulmonari?

Bayi yang lahir terlalu awal ('pramasa'), terutamanya sebelum 28 minggu kehamilan, berisiko lebih tinggi untuk kematian, penyakit paru-paru dan gangguan otak berbanding bayi yang lahir pada masanya atau hampir masanya. Misalnya, sesetengah bayi ini boleh mengalami kecacatan intelek, buta atau pekak. Penyakit paru-paru kronik adalah masalah lazim dalam kalangan bayi pramasa yang tidak boleh bernafas dengan sendiri dan perlukan bantuan, sama ada melalui ventilasi mekanikal atau pernafasan bantuan mesin).

Apakah bronkodilator?

Bronkodilator adalah ubat-ubatan yang boleh meluaskan saluran udara di paru-paru. Ia telah digunakan untuk merawat penyakit paru-paru kronik kerana potensinya membuka saluran udara kecil di paru-paru bayi pramasa. Memberi bronkodilator kepada bayi pramasa boleh mencegah penyakit paru-paru kronik. Bronkodilator boleh disedut (melalui alat sedut, juga dikenali sebagai puffer), diambil melalui mulut atau disuntik, atau diambil melalui nebuliser (alat yang menjadikan bronkodilator semburan atau kabus yang lebih mudah disedut). Kesan negatif yang mungkin termasuklah paras kalium rendah, degupan jantung pantas, ritma jantung abnormal, getaran, tekanan darah tinggi, paras gula tinggi dan paru-paru musnah.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu jika bronkodilator dapat kurangkan risiko:

• kematian atau penyakit paru-paru kronik; atau

• memberi kesan yang tidak diingini, termasuk paras kalium rendah, kadar degupan jantung yang pantas, ritma jantung abnormal, getaran, tekanan darah tinggi dan paras gula tinggi; atau

• menyebabkan pneumotoraks (paru-paru musnah).

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang melihat kepada bronkodilator dalam kalangan bayi yang lahir terlalu awal. Kami membanding dan merumus keputusan-keputusan kajian dan menilai keyakinan terhadap kebolehpercayaan bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami sertakan dua kajian dalam ulasan ini, tetapi salah satunya tidak melaporkan hasil yang kami ingini. Dalam satu kajian, 173 bayi pramasa baru lahir yang berisiko penyakit paru-paru kronik dirawat dengan salbutamol, bronkodilator, atau plasebo.

Salbutamol mungkin memberi sedikit atau tiada beza kepada kematian dan penyakit paru-paru kronik berbanding plasebo. Adalah tidak jelas jika salbutamol mempunyai kesan terhadap risiko pneumotoraks. Salbutamol dalam kajian ini diberikan pada dos 200 mikrogram setiap 4 jam, selama 28 hari.

Kajian ini tidak melaporkan sebarang kemungkinan kesan buruk salbutamol.

Tiada kajian yang sedang berlangsung tentang kesan bronkodilator dalam kalangan bayi pramasa.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak yakin dengan bukti kematian dan penyakit paru-paru kronik kerana keputusan penuh hanya tersedia untuk satu kajian.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini adalah terkini sehingga Mei 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Dikemaskini oleh Cochrane Malaysia. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Tools
Information