Keberkesanan ubat antikolinergik untuk merawat individu dengan sindrom pundi kencing yang terlalu aktif

Soalan ulasan

Kami ingin melihat sama ada satu kumpulan ubat, yang dipanggil antikolinergik, memberikan perbezaan kepada individu yang mempunyai sindrom pundi kencing yang terlalu aktif (OAB) jika dibandingkan dengan rawatan plasebo (palsu). Kam mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini.

Latar belakang

Sindrom pundi kencing yang terlalu aktif adalah masalah biasa, terutamanya apabila seseorang semakin berusia. Ini bermakna anda mungkin tiba-tiba merasakan keperluan untuk pergi ke tandas (dipanggil 'episod mendesak'), atau tiba-tiba terkeluar sedikit air kencing. Pundi kencing yang terlalu aktif adalah disebabkan oleh otot pundi kencing anda kehilangan kawalan secara tidak dijangka. Ia kadangkala dipanggil 'pundi kencing yang merengsa', 'otot dekstrusor terlalu aktif', 'inkontinens mendesak' atau 'sindrom frekuensi-terdesak'.

Ubat antikolinergik sering diberikan kepada individu yang mempunyai pundi kencing yang terlalu aktif. Ubat-ubatan ini bekerja dengan merehatkan otot-otot dan boleh membantu beberapa gejala pundi kencing yang terlalu aktif, seperti kebocoran atau keperluan pergi ke tandas dengan segera.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Kami mengkaji bukti yang tersedia sehingga 14 Januari 2020.  Kami mengemas kini carian ini pada 3 Mei 2022, tetapi keputusan carian tersebut masih belum dimasukkan sepenuhnya ke dalam ulasan ini.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 104 kajian di dalam ulasan ini. Tujuh puluh satu daripadanya adalah kajian baharu atau telah dikemas kini sejak kali terakhir ulasan ini diterbitkan pada tahun 2006.

Dua belas daripada kajian ini tidak melaporkan bilangan peserta yang terlibat dalam penyelidikan mereka. Secara keseluruhan, merujuk kepada semua kajian selain daripada yang di atas, seramai 29,682 peserta diberi ubat antikolinergik berbanding 17,424 peserta yang diberi plasebo. Kajian terkecil terdiri daripada 18 peserta manakala kajian terbesar mempunyai 2334 peserta. Kebanyakan kajian yang kami sertakan dalam ulasan ini dijalankan selama 12 minggu. Satu kajian menyiasat gejala hanya pada lelaki, manakala sembilan melihat gejala pada wanita. Kajian selebihnya melihat kepada kedua-dua lelaki dan wanita.

Kami hanya memasukkan kajian yang menggunakan ubat antikolinergik yang diambil melalui mulut, dan hanya pada dos yang biasanya ditetapkan oleh doktor kepada pesakit. Sepanjang kajian, sembilan ubat antikolinergik berbeza telah dimasukkan: darifenacin; fesoterodine; imidafenacin; oxybutynin; propantheline; propiverine; solifenacin; tolterodine dan trospium.

Sumber dana kajian

Tujuh puluh kajian yang dimasukkan dalam ulasan ini dibiayai oleh syarikat yang membuat dan menjual ubat-ubatan tersebut.

Keputusan utama

Kami mendapati bahawa orang yang mengambil ubat antikolinergik untuk pundi kencing yang terlalu aktif mungkin merasakan perubahan positif dalam kualiti hidup mereka. Selain itu, keputusan kami menunjukkan bahawa lebih ramai pesakit mungkin akan merasakan simptom pundi kecing terlalu aktif mereka bertambah baik atau sembuh jika dibandingkan dengan mereka yang mengambil rawatan plasebo.

Pengambilan ubat antikolinergik mungkin mengakibatkan sedikit pengurangan dalam bilangan episod mendesak untuk kencing dan bilangan pergi ke tandas dalam satu hari dikalangan individu dengan pundi kencing yang terlalu aktif.

Dua puluh dua orang dalam setiap 100 orang yang diberi ubat antikolinergik merasakan mereka mengalami mulut kering sebagai kesan sampingan ubat, berbanding 6 dalam 100 orang yang mengambil plasebo. Oleh itu, pengambilan antikolinergik boleh meningkatkan risiko mengalami mulut kering. Antikolinergik juga boleh mengakibatkan peningkatan retensi air kencing: kurang daripada 2 dalam setiap 100 orang merasakan mereka tidak dapat mengosongkan pundi kencing mereka sepenuhnya selepas mengambil ubat antikolinergik berbanding dengan kurang daripada 0.5 dalam setiap 100 orang selepas mengambil plasebo. 

Kesimpulan pengarang

Kami mendapati bahawa ubat antikolinergik boleh mengakibatkan perubahan kecil tetapi penting kepada kualiti hidup seseorang dan gejala pundi kencing yang terlalu aktif yang mereka hadapi, namun tidak jelas sama ada perubahan ini boleh dikekalkan dalam jangka masa yang panjang. 

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information