Apakah faedah dan risiko larutan bergaram hipertonik melalui penebula untuk merawat bayi dengan bronkiolitis akut, berbanding larutan garam biasa?

Mesej utama

Berbanding dengan pengewapan garam biasa, pengewapan garam hipertonik boleh mengurangkan penginapan hospital hampir 10 jam untuk bayi yang dirawat dengan bronchiolitis akut; boleh meningkatkan 'skor keterukan klinikal', yang digunakan oleh doktor untuk menilai keterukan penyakit; dan boleh mengurangkan risiko kemasukan ke hospital sebanyak 13% di kalangan kanak-kanak yang dirawat sebagai pesakit luar atau di jabatan kecemasan.

Kami mendapati hanya kejadian buruk yang kecil dan diselesaikan secara spontan (seperti batuk yang semakin teruk, gelisah, bronkospasme, bradikardia, desaturasi, muntah dan cirit-birit) daripada penggunaan pengewapan garam hipertonik apabila diberikan dengan rawatan untuk melegakan saluran pernafasan (bronkodilator).

Keyakinan kami terhadap bukti adalah rendah hingga sangat rendah; kajian besar masa depan diperlukan untuk mengesahkan faedah pengewapan bergaram hipertonik untuk kanak-kanak dengan bronchiolitis akut.

Apakah bronchiolitis akut?

Bronkiolitis akut adalah jangkitan saluran bawah pernafasan yang paling lazim dalam kalangan kanak-kanak berusia sehingga dua tahun. Bronkiolitis berlaku apabila struktur kecil (bronkiol) yang menuju ke paru-paru dijangkiti, menyebabkan keradangan, bengkak, dan penghasilan lendir. Ini menyebabkan pernafasan menjadi sukar. terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang sangat kecil, yang mengalami batuk dan berdehit.

Disebabkan bronkiolitis biasanya disebabkan virus, rawatan ubat biasanya tidak berkesan. Garam hipertonik (larutan air garam steril yang kuat atau sangat pekat) yang diambil sebagai kabus halus dengan menggunakan penebula mungkin membantu melegakan berdehit dan kesukaran bernafas.

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada larutan bergaram hipertonik melalui penebula berkesan dan selamat untuk rawatan bayi dengan bronkiolitis akut, berbanding larutan bergaram biasa.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan pengewapan larutan garam hipertonik (≥ 3%) sahaja atau digabungkan dengan bronkodilator berbanding pengewapan garam biasa (0.9%) atau rawatan standard untuk bayi dengan bronchiolitis akut. Kami menggabungkan keputusan merentasi kajian yang disertakan.

Apa yang telah kami dapati?

Kami sertakan sebanyak 34 kajian melibatkan 5205 bayi dengan bronkiolitis akut. Sebelas kajian menunggu penilaian. Sembilan kajian tidak mempunyai pembiayaan, dan lima kajian dibiayai oleh sumber kerajaan atau agensi akademik. Baki 20 kajian tidak menyediakan sumber pembiayaan. Pengewapan bergaram hipertonik mungkin mengurangkan penginapan di hospital selama 9.6 jam berbanding dengan garam normal untuk bayi yang dimasukkan kerana bronkiolitis akut. Skor keterukan klinikal bayi meningkat sedikit apabila diberikan pengewapan bergaram hipertonik berbanding dengan garam biasa. Ia masih tidak jelas sama ada pengewapan bergaram hipertonik boleh mengurangkan bilangan hari untuk menyelesaikan gejala. Pengewapan bergaram hipertonik juga mungkin mengurangkan risiko hospitalisasi sebanyak 13% dalam kalangan kanak-kanak yang dirawat sebagai pesakit luar atau di jabatan kecemasan. Walau bagaimanapun, garam hipertonik mungkin tidak mengurangkan risiko kemasukan semula ke hospital selepas keluar. Kami mendapati hanya kejadian buruk yang kecil dan diselesaikan secara spontan (seperti batuk yang semakin teruk, gelisah, bronkospasme, bradikardia, desaturasi, muntah dan cirit-birit) daripada penggunaan pengewapan bergaram hipertonik apabila diberikan dengan bronkodilator.

Apakah batasan bukti tersebut ?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah rendah hingga sangat rendah, dan penyelidikan lanjut berkemungkinan mengubah keputusan ulasan ini. Tiga faktor utama mengurangkan keyakinan kami terhadap bukti. Pertama, dalam beberapa kajian kanak-kanak tidak diletakkan secara rawak ke dalam kumpulan rawatan yang berbeza, yang bermaksud bahawa sebarang perbezaan antara kumpulan mungkin disebabkan oleh perbezaan antara orang dan bukannya rawatan. Kedua, terdapat ketidakkonsistenan dalam keputusan merentas kajian.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 13 Januari 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information