Latar belakang
Antara 10% dan 20% penduduk Barat didapati menghidap penyakit batu hempedu. Malahan, 1% hingga 4% daripada mereka akan mengalami gejala-gejala penyakit batu hempedu. Pembuangan pundi hempedu (kolesistektomi) adalah rawatan utama untuk pesakit yang mengalami gejala-gejala penyakit batu hempedu. Kolesistektomi laparoskopik (pembedahan lubang kunci untuk membuang pundi hempedu) adalah pilihan kaedah pembedahan yang lebih diterima. Kolesistektomi laparoskopik dianggap kurang sakit daripada pembedahan terbuka.
Ulasan sistematik sebelum ini telah menunjukkan bahawa pemberian anestetik setempat (ubat yang menyebabkan kebas pada sebahagian badan) ke dalam abdomen (perut) mungkin berkesan dan dikaitkan dengan kadar rendah dalam kejadian buruk yang serius. Walau bagaimanapun, bukti sokongan adalah berkualiti sangat rendah. Kami menjalankan ulasan ini untuk mengemas kini bukti dengan kajian-kajian yang diterbitkan baru-baru ini.
Carian kajian dan ciri-ciri kajian
Kami mencari pangkalan literatur perubatan sehingga 19 Januari 2021. Kami mencari secara lanjut berdasarkan senarai rujukan kajian yang diperoleh. Kami juga mencari sumber-sumber lain untuk mengenal pasti kajian-kajian yang tidak diterbitkan atau sedang dijalankan sehingga 10 September 2021.
Kami mengenal pasti 85 kajian yang telah lengkap dan antaranya 76 kajian (4957 pesakit yang menjalani kolesistektomi laparoskopik) menyumbang data kepada sekurang-kurangnya satu daripada hasil ulasan ini. Majoriti peserta adalah cergas dan sihat dan menjalani kolesistektomi laparoskopik secara terancang. Peserta dibahagikan secara rawak untuk menerima anestetik setempat (atau tidak) untuk memastikan kumpulan yang dibandingkan adalah serupa seboleh mungkin.
Pembiayaan
Tujuh kajian menerima pembiayaan untuk penyelidikan mereka daripada badan-badan luar dan tiga kajian daripada ini dinilai berisiko konflik kepentingan. 17 kajian yang lain mengisytiharkan tiada pembiayaan.
Keputusan utama
Tiada kematian dicatatkan dalam lapan kajian yang melaporkan kematian. Tiga belas kajian melaporkan kesan-kesan sampingan yang serius (contohnya, kadar jantung atau tekanan darah rendah) dan tidak menunjukkan perbezaan dalam kadar kesan-kesan sampingan antara pesakit yang menerima anestetik setempat dan pesakit yang menerima kawalan. Kesemua kajian tidak melaporkan kualiti kesihatan yang berkaitan kehidupan. Dua belas kajian melaporkan tempoh penginapan hospital selepas pembedahan dan menunjukkan perbezaan kecil dalam tempoh penginapan antara kumpulan intraperitoneoum dan kumpulan bukan suntik ke dalam intraperitoneoum. Tiga kajian melaporkan pesakit dibenarkan pulang ke rumah pada hari yang sama selepas pembedahan dan tidak menunjukkan perbezaan antara anestetik setempat dan kawalan. Skor kesakitan adalah lebih rendah dalam kumpulan yang menerima anestetik intraperitoneoum berbanding dengan mereka yang menerima kawalan pada empat hingga lapan jam (57 kajian; 4046 peserta) dan sembilan hingga 24 jam (52 kajian; 3588 peserta) seperti yang diukur dengan skor analog visual (carta daripada 1cm hingga 10cm untuk menunjukkan tahap kesakitan). Tiada kajian yang melaporkan kembali ke aktiviti harian atau kembali bekerja.
Selain itu, kami menemui dua kajian yang masih dijalankan dan satu kajian yang telah lengkap tetapi tanpa hasil yang diterbitkan. Tiga kajian tersebut didaftarkan pada kajian berdaftar WHO.
Kepastian bukti
Majoriti kajian adalah berisiko tinggi berat sebelah yang bermakna terdapat kemungkinan kesimpulan yang salah kerana cara kajian dijalankan. Bagi kebanyakan hasil kajian, tahap kebimbangan yang tinggi mengenai ketidaktepatan keputusan kami menyumbang kepada pengurangan kepastian dalam kesimpulan kami. Ini bermakna kita tidak pasti tentang di mana nilai kesan sebenar terletak. Secara keseluruhannya, kekuatan bukti dinilai sebagai kepastian yang sangat rendah atau rendah yang bermaksud manfaat atau kemudaratan anestetik setempat untuk kolesistektomi laparoskopik mungkin lebih besar atau lebih kecil daripada yang sebenar.
Kesimpulan
Kejadian buruk yang serius jarang berlaku (bukti kepastian yang sangat rendah). Kami menemui bukti kepastian sederhana bahawa anestetik setempat intraperitoneoum mungkin mengakibatkan pengurangan tempoh penginapan di hospital. Kami tidak menemui sebarang bukti yang jelas bahawa instilasi anestetik setempat intraperitoneoum menjejaskan bilangan pesakit yang dibenarkan pulang ke rumah pada hari yang sama selepas pembedahan. Kami mendapati bahawa pemberian anestetik setempat intraperitoneouml mengurangkan skor kesakitan selepas kolesistektomi laparoskopik dalam percubaan rawak, tetapi kepastian bukti ini adalah rendah.
Penyelidikan lanjut
Kajian yang lanjut diperlukan. Kajian-kajian sedemikian harus merangkumi hasil kajian seperti kualiti hidup, masa yang diambil untuk kembali ke aktiviti normal dan masa yang diambil untuk kembali bekerja. Faktor-faktor sedemikian penting untuk orang yang menjalani kolesistektomi laparoskopik dan orang yang menyumbang dana untuk rawatan.
Diterjemahkan oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my