Mesej utama
– Multidisiplin dan intervensi fizikal berkemungkinan lebih berguna bagi individu dengan kanser untuk kembali bekerja.
– Intervensi psiko-pendidikan mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan untuk kembali bekerja, dan kami tidak pasti tentang kesan intervensi vokasional.
Apakah isu utama ulasan ini?
Setiap tahun, lebih ramai individu dengan kanser pulih selepas diagnosa dan rawatan untuk kanser. Ramai individu dengan kanser hidup dengan baik, walaupun mereka akan mengalami masalah jangka panjang seperti kelesuan, kesakitan dan kemurungan. Kesan jangka panjang ini mungkin akan menyebabkan masalah penglibatan mereka dalam pekerjaan. Disebabkan itu, kanser ialah penyebab penting ketidakhadiran daripada bekerja, pengangguran dan persaraan awal. Individu dengan kanser, ahli keluarga dan masyarakat secara amnya menanggung sebahagian besar beban ini. Dalam ulasan Cochrane ini, kami telah menilai sejauh mana individu dengan kanser boleh dibantu untuk kembali bekerja.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sekiranya intervensi bukan perubatan adalah lebih baik berbanding dengan penjagaan biasa untuk meningkatkan peluang kembali bekerja. Kami juga ingin mengetahui sekiranya intervensi tersebut membawa kepada kualiti hidup yang lebih baik. Kami telah mempertimbangkan empat jenis intervensi:
– intervensi psiko-pendidikan (penghidap kanser mempelajari tentang kesan sampingan fizikal, stres dan keupayaan menghadapi masalah, dan mereka turut serta dalam perbincangan secara berkumpulan);
– intervensi vokasional (ditujukan kepada isu di tempat kerja);
– intervensi fizikal (penghidap individu dengan kanser turut serta dalam senaman fizikal seperti berjalan); dan
– intervensi pelbagai disiplin (kaunseling vokasional, pendidikan pesakit, kaunseling pesakit, senaman fizikal atau kombinasi tersebut).
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami telah mencari penyelidikan yang telah melihat kepada intervensi yang ditujukan kepada peningkatan individu dengan kanser untuk kembali bekerja dengan bergaji (pekerja atau bekerja sendiri). Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan penyelidikan tersebut, dan menilai tahap keyakinan terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang telah kami temui?
Kami telah menemui 15 kajian yang melibatkan 1477 individu dengan kanser yang mengukur kembali bekerja. Semua kajian telah dijalankan dalam negara berpendapatan tinggi. Sembilan kajian ditujukan kepada individu dengan kanser payu dara dan dua kajian kepada lelaki yang menghidap kanser prostat.
– Intervensi psiko-pendidikan berkemungkinan menhasilkan sedikit atau tiada perbezaan terhadap kembali bekerja atau kualiti hidup.
– Intervensi fizikal dan intervensi multidisiplin mungkin menyebabkan banyak individu dengan kanser kembali bekerja berbanding dengan penjagaan biasa yang diterima. Intervensi fizikal berkemungkinan membantu 50 hingga 244 setiap 1000 indivdu yang kembali bekerja di atas purata 627 setiap 1000 individu yang kembali bekerja tanpa intervensi. Intervensi pelbagai disiplin mungkin membantu 69 hingga 219 individu setiap 1000 lebih kembali bekerja. Intervensi ini boleh mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kualiti hidup.
– Kami kurang pasti tentang kesan intervensi vokasional terhadap individu kembali bekerja.
Apakah batasan bukti?
Kami sederhana yakin bahawa intervensi fizikal dan pelbagai disiplin kemungkinan meningkatkan bilangan individu dengan kanser kembali bekerja. Keyakinan kami telah berkurang disebabkan beberapa penyelidikan tidak melaporkan dengan jelas macam mana ianya dijalankan. Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti berkaitan intervensi psiko-pendidikan, dan kami tiada keyakinan terhadap bukti intervensi vokasional. Sebab utama yang mengurangkan keyakinan kami adalah kajian yang menggunakan kaedah yang berkemungkinan mempunyai ralat dalam keputusan mereka, dan kami mendapati terdapat hanya satu kajian kecil tentang intervensi vokasional. Penyelidikan lanjutan mungkin menukar keputusan ulasan ini.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini terkini sehingga Ogos 2021.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).