Apakah faedah dan risiko penggunaan statin untuk wanita dengan sindrom ovari polisistik yang tidak mencuba untuk hamil?

Mesej utama
1. Kami tidak pasti sama ada statin boleh menambah baik kadar kitaran haid yang teratur, hirsutisme (pertumbuhan rambut yang berlebihan), jerawat, atau tahap testosteron (hormon seks lelaki).
2. Tiada kajian melihat kepada ovulasi spontan.
3. Statin mungkin tidak meningkatkan risiko kesan sampingan yang tidak diingini, walaupun begitu buktinya adalah terhad.

Apakah sindrom ovari polisistik?

Wanita dengan sindrom ovari polisistik (polycystic ovary syndrome, PCOS) mungkin mengalami masalah haid yang tidak teratur, hirsutisme (pertumbuhan rambut yang berlebihan pada bahagian badan di tempat rambut/bulu biasanya tumbuh pada lelaki, termasuk muka, dada, dan belakang), dan jerawat kerana lebihan androgen (tahap hormon lelaki tinggi). Keadaan ini boleh melibatkan wanita pada semua peringkat umur, tetapi paling kerap berlaku pada mereka yang masih mempunyai haid.

Bagaimanakah sindrom ovari polisistik boleh dirawat?

Statin adalah ubat yang membantu menurunkan paras lipid 'jahat' (lemak) dalam darah untuk mencegah penyakit jantung; ia juga boleh mencegah keadaan metabolik yang lain. Tahap hormon lelaki (testosteron) yang tinggi adalah salah satu ciri PCOS yang paling menonjol. Keadaan ini dipanggil androgen berlebihan, dan ia dikaitkan dengan beberapa gangguan sistem metabolik seperti kerintangan insulin, diabetis, dan peningkatan risiko penyakit jantung. Oleh itu, mengurangkan tahap hormon lelaki boleh memberi manfaat kepada wanita dengan PCOS. Statin mungkin mengganggu pengeluaran hormon lelaki, tetapi tidak jelas sama ada ia boleh mengurangkan tahap testosteron secara langsung. Penggunaan statin untuk jangka panjang mungkin mempunyai risiko yang tertentu. Oleh itu, adalah penting untuk menilai faedah dan risiko statin pada wanita dengan PCOS.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada terdapat mana-mana jenis statin bermanfaat untuk wanita dengan PCOS yang tidak cuba untuk hamil secara aktif. Kami berminat dengan kesan statin pada:

1. meningkatkan kadar kitaran haid yang teratur dan ovulasi; dan
2. mengurangkan lebihan rambut, jerawat, dan paras testosteron.

Kami juga ingin mengetahui sama ada statin mempunyai sebarang kesan yang tidak diingini. Ini adalah kemaskini ulasan yang pertama diterbitkan pada 2011.

Apakah yang telah pengulas buat?

Kami telah mencari kajian yang menilai statin berbanding dengan plasebo (rawatan palsu), tiada rawatan, atau ubatan lain, terhadap wanita dengan PCOS yang tidak cuba untuk hamil. Kami hanya berminat dengan kajian yang memasukkan setiap wanita kepada satu atau rawatan lain secara rawak. Kajian jenis ini memberi bukti yang paling boleh dicercayai mengenai kesan rawatan. Berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian, kami telah membuat perbandingan dan rumusan hasil-hasil kajian serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti tersebut.

Apa yang kami dapati?

Kami memasukkan enam kajian yang mendaftarkan sejumlah 396 wanita. Empat kajian telah dijalankan di Eropah (265 wanita), satu di Amerika Syarikat (20 wanita), dan satu di Iran (111 wanita). Syarikat farmaseutikal telah membiayai tiga kajian.

Keputusan utama

Kami tidak pasti sama ada statin meningkatkan kadar kiataran haid yang teratur berbanding dengan plasebo, atau statin dan metformin berbanding dengan metformin sahaja. Tiada kajian melaporkan penyambungan semula ovulasi. Kami tidak pasti sama ada statin menambah baik hirsutisme, jerawat, atau kadar testosteron. Semua kajian yang merekodkan kesan yang tidak diingini mendapati tiada perbezaan yang jelas dalam kesan yang tidak diingini antara kumpulan wanita yang mengambil statin dan kumpulan rawatan yang lain.

Apakah had bukti yang ada?

Kami memasukkan bilangan kajian yang sangat sedikit, yang kebanyakannya melibatkan bilangan peserta wanita yang sedikit, dan hasilnya sangat tidak konsisten merentas kajian. Atas sebab-sebab ini, kami mempunyai keyakinan yang rendah terhadap bukti tersebut.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 7 November 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria(Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information