Apakah tujuan ulasan ini?
Tujuan tinjauan ini adalah untuk membandingkan kedudukan yang berbeza dan frekuensi penyusunan semula untuk mengetahui cara yang paling berkesan dalam mencegah kecederaan tekanan dalam kalangan orang dewasa tanpa mengira risiko atau persekitaran penjagaan kesihatan. Kami mengumpulkan dan menganalisis semua kajian yang relevan (iaitu ujian terkawal secara rawak, sejenis kajian di mana peserta ditugaskan ke salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak, dan yang memberikan bukti kesihatan yang paling dipercayai) untuk menjawab soalan ini dan mendapati lapan percubaan yang relevan dan dua penilaian ekonomi.
Kami dapati keberkesanan frekuensi penyusunan semula adalah tidak jelas dalam versi 2014 tinjauan ini. Kemas kini ini merangkumi hasil kajian baru yang dilakukan sejak itu.
Mesej-mesej utama
Tidak ada bukti yang jelas mengenai manakah yang paling berkesan antara kedudukan tertentu dan frekuensi penyusunan semula untuk mencegah kecederaan tekanan dalam kalangan orang dewasa. Ini sebahagiannya disebabkan oleh kualiti kajian yang rendah, yang kebanyakannya memiliki jumlah peserta yang sedikit dan kurang terperinci mengenai kaedah kajian. Terdapat juga bukti yang terhad untuk menyokong keberkesanan kos tentang frekuensi dan kedudukan penyusunan semula yang berbeza. Terdapat keperluan untuk penyelidikan lebih lanjut untuk mengukur kesan penyusunan semula pada perkembangan kecederaan tekanan dan untuk mencari rejimen penyusunan semula yang terbaik berbanding dengan frekuensi dan kedudukan.
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Kecederaan tekanan, juga disebut ulser tekanan, luka tekanan, ulser dekubitus, dan luka baring, adalah disebabkan oleh tekanan dan gosokan pada titik-titik tulang yang menanggung berat badan. Kecederaan tekanan ditunjukkan oleh kawasan kerosakan setempat pada kulit atau tisu yang mendasari tulang yang menonjol. Kecederaan tekanan berlaku paling kerap pada orang tua, atau mereka yang tidak bergerak.
Penyusunan semula adalah salah satu strategi yang digunakan bersama dengan strategi lain untuk mencegah perkembangan kecederaan tekanan. Penyusunan semula melibatkan menggerakkan seseorang ke kedudukan yang berbeza untuk mengagihkan semula tekanan dari bahagian tertentu tubuh. Kami ingin mengetahui rejimen penyusunan semula mana yang paling berkesan untuk mencegah kecederaan tekanan pada orang dewasa. Kami melihat kesan penyusunan semula yang berbeza terhadap persepsi kepuasan, kesakitan, dan kualiti hidup. Kami juga berminat untuk membandingkan keberkesanan kos tentang pendekatan penyusunan semula yang berbeza.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Kami mengenal pasti lapan ujian klinikal dan dua analisis ekonomi yang diterbitkan antara 2004 dan 2018 yang melibatkan 3941 peserta. Umur peserta adalah antara 55 hingga 90 tahun. Tiga ujian klinikal membandingkan frekuensi penyusunan semula menggunakan penyusunan semula setiap 2-, 3-, 4-, atau 6-jam. Tiga ujian lain membandingkan kedudukan condong yang berbeza.
Dua ujian yang dimasukkan juga melibatkan analisis keberkesanan kos. Tidak ada kajian yang melaporkan kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, kesakitan prosedur, atau kepuasan pesakit.
Bukti untuk menyokong penggunaan satu frekuensi dan kedudukan penyusunan semula yang tertentu daripada yang lain untuk mencegah kecederaan tekanan adalah rendah kualitinya dan jumlahnya terbatas, oleh itu kedudukan atau kekerapan penyusunan semula yang paling berkesan dalam mengurangkan perkembangan kecederaan tekanan adalah tidak jelas. Tiada kajian yang dimasukkan melaporkan tentang kesakitan, kepuasan, atau kualiti hidup peserta. Hasilnya tidak dapat disimpulkan, dan kepastian bukti dalam kajian-kajian yang disertakan adalah rendah hingga sangat rendah.
Sejauh mana ulasan ini dikemas kini?
Kami mencari kajian yang diterbitkan hingga Februari 2019.
Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my