Soalan ulasan
Kami telah mengulas bukti mengenai kesan tambahan rawatan steroid dalam individu yang menghidap jangkitan influenza.
Latarbelakang
Kebanyakan individu penghidap influenza mengalami demam, sakit kepala, dan batuk dan bertambah baik tanpa menerima rawatan khusus. Bagaimanapun, sebilangan kecil pesakit mengalami jenis influenza yang lebih parah yang perlu dimasukkan ke dalam unit penjagaan rapi Pesakit-pesakit ini lazimnya diberikan steroid sebagai sebahagian rawatan mereka, walaupun bukti yang menyokong penggunaan steroid dalam keadaan ini adalah kontroversial.
Ciri-ciri kajian
Kami telah mencari kajian-kajian yang membandingkan rawatan steroid tambahan dengan rawatan tanpa steroid tambahan dalam kalangan pesakit influenza. Buktinya adalah terkini sehingga 3 Oktober 2018. Kami telah mengenal pasti 30 kajian yang melibatkan 99,224 individu; satu dari kajian ini adalah kajian klinikal. Sebahagian besar kajian mengkaji orang dewasa penghidap influenza pandemik yang dimasukkan ke hospital dalam tahun 2009 dan 2010.
Keputusan utama
Kami menemui satu kajian klinikal yang relevan, tetapi mempunyai bilangan peserta yang sangat kecil (n = 24) dengan influenza yang telah disahkan makmal. Kepastian bukti daripada kajian pemerhatian sediada yang terdapat adalah sangat rendah. Kami mendapati pesakit influenza yang menerima rawatan steroid tambahan mungkin mempunyai risiko kematian yang lebih besar berbanding mereka yang tidak menerima rawatan steroid. Jangkitan daripada hospital merupakan 'kesan sampingan' utama bagi rawatan steroid yang dilaporkan dalam kajian yang dimasukkan; kebanyakan kajian melaporkan risiko jangkitan daripada hospital yang lebih tinggi dalam kumpulan yang dirawat dengan steroid. Bagaimanapun, adalah tidak jelas samada penghidap influenza yang lebih parah telah dipilih untuk menerima rawatan steroid. Seterusnya, kami tidak dapat menentukan sama ada rawatan steroid tambahan dalam penghidap influenza adalah benar-benar berbahaya atau tidak. Kajian klinikal lanjutan berkaitan steroid tambahan dalam rawatan individu dengan influenza adalah diperlukan. Buat masa ini, penggunaan steroid dalam influenza masih kekal sebagai pertimbangan klinikal.
Kepastian bukti
Dalam satu kajian terkawal terdapat hanya 24 peserta dengan jangkitan influenza yang telah disahkan, dan terdapat representasi bukan sebenar (‘under-representation’) pesakit yang paling teruk dalam unit jagaan rapi dan yang mengalami sepsis.
Bukti-bukti yang lain ialah dari kajian pemerhatian, dan kami klasifikasikan kepastian bukti ini sebagai sangat rendah. Limitasi utama adalah indikasi bagi terapi kortikosteroid tidak dinyatakan sepenuhnya dalam kebanyakan kajian; kortikosteroid mungkin telah digunakan sebagai usaha terakhir dalam pesakit yang mempunyai penyakit paling teruk, atau sebaliknya ia telah digunakan bagi merawat penyakit yang kurang teruk yang terjadi bersama seperti serangan asma. Dilihat dalam beberapa kajian terdapat tahap kaitan yang tinggi antara penggunaan kortikosteroid dan terdapatnya faktor pembauran (‘confounding’) yang berpotensi seperti keterukan penyakit dan penyakit-penyakit tersirat, yang mencadangkan pembauran oleh indikasi untuk kortikosteroid adalah berkemungkinan jika tidak dilaraskan untuk penentuan anggaran kesan. Kami mencatat pelaporan yang tidak konsisten bagi pembolehubah penting lain yang boleh dikaitkan kepada kematian berkaitan influenza dalam seluruh kajian, termasuk masa kemasukan ke hospital, penggunaan dan masa ubat antivirus dan antibiotik, dan jenis, dos, masa dan tempoh terapi korticosteroid. Tambahan pula, bagi kajian yang mana maklumat ini dilaporkan, terdapat perbezaan antara kajian dalam cara keterukan penyakit diukur, masa tepat kematian dinilai, dan perkadaran kes dan kawalan yang dirawat dengan antivirus dan/atau antibiotik dan dalam jenis, dos, masa, dan tempoh terapi kortikosteroid.
Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my