Soalan ulasan
Ulasan ini mengkaji kelegaan sakit selepas pembedahan abdomen. Kami membandingkan pemberian kendiri ubat-ubatan yang melegakan sakit seperti morfin menggunakan mesin yang dihubungkan dengan titisan intravena (IVPCA) berbanding kelegaan sakit yang diberi ke dalam tisu di sekeliling kord spina dalam ruang kanal spina (epidura) menggunakan sama ada pemberian kendiri dengan pam yang boleh diprogram (PCEA) atau pam berterusan yang pra-program (CEA). Epidural menggunakan ubat seperti morfin atau anestetik setempat, atau kedua-duanya. Kami menilai sejauh mana kaedah ini berkesan mengurangkan sakit dan kemungkinan kesan-kesan yang tidak diingini.
Latar belakang
Kelegaan sakit yang cukup adalah penting untuk pemulihan yang baik selepas pembedahan dan memperbaiki keupayaan untuk menarik nafas dalam dan bangun dari katil selepas pembedahan. Pesakit dengan kawalan sakit yang teruk berisiko untuk komplikasi serius seperti jangkitan dada dan pembentukan klot darah di paru-paru. Pada masa sama, kelegaan sakit boleh menghasilkan kesan sampingan dan komplikasi. Dua alternatif kelegaan sakit yang lazim dan paling berkesan adalah opioid (misalnya morfin) yang disuntik ke dalam titisan intravena setiap kali pesakit menekan butang (IVPCA) dan kelegaan sakit epidural, di mana ubat-ubatan diberi ke dalam ruang epidural di sekeliling korda spina. Ulasan sistematik sebelum ini telah mencadangkan bahawa teknik epidural mungkin memberikan bantuan kelegaan sakit yang lebih baik daripada IVPCA.
Tarikh carian
Kami mencari pangkalan data elektronik dan daftar kajian utama dengan teliti untuk kajian rawak (sejenis kajian di mana peserta diletakkan ke kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) membandingkan IVPCA dengan teknik epidural. Kami juga mencari senarai rujukan untuk kajian-kajian relevan untuk kajian yang lebih layak. Bukti adalah terkini sehingga September 2017.
Ciri-ciri ulasan
Kami sertakan 32 kajian (1716 peserta). Sebanyak 869 peserta menerima analgesia epidural dan 847 menerima analgesia intravena. Kajian epidural memasukkan 16 kajian dengan CEA (418 peserta) dan 16 kajian dengan PCEA (451 peserta). Semua peserta adalah orang dewasa yang menjalani pembedahan intra-abdominal dalam persekitaran hospital.
Keputusan-keputusan utama
Ulasan kami menunjukkan teknik epidural memberi kelegaan sakit yang lebih baik daripada IVPCA; walau bagaimanapun, bagi keadaan rehat, perbezaan adalah kecil (antara 5 dan 9 mata pada skala 100 mata) dan mungkin tidak penting kepada pesakit. Apabila bergerak perbezaan adalah lebih besar dan mungkin penting. Walau bagaimanapun, terdapat kemungkinan besar kegagalan untuk menentukan teknik analgesik epidural dengan jayanya, dan episod tekanan darah rendah yang memerlukan rawatan dan gatal ketika menggunakan pendekatan epidural. Kadar kematian dalam kajian yang dimasukkan adalah sangat rendah sehingga kami tidak dapat menyimpulkan apakah kematian lebih mungkin dengan pendekatan ini atau pendekatan yang satu lagi.
Kualiti bukti
Kami menganggap kualiti keseluruhan metodologi kajian-kajian yang disertakan adalah sederhana atau rendah, yang sebahagiannya disebabkan oleh kekurangan usaha untuk menyembunyikan teknik yang diguna kepada peserta dan penyelidik dalam kebanyakan kajian, dan sebahagiannya kerana kebanyakan kajian adalah kecil, dan keputusannya tidak jitu.
Kesimpulan
Terdapat manfaat tambahan kecil dari segi kelegaan sakit apabila menggunakan teknik epidural. Manfaat yang agak kecil perlu diimbangi dengan potensi risiko memasukkan kateter epidural, khususnya kegagalan untuk meletakkan kateter di tempat yang betul untuk mendapatkan kelegaan sakit yang baik dan kejadian tekanan darah rendah dan gatal yang memerlukan rawatan.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.