Soalan ulasan
Ulasan ini menilai kesan mendengar muzik pada insomnia (kesukaran tidur) pada orang dewasa dan impak faktor-faktor yang boleh mempengaruhi kesannya.
Mesej utama
Kami mendapati muzik memberikan kesan berfaedah pada kualiti tidur. Untuk hasil yang lain, kami tidak menemui bukti berkualiti tinggi yang cukup kerana bilangan peserta yang terlalu sedikit dan mereka yang melakukan pemarkahan data juga sedar akan rawatan.
Apakah insomnia?
Di seluruh dunia, jutaan orang mengalami insomnia. Seseorang boleh mengalami kesukaran untuk tidur, tetap tidur atau mungkin mempunyai kualiti tidur yang rendah.
Kekurangan tidur mempengaruhi kesihatan fizikal dan mental seseorang. Akibat kekurangan tidur adalah merugikan, untuk kedua-dua individu dan masyarakat. Ramai orang yang mendengar muzik untuk menambahbaik tidur mereka, tetapi kesan mendengar muzik adalah tidak jelas.
Apa yang kami buat?
Kami mencari pangkalan data elektronik untuk mengenal pasti kajian yang berkaitan. Kami menyertakan 13 kajian dengan 1007 peserta. Kajian itu membandingkan kesan mendengar muzik dengan rawatan seperti biasa atau tiada rawatan. Rawatan seperti biasa boleh jadi pendidikan kebersihan tidur (mempelajari satu set ritual untuk membantu tidur) atau penjagaan standard untuk peserta yang mengalami insomnia yang berkaitan dengan keadaan perubatan kronik. Kajian mengkaji kesan mendengar muzik yang dirakam setiap hari, selama 25 hingga 50 minit, selama tiga hari hingga tiga bulan. Tujuh daripada kajian yang disertakan melaporkan pembiayaan daripada majlis penyelidikan kebangsaan atau sumber universiti, dan satu kajian melaporkan pembiayaan daripada dana swasta. Lima kajian tidak melaporkan sebarang sumber pembiayaan.
Apa yang kami dapati?
Sepuluh kajian mengukur kualiti tidur, dan keputusan menunjukkan bahawa muzik mungkin membantu peningkatan besar dalam kualiti tidur berbanding tanpa rawatan atau rawatan seperti biasa. Kami tidak tahu sama ada mendengar muzik memberikan kesan kepada keterukan insomnia (kesukaran untuk mula atau tetap tidur) atau berapa kali seseorang itu bangun (tidur tidak nyenyak) berbanding dengan tiada rawatan atau rawatan seperti biasa. Mendengar muzik boleh menambahbaik sedikit tempoh latensi permulaan tidur (secepat manakah seseorang mula tidur), tempoh tidur (jangka masa seseorang tidur) dan kecekapan tidur (masa seseorang tidur berbanding dengan jumlah masa yang dihabiskan di atas katil), berbanding dengan tiada rawatan atau rawatan seperti biasa. Tiada kajian yang melaporkan sebarang kesan negatif akibat mendengar muzik.
Apakah batasan bukti?
Kualiti bukti daripada 10 kajian yang mengkaji kualiti tidur adalah sederhana. Keyakinan kami terhadap bukti kualiti tidur hanya sederhana kerana peserta kajian sedar akan rawatan manakah yang telah mereka terima dan mereka yang melakukan pemarkahan data juga kadangkala menyedari akan rawatan manakah yang peserta perolehi, yang boleh menimbulkan berat sebelah. Kami mempunyai keyakinan yang rendah terhadap bukti mengenai keterukan insomnia kerana kajian yang sangat kecil dan kajian telah dijalankan pada pelbagai jenis orang yang tahu rawatan manakah yang telah mereka terima. Keyakinan kami terhadap bukti mengenai tempoh latensi permulaan tidur, tempoh tidur dan kecekapan tidur adalah rendah kerana kajian menggunakan kaedah yang sangat berbeza untuk mengukur hasil ini, dan mereka yang terlibat dalam kajian sedar akan sifat rawatan tersebut. Kami mempunyai keyakinan yang rendah terhadap bukti mengenai gangguan tidur kerana kajian menggunakan kaedah yang berbeza dan menunjukkan keputusan yang berbeza. Tambahan pula, peserta-peserta kajian tahu akan rawatan manakah yang mereka terima.
Kajian pada masa akan datang harus menilai aspek-aspek tidur yang lain selain melihat ukuran fungsi pada siang hari, seperti perasaan, keletihan, tumpuan, dan kualiti hidup.
Sejauh mana bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini hingga 31 Disember 2021.
Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Hull). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my