Ubat untuk melegakan sakit di kalangan kanak-kanak dengan jangkitan telinga tengah akut

Mesaj utama

Bukti terkini tentang keberkesanan ubat penahan sakit, secara tunggal atau gabungan, dalam melegakan sakit telinga di kalangan kanak-kanak dengan jangkitan telinga tengah akut (otitis media akut (AOM)) adalah terhad.

- Kedua-dua parasetamol (asetaminofen) dan ibuprofen sebagai rawatan kendiri mungkin lebih berkesan daripada plasebo dalam melegakan sakit telinga untuk jangka pendek di kalangan kanak-kanak dengan AOM. Kami tidak pasti sama ada terdapat perbezaan kesan antara ibuprofen dan parasetamol dan antara ibuprofen ditambah parasetamol dan parasetamol sahaja, oleh itu mengelakkan daripada menbuat sebarang kesimpulan yang kukuh.

- Penyelidikan lanjutan diperlukan untuk mengkaji peranan ibuprofen sebagai rawatan tambahan kepada parasetamol, serta ubat penahan sakit lain seperti ubat tahan sakit titisan telinga, untuk kanak-kanak dengan AOM.

Apakah AOM?

AOM, atau jangkitan telinga tengah akut, adalah salah satu jangkitan di kalangan kanak-kanak yang paling biasa dan biasanya didahului oleh jangkitan virus saluran pernafasan atas. Sakit telinga adalah gejala utama dan penting dalam pengalaman kanak-kanak dan ibu bapa terhadap penyakit itu.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada ubat penahan sakit adalah berkesan untuk melegakan sakit telinga di kalangan kanak-kanak dengan AOM dan antara ubat yang mana satu, secara bersendirian atau bersama-sama, melegakan kesakitan secara paling berkesan.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian tentang keberkesanan parasetamol (asetaminofen) atau ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs seperti ibuprofen), secara bersendirian atau digabungkan, berbanding dengan plasebo (rawatan dummy) atau tiada rawatan dalam melegakan kesakitan pada kanak-kanak berumur enam bulan hingga 16 tahun dengan AOM yang tidak dirawat di hospital. Kami juga ingin menilai keberkesanan NSAID berbanding dengan parasetamol di kalangan kanak-kanak tersebut. Kami membandingkan dan meringkaskan keputusan kajian-kajian tersebut dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kesan.

Apakah yang kami dapati?

Maklumat yang sedia ada adalah sangat terhad untuk menilai betapa berguna ubat penahan sakit untuk melegakan sakit telinga pada kanak-kanak dengan AOM. Satu kajian membandingkan parasetamol dengan plasebo (148 kanak-kanak) dan NSAID dengan plasebo (146 kanak-kanak). Kami mendapati bahawa apabila digunakan secara bersendirian, parasetamol dan ibuprofen mungkin lebih berkesan daripada plasebo dalam melegakan sakit telinga pada 48 jam (25% kanak-kanak yang menerima plasebo mengalami kesakitan pada 48 jam berbanding 10% dalam parasetamol dan 7% dalam kumpulan ibuprofen). Empat kajian (411 kanak-kanak) membandingkan ibuprofen dengan parasetamol di kalangan kanak-kanak dengan AOM. Buktinya sangat tidak tentu tentang kesan ibuprofen berbanding dengan parasetamol dalam melegakan sakit telinga untuk jangka pendek di kalangan kanak-kanak dengan AOM. Buktinya sangat tidak tentu terhadap kesan parasetamol dan ibuprofen dalam kejadian buruk.

Bilangan peserta yang sangat terhad menghalang kami daripada membuat sebarang kesimpulan yang kukuh tentang kesan ibuprofen ditambah parasetamol berbanding dengan parasetamol sahaja.

Apakah batasan bukti?

Disebabkan oleh isu seperti had kajian dan persoalan tentang kebolehgunaan bukti, kami mempunyai keyakinan yang rendah terhadap bukti untuk semua perbandingan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti dalam ulasan ini adalah terkini setakat 23 May 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini. Diterjemah oleh Lai Pei Kuan (IMU University). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Tools
Information