Mesej utama
Pencegahan dan rawatan ensefalopati hepatik dalam pesakit yang mengalami sirosis, sebahagiannya bergantung pada penggunaan senyawa laktulosa. Kini, Rifaximin tidak digunakan untuk merawat ensefalopati hepatik, sebaliknya ia digunakan secara ubat tambahan kepada laktulosa bagi membantu pencegahan ensefalopati hepatik pada mereka yang mempunyai tindak balas yang tidak mencukupi terhadap laktulosa.
Kami mendapati bahawa gabungan rifaximin dengan laktulosa dapat meningkatkan kesan rawatan ensefalopati hepatik, mengurangkan risiko mengalami kesan sampingan dan kematian selain daripada mencegah jatuh sakit lagi pada masa depan.
Penggunaannya secara berleluasan dalam pengurusan orang yang mengalami ensefalopati hepatik perlu dipertimbangkan.
Apakah sirosis dan ensefalopati hepatik?
Sirosis adalah keadaan jangka panjang di mana tisu parut (fibrosis) menggantikan tisu hati normal, selalunya diakibatkan oleh pengambilan alkohol berlebihan, kegemukan, atau mengalami jangkitan hepatitis B/C kronik. Kebiasanya, orang dengan sirosis mengalami keadaan yang disebut ensefalopati hepatik yang akan menjejaskan kedua-dua fungsi mental dan saraf. Keadaan ini boleh mendatangkan kesan negatif pada kelangsungan hidup mereka. Sebab sebenar bagi mereka yang mengalami sirosis masih tidak diketahui, tetapi toksin ammonia yang dihasilkan terutamanya dalam usus dianggap memainkan peranan yang penting. Keparahan gejala ensefalopati hepatik berkisar dari simptom minor pada fungsi mental hingga perubahan yang jelas dalam pergerakan, status mental, dan kesedaran. Perubahan minor dalam penumpuan, tingkah laku, dan fungsi seharian dikelaskan sebagai ensefalopati hepatik minima. Keluarbiasaan dan perubahan kesedaran yang lebih jelas dikelaskan sebagai ensefalopati hepatik secara jelas (overt hepatic encephalopathy). Simptom yang jelas tersebut mungkin berlaku dalam episod ataupun berlaku secara berpanjangan.
Bagaimanakah ensefalopati hepatik dirawat?
Disakarida yang tidak diserap (gula), laktulosa dan laktitol adalah rawatan yang paling umum digunakan untuk ensefalopati hepatik. Melalui pelbagai cara, mereka mengurangkan tahap ammonia dalam darah, terutamanya dalam usus. Sebenarnya, Rifaximin adalah suatu antibiotik yang tidak dapat diserap ke dalam aliran darah tetapi berfungsi sepenuhnya dalam usus. Ia mengurangkan pengeluaran ammonia oleh bakteria dalam usus dan penyerapan ammonia ke dalam sistem darah. Kesan ini mungkin memberi manfaat kepada orang yang mengalami ensefalopati hepatik.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui bahawa penggunaan rifaximin dalam pencegahan dan rawatan ensefalopati hepatik pada orang yang mengalami sirosis, keberkesanannya berbanding dengan tanpa rawatan ubat, pil tiruan (plasebo), atau disakarida yang tidak boleh diserap, sama ada terdapat manfaat tambahan jika rifaximin digunakan bersama dengan disakarida yang tidak diserap; serta jika terdapat kesan-kesan sampingan yang tidak diingini.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang merangkumi orang yang mengalami sirosis atau berisiko mengalami ensefalopati hepatik yang melibatkan perbandingan antara rifaximin dengan tanpa rawatan, plasebo atau disakarida yang tidak diserap. Tambahan pula, kami juga mencari kajian yang melibatkan penggunaan rifaximin bersama dengan tambahan disakarida yang tidak diserap dibandingkan dengan hanya disakarida yang tidak dapat diserap secara tunggal.
Berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian, kami telah membuat perbandingan dan rumusan hasil-hasil kajian serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti tersebut.
Apa yang kami dapati?
Kami telah mengenalpasti 41 kajian klinikal yang melibatkan 4545 orang, yang diperuntukkan secara rawak kepada kumpulan rawatan. Semua peserta yang mengalami sirosis terutamanya akibat pengambilan alkohol yang berlebihan atau hepatitis virus kronik. Peserta dikelaskan sebagai memiliki ensefalopati hepatik akut (13 kajian), kronik (7 kajian), minima (8 kajian), atau dianggap berisiko (13 kajian). Kajian-kajian tersebut membandingkan rifaximin dengan plasebo (12 kajian), tiada sebarang intervensi (1 kajian), atau laktulosa/laktitol (14 kajian). Dalam 18 hasil kajian, mereka membandingkan perbezaan dalam kesan-kesan rifaximin diberikan bersama laktulosa/laktitol dengan pemberian laktulosa/laktitol secara tunggal.
Analisi menunjukkan bahawa pemberian rifaximin secara tunggal dapat membantu meningkatkan kualiti hidup dari segi kesihatan dan fungsi mental melalui prestasi ujian pada orang yang mengalami ensefalopati hepatik minima. Walau bagaimanapun, kesan mungkin sama dari laktulosa dan harganya lebih murah. Tiada perbezaan dalam manfaat dan kesan sampingan rifaximin apabila dibandingkan dengan laktulosa/laktitol secara langsung. Namun, apabila rifaximin diberikan bersama dengan laktulosa/laktitol, ia dapat mengurangkan risiko kematian (dari 14.8% kepada 10.1%), risiko terdedah kepada kesan-kesan sampingan yang tidak diingini (dari 34.4% kepada 17.6%), serta penambahbaikan ensefalopati hepatik (dari 86.9% kepada 33.8%).
Apakah batasan-batatan bukti?
Kami tidak pasti atau hanya mempunyai keyakinan sederhana terhadap penemuan kami, bermakna kami tidak boleh membuat kesimpulan yang lebih pasti tentang kesan rifaximin. Terutamanya sebab orang yang melibat dalam kajian mungkin mengetahui rawatan yang perolehi dan tidak semua kajian memberikan data tentang hasil yang kami minati. Selain itu, terdapat banyak kajian yang terlalu kecil untuk memastikan hasil-hasilnya. Kajian tambahan yang berkualiti tinggi diperlukan.
Sejauh manakan bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Januari 2023.
Diterjemahkan oleh Lee Jie Min (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Abdul Rauf Bin Badrul Hisham (Universiti Teknologi MARA). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my