Apakah masalah-masalah tidur dalam individu yang mempunyai demensia?
Individu yang mempunyai demensia sering mempunyai masalah tidur seperti peningkatan dalam tempoh dan bilangan terjaga daripada tidur serta peningkatan bilangan tidur ringan. Hal ini menyebabkan pelbagai masalah terhadap individu yang terjejas dan saudara-mara mereka, juga berkemungkinan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penjaga dan kemasukan individu yang mempunyai demensia ke rumah jagaan atau jagaan di rumah untuk jangka panjang.
Bolehkah intervensi bukan ubatan membantu?
Memandangkan kita tidak tahu sama ada ubatan boleh membantu menambahbaik pola tidur dalam individu yang mempunyai demensia, intervensi bukan ubatan sering disyorkan. Ini termasuk terapi cahaya, aktiviti sosial dan fizikal, perubahan persekitaran (seperti mengurangkan bunyi bising dan cahaya pada waktu malam) atau mengelak daripada tidur pada waktu siang. Selain itu, terdapat juga program intervensi yang terdiri daripada beberapa komponen tersebut (yang dipanggil 'intervensi multimodal’ contohnya kombinasi terapi cahaya dan aktiviti untuk individu yang mempunyai demensia).
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami membuat carian percubaan klinikal yang menguji kesan intervensi bukan ubatan untuk individu yang mempunyai demensia dan mengalami masalah tidur. Kami ingin mengetahui sama ada intervensi atau program tersebut dapat menggalakkan tidur dan mengelak kesan sampingan dalam kalangan individu yang mempunyai demensia dan penjaga mereka.
Apa yang telah kami lakukan?
Kami membuat carian terhadap kajian terkawal rawak (reka bentuk kajian yang biasanya memberikan bukti yang paling boleh dipercayai tentang kesan sesuatu rawatan) dalam menilai mana-mana intervensi bukan ubatan untuk menambahbaik pola tidur dalam individu yang mempunyai demensia. Kami membuat perbandingan dan merumuskan keputusan kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti yang dijumpai berdasarkan beberapa faktor seperti kaedah kajian dan bilangan peserta.
Apakah yang telah kami dapati?
Kami mengenal pasti sebanyak 19 kajian yang melibatkan 1335 orang peserta. Kajian-kajian ini melibatkan seramai 13 hingga 193 orang peserta yang mengalami masalah tidur dan demensia. Kesemua kajian ini menggunapakai satu atau lebih intervensi bukan ubatan (iaitu terapi cahaya, aktiviti fizikal dan sosial, intervensi penjaga, sekatan tidur pada waktu siang, urutan perlahan di belakang tubuh, atau stimulasi eletrik transkranial (kaedah menghantar arus elektrik rendah ke kulit kepala yang dapat mengubah fungsi otak)). Tujuh kajian menilai intervensi multimodal. Kajian-kajian ini menilai pola tidur dalam cara yang berbeza tetapi kebanyakannya menggunakan aktigrafi, iaitu gelang tangan untuk mengukur pola tidur pada waktu malam.
Keputusan utama
– Intervensi aktiviti fizikal, aktiviti sosial, intervensi penjaga, dan intervensi multimodal mungkin sedikit atau sederhana meningkatkan pola tidur pada waktu malam dalam individu yang mempunyai demensia.
– Kami tidak menemui bukti bahawa terapi cahaya, urutan perlahan di belakang tubuh, atau stimulasi elektrik transkranial mengurangkan masalah tidur dalam individu yang mempunyai demensia.
Apakah batasan bukti tersebut ?
Walaupun kami dapat mengambilkira 19 kajian dengan 1335 orang peserta dalam menilai intervensi bukan ubatan untuk mengelakkan gangguan tidur dalam individu yang mempunyai demensia, kami tidak dapat membuat kesimpulan yang kukuh berikutan perbezaan ketara antara intervensi dan kekurangan kualiti dalam metodologi kajian tersebut. Oleh itu, keputusan daripada ulasan ini mesti ditafsirkan dengan berhati-hati dan kajian berkualiti tinggi diperlukan dengan kadar segera.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 13 Januari 2022.
Diterjemahkan oleh Siti Sarah Fazalul Rahiman (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my