Latihan senaman sebelum pembedahan paru-paru dalam kalangan orang dengan kanser paru-paru bukan sel kecil

Soalan ulasan

 Apakah manfaat melakukan senaman sebelum pembedahan kanser paru-paru dan adakah ia selamat pada masa ini?

Latar belakang

Pembedahan paru-paru untuk kanser paru-paru bukan sel kecil menawarkan peluang untuk sembuh; walau bagaimanapun pembedahan paru-paru dikaitkan dengan risiko komplikasi. Melalui latihan senaman sebelum pembedahan yang memperbaik kecergasan, ia mungkin mengurangkan risiko komplikasi paru-paru dan juga memperbaik hasil lain seperti bilangan hari orang perlukan saliran dada (tiub plastik dimasukkan ke dalam dada untuk mengeluarkan cecair atau udara yang mungkin terkumpul selepas pembedahan), dan tempoh inap di hospital. Dalam versi 2017 ulasan ini, kami dapati latihan senaman dikaitkan dengan pengurangan risiko pembentukan komplikasi paru-paru selepas pembedahan, masa yang lebih singkat orang perlukan saliran dada, tempoh inap di hospital yang lebih singkat dan memperbaik kecergasan dan fungsi paru-paru sebelum pembedahan. Walau bagaimanapun, kualiti bukti adalah rendah.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini hingga November 2021. Ulasan ini menyertakan data 636 orang dalam 10 kajian. 

Keputusan utama

Latihan senaman bagi orang dengan kanser paru-paru sebelum pembedahan menghasilkan pengurangan yang besar (55%) risiko pembentukan komplikasi paru-paru berbanding orang yang tidak melakukan senaman sebelum pembedahan. Tiada kesan-kesan sampingan yang dilaporkan semasa senaman. Senaman sebelum pembedahan mungkin selamat. Senaman praoperatif mungkin mengurangkan tempoh inap di hospital selepas pembedahan (kira-kira dua hari) dan ia meningkatkan tahap kecergasan setelah selesai program senaman. Bukti kesannya terhadap masa saliran dada adalah sangat tidak pasti.

Kualiti bukti

Kualiti keseluruhan bukti adalah di dalam julat sangat rendah hingga tinggi terutama disebabkan oleh batasan kaedah kajian, bilangan peserta yang kecil dalam kajian dan keragaman dalam keputusan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Kelly Sze Fang Num (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information