Asid hyaluronik untuk penyembuhan luka kronik

Apakah tujuan ulasan ini?

Matlamat kajian ini adalah untuk menilai kesan asid hyaluronik kepada penyembuhan luka kronik. Asid hyaluronik ialah molekul semulajadi yang terdapat dalam sel manusia. Luka kronik adalah luka yang mengambil masa yang lama untuk sembuh. Ia termasuk ulser tekanan, ulser tapak kaki, dan ulser kaki.

Mesej utama

Kami tidak dapat memastikan sama ada pembalut dan agen topikal yang mengandungi asid hyaluronik adalah lebih berkesan untuk menyembuhkan ulser tekanan atau ulser kaki dalam kalangan penghidap diabetes berbanding pembalut dan agen topikal lain. Apabila digunakan pada orang yang menghidap ulser kaki dan dibandingkan dengan bahan tidak aktif yang disertakan dalam pembalut untuk berfungsi sebagai cara menghantar asid hyaluronik (sarana neutral), asid hyaluronik mungkin menambah baik penyembuhan ulser sepenuhnya dan mungkin mengurangkan sedikit kesakitan dan meningkatkan perubahan saiz ulser. Tidak ada maklumat yang mencukupi untuk memastikan sama ada pembalut dan agen topikal yang mengandungi asid hyaluronik setanding dengan pembalut dan agen topikal lain dari segi kesan sampingan yang berpotensi.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Luka kronik adalah luka yang sukar disembuhkan yang timbul atas pelbagai sebab, termasuk sebagai tindak balas kepada penyakit tersirat. Rawatan termasuk pelbagai jenis pembalut luka atau agen topikal dengan pelbagai guna, termasuk: pengekalan persekitaran penyembuhan yang lembap; pengurangan bakteria yang terdapat dalam luka; dan pencegahan jangkitan.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kesusasteraan perubatan untuk kajian yang menilai kesan asid hyaluronik berbanding dengan pembalut lain. Kami membanding dan meringkaskan keputusan-keputusan tersebut dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian. Kami hanya memasukkan kajian rawak terkawal, sejenis kajian di mana orang diletakkan secara rawak untuk menerima rawatan yang berbeza, kerana ini memberikan bukti kesihatan yang paling dipercayai.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami menjumpai 12 kajian melibatkan sejumlah 1108 peserta. Jantina dilaporkan untuk 1022 peserta (57.24% wanita). Purata umur bersamaan dengan 69.60 tahun. Pembalut yang mengandungi pelbagai kepekatan asid hyaluronik, atau mengandungi asid hyaluronik dalam kombinasi dengan rawatan lain, dibandingkan dengan jenis pembalut lain.

Ianya tidak pasti sama ada asid hyaluronik lebih baik atau lebih teruk dalam menyembuhkan ulser tekanan atau ulser kaki pada penghidap diabetes. Ia juga tidak pasti jika terdapat sebarang perbezaan kesan antara asid hyaluronik dan pembalut lain pada kejadian buruk dan kesakitan pada jenis luka ini. Ini disebabkan oleh kekurangan data untuk dianalisis atau kerana batasan kajian seperti saiz sampel yang kecil dan masalah metodologi.

Dalam ulser kaki, asid hyaluronik mungkin menambah baik penyembuhan ulser yang lengkap jika dibandingkan dengan sarana neutral (4 kajian, 526 peserta), dan mungkin mengurangkan sedikit kesakitan (3 kajian, 337 peserta) dan sedikit meningkatkan perubahan saiz ulser (2 kajian, 190 peserta). Tidak pasti sama ada asid hyaluronik lebih baik atau lebih teruk dalam menyembuhkan ulser kaki jika dibandingkan dengan hidrokoloid (ejen yang membentuk gel apabila terdedah kepada cecair luka), kain kasa parafin atau dextranomer (sejenis pembalut yang menggalakkan penyembuhan luka).

Tiada kajian melaporkan kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan atau luka berulang.

Apakah yang membatasi keyakinan kami terhadap bukti?

Kebanyakan kajian adalah kecil (kurang daripada 100 peserta), dan kebanyakannya (9 daripada 12) menggunakan kaedah yang mungkin telah memperkenalkan ralat dalam keputusan mereka. Tempoh susulan adalah pendek (9 daripada 12 kajian mengikuti peserta selama 60 hari atau kurang), dan kajian tidak direka untuk menilai masa diambil untuk melengkapkan penyembuhan (hanya 1 kajian mengikuti peserta sehingga penyembuhan lengkap).

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Kami mencari kajian yang diterbitkan sehingga Februari 2022.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Wan Anisa Hanim Binti Mohd Nasir@Azman (Klinik Pergigian Kok Lanas). Disunting oleh Wan Rosalina Wan Rosli (Management and Science University).

Tools
Information