Pendedahan kepada bau dan rasa susu untuk mempercepatkan pemakanan bayi pramasa

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti sedia ada daripada kajian-kajian klinikal untuk mengetahui tentang pendedahan bayi yang lahir awal (pramasa) kepada bau dan rasa susu dalam pemakanan yang diberi melalui tiub yang masuk melalui hidung atau mulut ke dalam perut. Kami membandingkannya dengan tidak mendedahkan bayi pramasa kepada bau dan rasa susu semasa suapan tiub, untuk melihat pendekatan mana yang akan mengurangkan masa yang diperlukan untuk mencapai hisapan penuh, tanpa kesan-kesan sampingan.

Latar belakang

Bayi pramasa sering perlu diberi makan melalui tiub nipis yang dimasukkan melalui mulut atau hidung ke dalam perut (orogastrik atau nasogastrik) sehingga mereka mampu menghisap semua pemakanan mereka. Pada mulanya, isipadu susu yang diberikan adalah kecil, dan ditambah pemakanan. Bayi yang diberi makan melalui tiub mungkin tidak merasai bau dan rasa susu kerana susu telah diletakkan terus ke dalam perut. Bau dan rasa mempunyai peranan signifikan dalam mebantu pencernaan dan penyerapan makanan. Oleh itu, memberi susu untuk dibau dan dirasa oleh bayi apabila susu diberi melalui tiub orogastrik atau nasogastrik berpotensi membantu mereka toleran lebih banyak isipadu susu dengan lebih cepat.

Ciri-ciri kajian

Di dalam carian sehingga 1 Jun 2018, kami mengenal pasti tiga kajian lengkap melibatkan 161 bayi pramasa yang dimasukkan ke unit rawatan rapi neonatal (NICU) di sebuah hospital tertiar. Satu kajian melibatkan 51 bayi pramasa, dan setiap bayi mempunyai peluang sama untuk dipilih menerima mana-mana rawatan (kajian rawak terkawal). Satu kajian melibatkan 80 bayi pramatang yang telah dibahagikan kepada kumpulan kawalan dan rawatan (percubaan kuasi rawak). Satu kajian adalah kajian rawak prospektif yang melibatkan 30 bayi, tetapi cara ianya dilaporkan membuat maklumat yang ada tidak cukup untuk disertakan dalam analisis kami.

Keputusan-keputusan utama

Kami mendapati pendedahan kepada bau dan rasa susu dengan tiub pemakanan orogastrik atau nasogastrik tiada kesan jelas terhadap masa untuk mencapai pemakanan hisapan penuh. Satu kajian melaporkan tiada kesan-kesan buruk. Pendedahan kepada bau dan rasa susu juga tiada kesan jelas ke atas masa untuk mencapai pemakanan tiub penuh, toleran pemakanan, insiden jangkitan lewat dan jangkitan usus yang teruk, tempoh nutrisi intravena, dan tumbesaran. Bukti berkualiti sangat rendah daripada dua kajian mencadangkan pendedahan kepada bau dan rasa susu mengurangkan tempoh tinggal di hospital sebanyak hampir empat hari berbanding tiada pendedahan kepada bau dan rasa susu. Walau bagaimanapun, kajian-kajian yang dimasukkan adalah kecil dan mempunyai beberapa batasan dalam perlaksanaannya.

Kesimpulan

Pendedahan kepada bau dan rasa susu melalui tiub orogastrik atau nasogastrik mungkin mengurangkan tempoh hospitalisasi untuk bayi pramasa. Walau bagaimanapun, kesan rawatan ini untuk mempercepat pemakanan bayi pramasa adalah tidak menyakinkan kerana bukti yang terhad dan berkualiti sangat rendah. Kajian masa depan perlu meneroka kesan pendedahan bau dan rasa susu melaui tiub terhadap hasil klinikal penting, seperti masa untuk hisapan penuh, kesan buruk, masa untuk mencapai pemakanan tiub penuh, toleran pemakanan, insiden jangkitan dan tumbesaran.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nur Adila Azman (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi adilaazman68@gmail.com