Pemberian oksigen secara automatik untuk bayi pramatang yang mengalami kesukaran untuk bernafas yang memerlukan sokongan pernafasan

Key messages

1. Bayi pramatang yang menerima pemberian oksigen secara automatik berkemungkinan meluangkan lebih banyak masa dalam julat ketepuan oksigen yang dikehendaki berbanding mereka yang menerima penghantaran oksigen manual rutin. Walau bagaimanapun, tidak jelas sama ada kesan ini dapat mengurangkan risiko kematian, penyakit mata yang teruk, atau masalah perkembangan otak.
2. Kami tidak dapat membuat kesimpulan yang kukuh tentang keberkesanan pemberian oksigen secara automatik berbanding dengan pemberian oksigen secara manual yang telah dipertingkatkan, atau satu sistempemberian secara automatik berbanding dengan yang lain.
3. Terdapat keperluan untuk kajian lanjut bagi menilai kesan-kesan pemberian oksigen secara automatik terhadap hasil klinikal jangka panjang yang penting seperti kematian dan masalah paru-paru, mata, otak dan usus yang utama.

Apakah pemberian oksigen secara automatik?

Pemberian oksigen secara automatik merujuk kepada sistem yang melaraskan jumlah oksigen yang diberikan kepada pesakit secara automatik sebagai tindak balas kepada perubahan dalam bacaan oksigen. Ia adalah alternatif kepada pelarasan manual pemberian oksigen yang dilakukan oleh jururawat atau kakitangan perubatan.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada kawalan automatik pemberian oksigen berfungsi lebih baik daripada kawalan manual pemberian oksigen, atau sama ada mana-mana sistem pemberian oksigen secara automatik berfungsi lebih baik daripada yang lain, pada bayi dengan masalah pernafasan yang dijaga di unit rawatan rapi neonatal.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang menilai:
1. pemberian oksigen secara automatik berbanding dengan pemberian oksigen secara manual; atau
2. satu sistem pemberian oksigen secara automatik berbanding dengan yang lain.

Kami membanding dan merumus keputusan kajian-kajian serta menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan beberapa faktor seperti kaedah kajian dan bilangan peserta.

Apakah yang telah kami dapati?

Kami menyertakan 18 kajian yang melibatkan 457 bayi pramatang yang memerlukan sokongan pernafasan. Enam belas daripada kajian tersebut telah menggunakan reka bentuk silang (menukarkan intervensi yang telah ditetapkan kepada bayi-bayi di separuh jalan sewaktu kajian). Kajian terbesar melibatkan seramai 80 bayi dan kajian terkecil melibatkan lima bayi. Kebanyakan kajian telah dijalankan di Eropah (terutamanya di Jerman dan UK) dan di Amerika Syarikat. Kajian-kajian kebanyakannya dilakukan dalam tempoh masa yang sangat singkat (kurang daripada 24 jam). Enam kajian telah dibiayai oleh pengilang atau peranti pemberian oksigen secara automatik.

Keputusan utama

Dalam kalangan bayi pramatang yang memerlukan sokongan pernafasan, pemberian oksigen secara automatik berkemungkinan meningkatkan peratusan masa dalam julat ketepuan oksigen yang diingini (julat bacaan ketepuan oksigen yang dianggap optimum untuk bayi dan yang cuba dicapai oleh doktor dan jururawat) berbanding dengan pemberian oksigen secara manual rutin, dengan peningkatan purata sebanyak 13.5%. Walau bagaimanapun, tidak jelas sama ada pemberian oksigen secara automatik meningkatkan hasil kajian lain seperti kematian, penyakit mata yang teruk, atau masalah perkembangan otak.

Ia juga tidak jelas sama ada pemberian oksigen secara automatik lebih baik daripada pemberian oksigen secara manual yang telah dipertingkatkan (kawalan manual dengan kakitangan yang lebih baik), dan sama ada satu sistem pemberian oksigen secara automatik lebih efektif dan selamat daripada yang lain.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai keyakinan sederhana dalam penemuan kami yang menyatakan bahawa pemberian oksigen secara automatik berbanding dengan pemberian oksigen secara manual rutin meningkatkan masa dalam julat ketepuan oksigen yang dikehendaki. Walau bagaimanapun, kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap kebanyakan penemuan kami yang lain. Tiga faktor utama yang mengurangkan keyakinan kami terhadap bukti. Pertama, kebanyakan kajian silang tidak menyediakan data yang berasingan untuk setiap tempoh kajian (sebelum dan selepas bayi menukar sistem pemberian oksigen) seperti yang disyorkan. Akibatnya, kami tidak dapat membandingkan kesan-kesan pemberian oksigen secara automatik sebelum dan selepas penyilangan. Kedua, beberapa kajian dengan sangat sedikit peserta menyediakan paling banyak data yang boleh digunakan, dan kebanyakan kajian tidak menilai hasil klinikal yang penting seperti kematian dan penyakit penting yang melibatkan usus bayi dan perkembangan otak jangka panjang. Ketiga, terdapat penemuan yang tidak konsisten antara kajian dalam beberapa hasil kajian.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Carian kami adalah terkini sehingga Januari 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nur Fatin Aqilah binti Suharnizam (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information