Sejauh manakah sokongan dan intervensi psikologi membantu pemulihan dan penyembuhan selepas terdedah kepada keganasan dan penderaan seksual?

Mesej utama

• Kami telah menjumpai bukti bahawa intervensi psikologi atau sosial (secara kolektif dikenali sebagai 'psikososial') boleh mengurangkan gejala gangguan tekanan selepas trauma (post-traumatic stress disorder, PTSD) dan kemurungan pada mangsa yang terselamat daripada rogol, serangan seksual dan penderaan yang dialami semasa dewasa.

• Ulasan kami mencadangkan bahawa intervensi tidak memburukkan gejala atau membawa kepada kesan yang tidak diingini. Walau bagaimanapun, kerana sebilangan besar peserta tercicir daripada rawatan atau tidak melengkapkan penilaian kajian, kepastian penemuan ini tidak jelas. Kajian yang lebih terkini telah melaporkan maklumat dengan lebih baik tentang keselamatan peserta, dan sebab-sebab yang terselamat tidak melengkapkan rawatan atau pemeriksaan kesihatan dan kesejahteraan selepas intervensi.

• Memandangkan kajian menyatukan pelbagai kumpulan peserta, penyelidikan masa depan diperlukan untuk meningkatkan pemahaman tentang intervensi yang paling sesuai untuk kumpulan terselamat yang tertentu, termasuk mereka yang mengalami trauma jangka panjang atau kompleks, serta lelaki dan jantina minoriti. Intervensi yang 'muncul' yang berpotensi untuk mengembangkan pilihan rawatan untuk mangsa yang terselamat juga memerlukan lebih banyak penilaian.

Apakah 'keganasan dan penderaan seksual'?

'Keganasan dan penderaan seksual' bermaksud sebarang aktiviti atau perbuatan seksual yang berlaku tanpa keizinan. Ia termasuk rogol, serangan seksual, penderaan seksual dan gangguan seksual. Ia boleh mengakibatkan masalah kesihatan emosi dan fizikal yang berpanjangan. Kesannya sering bertambah teruk disebabkan oleh ketakutan, rasa malu, perasaan menyalahkan diri sendiri dan tindak balas negatif orang lain.

Bagaimanakah keganasan dan penderaan seksual dirawat?

Mangsa yang terselamat mempunyai pelbagai keperluan fizikal, kesihatan seksual dan penjagaan forensik selepas rogol, serangan seksual atau penderaan. Intervensi psikososial mungkin ditawarkan sebagai tindak balas kepada keperluan ini pada peringkat yang berbeza dalam perjalanan pemulihan yang terselamat. Sesetengah intervensi bertujuan untuk membantu mangsa yang terselamat dengan mendedahkan semula mereka dengan teliti kepada aspek trauma asal untuk 'memproses' apa yang berlaku (cth Terapi Tingkah Laku Kognitif (Congnitive Behavioural Therapy, CBT) yang berfokuskan Trauma). Rawatan lain kurang menumpukan pada kenangan traumatik, sebaliknya membantu mangsa yang terselamat menghadapi kehidupan selepas penderaan (cth pelbagai bentuk kaunseling; pendidikan kesihatan mental; dan sokongan pelbagai keperluan).

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin tahu sama ada intervensi psikososial membantu melegakan kesan kesihatan mental yang dialami oleh mangsa yang terselamat akibat rogol, serangan seksual atau penderaan seksual pada masa dewasa. Kami juga ingin mengetahui sama ada beberapa jenis intervensi lebih membantu daripada yang lain.

Apa yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang membandingkan kesan intervensi psikososial untuk individu yang telah mengalami rogol, serangan seksual atau penderaan seksual dari umur 18 tahun, dengan kumpulan pemboleh ubah kawalan (sekumpulan peserta yang tidak menerima intervensi tetapi sebaliknya diberikan penjagaan biasa mereka, diletakkan dalam senarai menunggu untuk rawatan, atau menerima bantuan yang sangat minimum, seperti risalah). Kami telah mencari perbezaan antara kumpulan mengenai gejala trauma dan kemurungan selepas menerima intervensi; keciciran daripada intervensi (tidak selesai); dan sebarang kesan yang tidak diingini yang berkaitan dengan intervensi atau penyelidikan.

Mengenai kajian dan peserta

Kami telah menjumpai 36 kajian yang secara rawak meletakkan peserta dewasa yang telah memberi keizinan ke dalam intervensi atau kumpulan pemboleh ubah kawalan. Peserta dijemput dari pelbagai persekitaran: komuniti; universiti; tempat di mana orang ramai mendapatkan bantuan untuk kesihatan mental mereka, trauma seksual (cth. pusat pakar serangan seksual dan jabatan kecemasan) atau untuk masalah yang berlaku bersama pengalaman keganasan seksual (cth klinik penjagaan primer); dan melalui permintaan media. Kajian-kajian memasukkan 3992 mangsa yang terselamat; hanya 27 orang lelaki. Enam puluh peratus peserta adalah berkulit hitam atau daripada latar belakang etnik atau budaya minoriti. Umur purata ialah 36 tahun, dan hampir semua mempunyai gejala PTSD.

Kebanyakan kajian dilakukan di Amerika Syarikat (26); terdapat dua dari Afrika Selatan; dua dari Republik Demokratik Congo; dan satu dari Australia, Kanada, Belanda, Sepanyol, Sweden dan UK. Lima kajian tidak mendedahkan sumber pendanaan; manakala kajian lain mendapatkannya dari sumber pendanaan awam.

Lebih separuh daripada intervensi adalah berasaskan CBT. Sokongan kebanyakannya disampaikan satu sama lain oleh profesional kesihatan mental terlatih antara 1 dan 20 sesi.

Apakah yang kami temui?

Mangsa terselamat yang mengambil bahagian dalam intervensi psikososial mungkin mengalami pengurangan besar dalam gejala PTSD dan kemurungan sejurus selepas intervensi selesai. Keciciran di kalangan mangsa yang terselamat yang mengalami intervensi tidak lebih tinggi berbanding kumpulan kawalan, tetapi ini berdasarkan sebilangan kecil kajian. Intervensi psikososial mungkin tidak meningkatkan risiko kesan yang tidak diingini. Hanya tujuh kajian melaporkan 21 kesan yang tidak diingini, menunjukkan kebanyakan penyelidik mungkin tidak memantau kesan negatif intervensi atau penyertaan dalam kajian secara aktif.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap keputusan kerana kebimbangan tentang tahap variasi merentas kajian (cth jenis pengalaman yang terselamat, pelbagai intervensi dan saiz kajian). Ada kemungkinan bahawa pengagihan peserta mungkin tidak sepenuhnya rawak. Tambahan pula, mangsa yang terselamat yang tidak melengkapkan intervensi atau penilaian kajian mungkin berbeza dalam segi yang penting berbanding dengan mereka yang terselamat yang melakukannya (cth mereka mempunyai masalah kesihatan yang lebih baik/lebih teruk).

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Januari 2022.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemahkan oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.

Tools
Information