Pakaian bertekanan untuk mencegah parut hipertropik selepas kecederaan terbakar

Mesej utama

– Kami tidak tahu sama ada terapi pakaian bertekanan adalah lebih berkesan daripada pilihan rawatan parut yang lain (cth. gel/kepingan silikon, urutan dengan lanolin) untuk mencegah parut tebal dan timbul yang luar biasa (parut hipertropik).

– Kajian masa depan harus merangkumi lebih ramai peserta yang dipantau lebih lama; hendaklah melaporkan dengan jelas tentang sebarang rawatan lain yang ditawarkan bersama atau sebagai alternatif kepada terapi pakaian bertekanan; dan mengukur hasil yang paling penting kepada pesakit yang mengalami kecederaan terbakar.

Untuk apa pakaian bertekanan digunakan?

Pakaian bertekanan merupakan pakaian elastik yang ketat (seperti pembalut atau anduh) yang biasanya dipakaikan pada kecederaan terbakar sebaik sahaja luka itu sembuh secukupnya dari segi peniliaian klinikal. Ia dipakai selama 23 jam sehari, biasanya selama 12 hingga 18 bulan. Ketegangan pakaian tersebut dianggap membantu mengurangkan terjadinya parut hipertrofik.

Parut hipertropik terbentuk apabila kulit tidak sembuh secara normal selepas suatu kecederaan. Ini mengakibatkan pembentukan parut yang lebih besar dan boleh menyebabkan rasa sakit, gatal-gatal, dan pergerakan berkurangan di kawasan yang terjejas. Banyak faktor yang terlibat dalam pembentukan parut hipertropik, seperti umur, kumpulan etnik, dan tahap hormon, di samping saiz, ketebalan, dan lokasi luka terbakar, namun tidak banyak yang diketahui mengapa sesetengah orang mendapat parut sebegini.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada pakaian bertekanan berkesan untuk mencegah parut hipertropik berbanding pilihan rawatan parut lain seperti gel dan kepingan silikon, kaedah urutan dengan lanolin, salap yang mengandungi ubat natrium heparin, atau tanpa rawatan.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari kajian rawak terkawal yang membandingkan:

– pakaian bertekanan dengan pilihan rawatan lain; atau

– tahap tekanan berbeza yang dihasilkan oleh pakaian bertekanan;

– pelbagai jenis pakaian bertekanan.

Kajian rawak terkawal merupakan kajian di mana peserta diagihkan secara rawak kepada salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan. Kaedah ini merupakan cara terbaik untuk memastikan kumpulan peserta adalah serupa, dan sebarang perbezaan antara kumpulan adalah disebabkan oleh rawatan yang sedang dinilai.

Kami membandingkan dan meringkaskan keputusan kajian-kajian tersebut dan menilai tahap keyakinan kami terhadap mutu bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang telah kami temui?

Kami telah menemui 15 kajian yang melibatkan 1179 pesakit (kebanyakannya terbakar) dengan luka yang mengakibatkan parut; 14 daripada kajian ini (yang melibatkan 1057 peserta) memberikan data yang boleh digunakan. Kebanyakan kajian melibatkan orang dewasa dan kanak-kanak. Kajian terbesar melibatkan 159 peserta dan kajian terkecil mempunyai 17 peserta. Kajian-kajian tersebut dijalankan di pelbagai negara di seluruh dunia, tetapi kebanyakannya dilakukan di China (lima) dan Amerika Syarikat (lima). Kebanyakan kajian berlangsung selama enam bulan; hanya tiga kajian dijalankan selama 12 bulan atau lebih. Kajian-kajian tersebut meneliti pelbagai hasil yang berkaitan dengan parut, contohnya: ketebalan parut, kemerahan, gatal-gatal, sakit, komplikasi daripada rawatan, atau menggunakan alat penilaian yang merangkumi beberapa ciri parut. Walau bagaimanapun, tidak semua kajian meneliti hasil yang sama.

Kami tidak pasti sama ada pakaian bertekanan (sama ada dengan atau tanpa silikon) dapat meningkatkan hasil yang berkaitan dengan parut berbanding dengan rawatan lain (dengan atau tanpa silikon), memandangkan kualiti bukti yang ada adalah sangat rendah. Kami tidak menemui sebarang bukti untuk menyokong saranan bahawa pakaian bertekanan atau silikon dapat menyebabkan sebarang kemudaratan yang serius, walaupun sejumlah kecil bukti membayangkan pakaian bertekanan mungkin menyebabkan lebih banyak ketidakselesaan; namun, kami tidak pasti tentang perkara ini.

Apakah batasan bukti?

Kami sangat tidak yakin tentang manfaat atau kelebihan atau kemudaratan terapi pakaian bertekanan berbanding dengan terapi rawatan parut yang lain untuk mencegah parut hipertrofik. Kebanyakan kajian hanya melibatkan bilangan peserta yang kecil, dan menggunakan kaedah yang mungkin bermakna beberapa penemuan adalah berat sebelah. Dalam sesetengah kajian, pesakit menyedari rawatan yang mereka perolehi, yang mungkin mempengaruhi cara mereka menilai sebarang penyembuhan parut mereka. Beberapa kajian juga melibatkan pesakit yang mengalami parut yang disebabkan kecederaan selain daripada luka terbakar. Kebanyakan kajian tidak cukup lama untuk menunjukkan perubahan jangka panjang (12 bulan atau lebih) pada parut.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Jun 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).

Tools
Information