Bolehkah pencair darah mencegah orang yang dimasukkan ke hospital dengan COVID-19 daripada mengalami pembekuan darah?

Mesej utama

- Pencair darah dos tinggi mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kadar kematian dan meningkatkan pendarahan kecil berbanding pencair darah dos rendah untuk orang yang dimasukkan ke hospital dengan COVID-19. Memberi pencair darah berbanding dengan tidak memberi pencair darah mungkin mengurangkan kadar kematian.

- Besar kemungkinan kajian baru tidak akan mengubah bukti tentang kesan dos berbeza pencair darah terhadap kadar kematian dan pendarahan kecil. Kajian berkualiti tinggi masih diperlukan untuk menganalisis keperluan untuk sokongan pernafasan tambahan, memberikan pencairan darah berbanding tanpa pencair darah, membandingkan pencair darah yang berbeza dan memberi pencair darah untuk tempoh yang lama.

Apakah COVID-19?

COVID-19 biasanya menjejaskan paru-paru dan saluran udara; namun, selain daripada masalah pernafasan, kira-kira 16% daripada orang yang dimasukkan ke hospital dengan COVID-19 mengalami masalah dengan saluran darah mereka, menyebabkan pembekuan darah terbentuk dalam arteri, vena dan paru-paru. Hampir separuh daripada semua pesakit dengan COVID-19 yang serius dalam unit rawatan rapi mengalami bekuan darah dalam vena atau arteri mereka.

Apakah pencair darah?

Pencair darah adalah ubat yang mencegah bekuan darah yang berbahaya daripada berlaku (thrombosis vena dalam). Namun, ia menyebabkan kesan-kesan yang tidak diingini seperti pendarahan. Sesetengah garis panduan mencadangkan memberi pencair darah apabila pesakit mula-mula dimasukkan ke hospital dengan COVID-19 untuk mencegah pembekuan darah berlaku, daripada menunggu untuk melihat sama ada darah akan membeku dan kemudiannya merawat mereka dengan pencair darah.

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada dengan memberi pencair darah kepada pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan COVID-19 sebagai langkah pencegahan mengurangkan jumlah kematian berbanding dengan pesakit yang tidak menerima rawatan atau yang menerima rawatan plasebo. (rawatan yang kelihatan sama tetapi tanpa bahan aktif) . Kami juga ingin menentukan sama ada individu ini kurang memerlukan sokongan untuk pernafasan, sama ada mereka masih mengalami bekuan darah yang berbahaya, sama ada mereka mengalami pendarahan dan sama ada mereka mengalami peristiwa-peristiwa lain yang tidak diingini.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang menilai pencair darah yang diberi kepada pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan COVID-19 untuk mencegah pembekuan darah. Kajian-kajian tersebut boleh terdiri daripada mana-mana jenis reka bentuk asalkan mereka membandingkan satu pencair darah dengan pencair darah yang lain, tiada rawatan atau plasebo. Kajian-kajian boleh dilakukan di mana-mana sahaja dalam dunia dan peserta-peserta boleh terdiri daripada pelbagai umur asalkan mereka dimasukkan ke hospital dengan penyakit COVID-19 yang disahkan. Kami mengumpulkan keputusan apabila sesuai.

Apakah yang kami temui?

Kami memasukkan tujuh kajian dengan 16,185 orang dimasukkan ke hospital dengan COVID-19 sama ada di unit rawatan rapi, wad hospital atau jabatan kecemasan. Kajian adalah dari Brazil (2), Iran (1), Itali (1), dan AS (1), dan dua melibatkan lebih banyak negara. Peserta dalam kajian ini berumur dari 55 hingga 68 tahun secara purata. Kajian berlangsung dari 15 hingga 90 hari dan memberikan bukti tentang kematian, pendarahan, pembekuan darah, tempoh tinggal di hospital dan kesan yang tidak diingini. Terdapat sedikit atau tiada bukti tentang keperluan untuk sokongan pernafasan (bantuan pernafasan), kematian yang berkaitan dengan COVID-19, dan kualiti hidup.

Dos rawatan pencair darah yang lebih tinggi dibandingkan dengan dos yang lebih rendah (4 kajian, 4647 orang)
Pada orang yang menerima dos pencair darah yang lebih tinggi berbanding dengan dos yang rendah terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kadar kematian. Namun, orang yang menggunakan dos yang lebih tinggi lebih berkemungkinan mengalami pendarahan kecil berbanding mereka yang menggunakan dos yang rendah. Orang yang menerima dos pencair darah yang lebih tinggi berkemungkinan mengurangkan embolisma pulmonari (bekuan darah dalam paru-paru atau saluran darah yang membawa kepada paru-paru), pendarahan besar (lebih teruk) meningkat sedikit, dan mungkin mempunyai sedikit atau tiada perbezaan dalam masa yang dihabiskan di hospital berbanding dengan mereka yang menerima dos pencair darah yang rendah. Pada orang yang menerima dos pencair darah yang lebih tinggi, terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kadar trombosis vena dalam, dan kejadian lain yang tidak diingini berbanding mereka yang menerima pencair darah dos rendah.

Pencair darah dibandingkan tanpa rawatan (3 kajian, 11,538 orang)
Orang yang menerima pencair darah mempunyai kadar kematian yang berkurangan berbanding mereka yang tidak menerima pencair darah, tetapi buktinya sangat tidak pasti.

Apakah batasan bukti?

Kami amat yakin bahawa dos pencair darah yang lebih tinggi tidak mengubah risiko kematian tetapi meningkatkan risiko pendarahan pada orang yang dimasukkan ke hospital dengan COVID-19.

Walaupun keyakinan kami terhadap bukti adalah sangat terhad, orang yang menerima pencair darah mungkin mempunyai kadar kematian yang lebih rendah berbanding mereka yang tidak menerima pencair darah.

Apa yang berlaku seterusnya?

Pencarian kami telah menemui 62 kajian yang sedang berjalan dengan 35,470 orang. Kami merancang untuk menambahkan hasil kajian-kajian ini ke dalam ulasan kami apabila ia telah diterbitkan.

Adakah bukti ini mutakhir?

Bukti adalah terkini hingga 14 April 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nicole Fong Wan June (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information