Adakah penggunaan ubat kumur sebelum prosedur pergigian mengurangkan risiko penularan jangkitan daripada pesakit kepada profesional kesihatan?

Mengapakah soalan ini penting?

Banyak prosedur pergigian menghasilkan titisan yang mendap di permukaan dengan cepat. Jika instrumen berkelajuan tinggi, seperti hanpis, digunakan, aerosol dihasilkan, yang terdiri daripada titisan kecil yang kekal di udara dan yang boleh dihidu atau yang mendap di permukaan yang lebih jauh. Aerosol ini mengandungi pelbagai mikroorganisma dan boleh menyebarkan jangkitan sama ada melalui sentuhan langsung atau tidak langsung melalui permukaan yang tercemar. Untuk mengelakkan penyebaran jangkitan, ia membantu untuk mengurangkan jumlah mikroorganisma yang terdapat dalam aerosol ini. Penggunaan ubat kumur sebelum prosedur pergigian ('pengkumuran mulut praprosedur') telah dicadangkan sebagai salah satu cara untuk mengurangkan jumlah pencemaran aerosol ini. Chlorhexidine, povidone iodine dan cetylpyridinium chloride (CPC) adalah beberapa ubat kumur yang biasa digunakan. Mereka bertindak dengan membunuh atau menyahaktifkan mikroorganisma di dalam mulut dan dengan itu mengurangkan tahap pencemaran dalam aerosol yang dihasilkan. Kami ingin mengetahui sama ada berkumur sebelum prosedur pergigian mengurangkan pencemaran aerosol yang dihasilkan semasa prosedur pergigian dalam amalan dan membantu mencegah penularan penyakit berjangkit.

Bagaimana kami mengenalpasti dan menilai bukti?

Kami mencari semua kajian berkaitan yang membandingkan ubat kumur yang digunakan sebelum prosedur pergigian dengan plasebo (rawatan palsu), tiada intervensi atau ubat kumur lain yang dianggap tidak aktif. Kami kemudiannya membandingkan keputusan, dan merumuskan bukti daripada semua kajian. Akhirnya, kami menilai keyakinan kami terhadap bukti. Untuk melakukan ini, kami mempertimbangkan faktor-faktor seperti cara kajian-kajian dijalankan, saiz kajian, dan konsistensi penemuan merentasi semua kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menjumpai 17 kajian yang memenuhi kriteria kemasukan kami. Kajian-kajian ini menggunakan chlorhexidine, CPC, minyak pati/kumuran mulut herba, povidone iodine dan asid borik berbanding tanpa kumuran, atau berkumur dengan air, garam (air garam) atau ubat kumur yang lain. Tiada kajian yang mengukur kekerapan petugas kesihatan pergigian dijangkiti oleh mikroorganisma. Kesemua kajian yang disertakan mengukur tahap pencemaran bakteria dalam titisan atau aerosol di klinik pergigian. Kajian-kajian ini tidak meneliti pencemaran dengan virus atau kulat.

Kebanyakan kumuran mengurangkan pencemaran bakteria dalam aerosol sedikit sebanyak, tetapi terdapat banyak variasi dalam kesan dan kami tidak tahu saiz pengurangan yang diperlukan untuk mengurangkan risiko jangkitan.

Kajian-kajian tersebut tidak memberikan sebarang maklumat tentang kos, perubahan mikroorganisma dalam mulut pesakit atau kesan sampingan seperti perubahan warna sementara, deria rasa yang berubah, tindak balas alahan atau hipersensitiviti. Kajian-kajian tidak menilai sama ada pesakit gembira untuk menggunakan ubat kumur atau sama ada ia mudah dilaksanakan oleh doktor gigi.

Secara keseluruhannya, keputusan menunjukkan bahawa penggunaan ubat kumur praprosedur boleh mengurangkan tahap pencemaran bakteria dalam aerosol berbanding tanpa berkumur atau berkumur dengan air, tetapi kami hanya mempunyai kepastian yang rendah atau sangat rendah bahawa bukti ini boleh dipercayai dan kami tidak tahu bagaimana pengurangan pencemaran ini berkaitan dengan risiko jangkitan.

Apakah maksudnya?

Kami mempunyai keyakinan yang sangat sedikit terhadap bukti, dan kajian lanjut mungkin mengubah penemuan ulasan kami. Tiada kajian yang mengukur risiko jangkitan atau menyiasat pencemaran virus atau kulat.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Bukti dalam Ulasan Cochrane ini adalah terkini hingga Februari 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information