Mesej utama
Kepimpinan kolektif melibatkan pelbagai profesional berkongsi pandangan dan pengetahuan. Berdasarkan bukti yang ada, kami tidak dapat memastikan ia memberikan banyak perbezaan untuk tindakan profesional, penjagaan kesihatan pesakit atau kesejahteraan kakitangan. Keyakinan kami terhadap keputusan ini berkisar dari sederhana hingga sangat rendah, sangat terhad oleh kualiti rendah dan bilangan kajian yang disertakan.
Apa yang kami ingin ketahui?
Kami berhasrat untuk melihat sama ada pengalaman dengan kepimpinan kolektif (berbanding dengan gaya kepimpinan yang lebih berpusat dan berhierarki) meningkatkan tindakan profesional, penjagaan kesihatan pesakit dan kesejahteraan kakitangan. Kami mencari kajian di mana penyelidik membandingkan kepimpinan kolektif dengan kepimpinan berpusat.
Apa yang telah kami lakukan?
Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan dengan intervensi kepimpinan kolektif yang dicirikan oleh perkongsian keputusan dan interaksi antara profesion kesihatan.
Apa yang kami dapati?
Kami menemui tiga kajian yang berkaitan (955 peserta). Kajian-kajina tersebut dijalankan di hospital di Kanada, Iran dan Amerika Syarikat. Intervensi kepimpinan kolektif mungkin meningkatkan kepimpinan (3 kajian, 955 peserta), mungkin meningkatkan kerja berpasukan (1 kajian, 164 peserta), dan mungkin mengurangkan sedikit tekanan berkaitan kerja (1 kajian, 164 peserta). Kami tidak tahu sama ada kepimpinan kolektif mempunyai kesan terhadap hasil-hasil berikut: prestasi klinikal (1 kajian, 60 peserta), kematian pesakit dalam (1 kajian, 60 peserta), dan ketidakhadiran kakitangan (1 kajian, 60 peserta).
Apakah batasan bukti tersebut?
Kami sederhana yakin bahawa kepimpinan kolektif meningkatkan kepimpinan dalam tetapan penjagaan kesihatan. Bukti menunjukkan bahawa kepimpinan kolektif mempunyai kesan yang besar terhadap strategi kepimpinan. Kami kurang yakin dengan keputusan kami tentang kerja berpasukan dan tekanan berkaitan kerja. Kami tidak yakin dengan bukti yang berkaitan dengan prestasi klinikal, kematian pesakit dalam dan ketidakhadiran kakitangan. Ada kemungkinan bahawa peserta kajian menyedari intervensi yang mereka perolehi. Bukan semua kajian memberikan data tentang semua yang kami minati. Bukti adalah berdasarkan beberapa kes.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Kami mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga Januari 2021.
Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my