Adakah terapi estrogen membantu merawat prolaps organ pelvis di kalangan wanita pasca menopaus?

Mesej utama

• Walaupun 14 kajian memenuhi kriteria kemasukan untuk ulasan ini, tiada kajian yang menumpukan kepada perbandingan yang paling kami kehendaki, jadi kami tidak pasti tentang kesan terapi estrogen terhadap prolaps organ pelvis di kalangan wanita pasca menopaus.

• Penyelidikan lanjut diperlukan untuk menilai kesan terapi estrogen, secara tunggal atau dengan gabungan rawatan lain, terhadap prolaps organ pelvis di kalangan wanita pasca menopaus.

Apakah prolaps organ pelvis?

Prolaps organ pelvis adalah apabila uterus (rahim), pundi kencing, atau rektum wanita bergerak turun dari kedudukan normalnya ke dalam faraj. Ia adalah keadaan yang biasa berlaku, yang menjejaskan 50% daripada wanita berumur lebih 50 tahun yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak. Antara 6% dan 12% wanita yang telah menjalani histerektomi (pembedahan pembuangan rahim) akan mengalami prolaps organ pelvis. Wanita yang lebih tua, yang mempunyai lebih banyak anak, dan yang mempunyai berat badan berlebihan adalah lebih berkemungkinan untuk mengalami prolaps organ pelvis. Wanita yang mengalami prolaps organ pelvis mungkin merasakan "sesuatu turun" ke dalam faraj, atau gejala lain yang boleh menjejaskan kualiti hidup dan imej badan mereka, seperti ketidakselesaan semasa hubungan seks atau masalah kencing.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Ramai doktor mempreskripsikan terapi estrogen (sejenis terapi hormon) untuk merawat prolaps organ pelvis, kadangkala digabungkan dengan rawatan lain seperti pesari (alat yang dimasukkan ke dalam faraj untuk memberi sokongan) atau pembedahan. Walau bagaimanapun, faedah pendekatan ini tidak jelas. Kami ingin mengetahui sama ada menggunakan terapi estrogen, sama ada secara tunggal atau bersama-sama dengan rawatan lain, boleh memperbaik gejala prolaps organ pelvis di kalangan wanita selepas menopaus.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menyelidik kesan terapi estrogen, sama ada secara tunggal atau digabungkan dengan rawatan lain seperti pesari atau pembedahan, terhadap wanita pasca menopaus. Kami membanding dan merumus keputusan kajian-kajian ini serta menilai keyakinan kami terhadap keputusan berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah kajian dan bilangan peserta.

Apa yang kami dapati?

Kami menemui 14 kajian yang melibatkan sejumlah 1002 wanita. Sepuluh kajian merekrut wanita dengan pelbagai tahap keseriusan prolaps organ pelvis. Terdapat perbezaan merentas kajian dari segi lokasi prolaps organ pelvis, bilangan anak yang dilahirkan wanita, sama ada wanita tersebut telah menjalani histerektomi, dan jenis terapi estrogen yang sedang dikaji.

Keputusan utama

Walaupun kami mengenal pasti 14 kajian yang layak, tiada kajian yang menumpukan kepada perbandingan utama yang kami kehendaki (terapi estrogen sahaja berbanding dengan tanpa rawatan, berbanding dengan senaman otot lantai pelvis, berbanding dengan pembedahan, atau berbanding dengan alat seperti pesari faraj). Empat kajian menilai terapi estrogen bersama pesari faraj berbanding dengan pesari faraj sahaja, dan 10 kajian menilai terapi estrogen bersama pembedahan berbanding dengan pembedahan sahaja.

Apakah batasan bukti?

Bukti adalah sangat tidak pasti disebabkan keraguan mengenai kaedah kajian. Wanita sering sedar tentang rawatan yang mereka terima, yang mungkin mempengaruhi keputusan. Tambahan, banyak kajian yang melibatkan sedikit bilangan wanita.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini setakat 20 Jun 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information