Mesej utama
- Dalam kalangan pesakit lelaki yang mengalami inkontinensia kencing selepas pembedahan kelenjar prostat, gabungan rawatan bukan farmakologi berserta bukan pembedahan mungkin memberikan sedikit perbezaan dari segi kawalan, kualiti hidup atau bilangan lelaki yang mengalami kesan sampingan akibat intervensi.
- Bukti masih tidak pasti sama ada gabungan latihan penguatan otot lantai pelvik dengan rawatan maklumbalas bio mempunyai sebarang kesan terhadap inkontinensia kencing atau kualiti hidup, manakala tiada bukti yang dikenal pasti dalam penilaian keberkesanan rangsangan elektrik terhadap hasil utama yang kami minati.
- Tahap ketidakpastian dalam bukti yang kami temui bermaksud penyelidikan lanjut adalah diperlukan.
Latar belakang
Prostat merupakan kelenjar kecil bersaiz walnut yang membantu lelaki menghasilkan air mani. Jika lelaki menghidap kanser prostat atau mengalami pembesaran bukan kanser prostat yang menghalang saluran pundi kencing (dikenali sebagai halangan ringan prostat), mereka mungkin memerlukan pembedahan. Selepas pembedahan prostat, lelaki boleh mengalami inkontinensia kencing; dianggarkan antara 2% dan 60% lelaki mungkin mengalami gejala. Walaupun inkontinensia kencing boleh bertambahbaik secara semula jadi selepas pembedahan, sesetengah lelaki terus mengalami gejala yang menjejaskan kualiti hidup mereka.
Apakah yang kami ingin tahu?
Apabila mungkin, inkontinensia kencing selepas pembedahan prostat dapat ditangani menggunakan intervensi bukan pembedahan dan bukan farmakologi seperti latihan penguatan otot lantai pelvik (PFMT), perangsangan elektrik atau magnet, pengubahsuaian gaya hidup (seperti pemakanan atau pengambilan air), serta mana-mana gabungan ini. Walau bagaimanapun, setakat ini masih terdapat ketidakpastian mengenai faedah rawatan ini. Oleh itu, kami ingin mengetahui sama ada menjalani intervensi bukan pembedahan dan bukan farmakologi dapat menangani inkontinensia kencing dalam kalangan lelaki yang menjalani pembedahan prostat.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang menyiasat keberkesanan rawatan bukan pembedahan dan bukan farmakologi terhadap inkontinensia kencing dalam kalangan lelaki yang menjalani pembedahan prostat. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian tersebut dan menaksir tahap keyakinan kami terhadap penemuan kami berdasarkan kaedah, saiz dan keputusan kajian.
Apa yang kami temui?
Kami menemui 25 kajian yang menyertakan sejumlah 3079 lelaki. Dua puluh tiga peserta lelaki sebelumnya pernah menjalani satu bentuk pembedahan prostat radikal, di mana keseluruhan prostat dibuang. Hanya satu kajian merekrut lelaki yang sebelumnya pernah menjalani reseksi prostat transurethral, iaitu prosedur di mana sebahagian prostat disingkirkan melalui zakar. Kami tidak pasti tentang jenis pembedahan yang dijalani oleh peserta lelaki dalam satu kajian.
Empat kajian menyatakan bahawa mereka tidak menerima sebarang dana, manakala tujuh dibiayai oleh organisasi kerajaan sahaja dan satu lagi hanya oleh sebuah yayasan. Satu kajian dibiayai oleh organisasi kerajaan dan universiti, satu oleh badan amal dan universiti dan satu melalui kedua-dua badan amal dan syarikat farmaseutikal. Sepuluh kajian tidak melaporkan sumber dana kajian mereka.
Keputusan utama
Empat kajian melaporkan tentang PFMT ditambah maklumbalas bio berbanding tiada rawatan, rawatan palsu dan/atau arahan lisan atau bertulis untuk melakukan intervensi. PFMT ditambah maklumbalas bio mungkin menyebabkan ramai lelaki melaporkan pulih dari inkontinensia kencing dari 6 hingga 12 bulan. Walau bagaimanapun, lelaki yang menjalani PFMT dan maklumbalas bio kurang berkemungkinan pulih menurut ukuran doktor pada 6 hingga 12 bulan. Adalah tidakpasti sama ada menjalani PFMT dan maklumbalas bio mempunyai kesan buruk berkaitan dengan permukaan badan atau kulit (cth. tindak balas kulit atau lebam) atau kesan sampingan berkaitan otot (cth. sengal atau tidak selesa). Kualiti hidup khusus keadaan, pematuhan peserta terhadap intervensi dan kualiti hidup umum tidak dilaporkan oleh mana-mana kajian untuk perbandingan ini.
Sebelas kajian menilai gabungan rawatan konservatif berbanding tanpa rawatan, rawatan palsu dan/atau arahan lisan atau bertulis untuk melakukan intervensi. Gabungan rawatan mungkin menyebabkan sedikit perbezaan dalam bilangan pesakit lelaki yang melaporkan pulih atau penambahbaikan inkontinensia kencing antara 6 dan 12 bulan. Gabungan rawatan mungkin menyebabkan sedikit perbezaan dari segi kualiti hidup khusus keadaan dan mungkin sedikit perbezaan dari segi kualiti hidup umum antara 6 dan 12 bulan. Terdapat sedikit perbezaan antara gabungan rawatan dan kawalan dari segi pulih atau penambahbaikan inkontinensia menurut ukuran doktor antara 6 dan 12 bulan. Walau bagaimanapun, kami tidak pasti sama ada kepatuhan peserta terhadap intervensi antara 6 dan 12 bulan adalah lebih tinggi bagi pesakit yang menjalani rawatan gabungan. Mungkin tiada perbezaan antara rawatan gabungan dengan kawalan dari segi bilangan lelaki yang mengalami kesan sampingan berkaitan permukaan badan atau kulit tetapi adalah tidak pasti sama ada gabungan rawatan menyebabkan lebih ramai lelaki mengalami kesan sampingan berkaitan otot.
Kami tidak dapat mengenal pasti sebarang kajian yang menilai rawatan rangsangan elektrik atau magnet berbanding tiada intervensi, palsu atau arahan lisan atau bertulis yang melaporkan hasil utama yang kami minati.
Apakah batasan bukti?
Tahap kepastian bukti adalah bercampur, berkisar dari bukti berkepastian sangat rendah hingga berkepastian tinggi. Kekhuatiran kami tertumpu pada bilangan peserta yang terlibat dalam kajian, kerana kajian-kajian ini kerapkali bersaiz kecil. Kami juga khuatir bahawa mungkin terdapat unsur berat sebelah yang termasuk dalam banyak kajian ini. Tambahan pula, adalah tidak pasti sama ada bukti dari pembedahan terbuka/laparoskopi dapat diterapkan untuk prostatektomi radikal yang dibantu robot.
Sejauh manakan bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 22 April 2022.
Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).