Mampukah persediaan usus yang menggabung mekanikal serta antibiotik oral mengurangkan risiko komplikasi sesudah reseksi kolon atau rektum yang terjadual berbanding dengan hanya bergantung pada persediaan usus mekanikal tunggal atau antibiotik oral tunggal

Mesej utama

- Persediaan usus yang menggunakan gabungan mekanikal (menggunakan julap) dan antibotik oral mungkin dapat mengurangkan angka kejadian jangkitan di tapak pembedahan (seperti jangkitan luka dan jangkitan rongga perut) serta merendahkan kemungkinan kebocoran anastomosis (iaitu kebocoran di bahagian usus yang telah dijahitgabung) berbanding dengan persediaan usus mekanikal murni sahaja.

- Cara yang menggunakan antibiotik oral sahaja mungkin sebaik pendekatan gabungan mekanikal dan antibiotik oral, tetapi kekukuhan saranan ini tidak dapat ditentusahkan dengan jelas berdasarkan gagasan data yang sedia ada.

- Sama ada tiada persediaan usus berbanding dengan gabungan persediaan usus antibiotik mekanikal dan oral mempunyai pengaruh ke atas berlakunya komplikasi selepas pembedahan tidak dapat ditentukan berdasarkan data yang tersedia.

Apakah tujuan persediaan usus praoperatif?
Disebabkan oleh kolonisasi bakteria secara semula jadi pada usus besar, jangkitan pada tapak pembedahan lebih kerap selepas pembedahan di mana usus besar dibuka. Untuk mencegah jangkitan ini, persediaan usus sebelum pembedahan bertujuan untuk mengurangkan pencemaran najis pada usus dan meminimumkan kolonisasi bakteria.

Bagaimanakah persediaan usus dilakukan?
Persediaan usus sebelum pembedahan dapat dilakukan secara mekanikal, iaitu melalui penggunaan julap untuk membilas usus, atau dengan pemakanan antibiotik oral yang menjurus kepada penyahcemaran tempatan. Kedua-dua kaedah ini boleh dilakukan sama ada secara bersendirian atau secara gabungan.

Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada gabungan pensediaan usus antibiotik mekanikal dan oral berbanding dengan pensediaan antibiotik mekanikal atau oral sahaja atau tiada persediaan usus mempunyai kesan ke atas:

- berlakunya jangkitan tapak pembedahan

- berlakunya kebocoran anastomosis

Di samping itu, kami ingin mengetahui sama ada persediaan usus gabungan mempunyai kesan ke atas kematian, berlakunya komplikasi pasca operasi ringan atau teruk, kemungkinan ileus selepas operasi (gangguan pergerakan usus) atau tempoh di hospital. Tambahan pula, kami ingin menyiasat sama ada kesan sampingan persediaan usus berbeza antara terapi persediaan gabungan, pendekatan mekanikal tunggal, pendekatan antibiotik oral tunggal atau tiada persediaan usus langsung.

Apakah yang kami lakukan? 
Kami mencari kajian yang membandingkan persediaan usus yang menggabung mekanikal dan antibiotik oral dengan persediaan usus mekanikal tunggal, antibiotik oral tunggal atau tiada persediaan usus dalam kalangan pesakit yang akan menjalani reseksi kolon atau rektum.
Kami membandingkan dan meringkaskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami dapati? 
Kami menyertakan 21 kajian di mana pesakit yang dijadualkan untuk reseksi kolon atau rektum diberikan sama ada kepada kumpulan yang menerima gabungan pensediaan usus antibiotik mekanikal dan oral atau kepada kumpulan perbandingan. Kumpulan perbandingan menerima persediaan usus mekanikal tunggal dalam 17 kajian, persediaan usus menggunakan antibiotik oral tunggal dalam tiga kajian, dan tiada persediaan usus sama sekali dalam satu kajian. Semua peserta menerima profilaksis antibiotik intravena semasa pembedahan. Kajian-kajian tersebut menyertakan sejumlah 5968 peserta, di mana 5264 peserta telah diteliti.
Kebanyakan kajian dijalankan di negara perindustrian di benua Eropah atau Asia. Persediaan usus dilakukan selama satu sehingga tiga hari sebelum pembedahan dan tempoh pantauan susulan adalah 30 hari pasca-bedah dalam kebanyakan kajian. Tiada pembiayaan industri dilaporkan oleh mana-mana kajian, tetapi hanya lima daripada 21 kajian memberikan maklumat mengenai pembiayaan mereka.
Secara keseluruhan, lebih ramai lelaki (58%) berbanding perempuan (42%) telah dimasukkan. Purata umur peserta kajian berbeza-beza, dengan julat 42 sehingga 69 tahun.

Kami menemui bukti berkepastian sederhana bahawa gabungan persediaan usus mekanikal dan antibiotik oral mungkin dapat mengurangkan risiko jangkitan dan kebocoran tapak pembedahan tetapi tidak mempengaruhi angka kematian, kadar kejadian ileus sesudah pembedahan atau tempoh pesakit tinggal di wad.
Apabila membandingkan persediaan usus gabungan dengan persediaan usus antibiotik tunggal atau tiada persediaan usus sama sekali, kami mendapati bukti yang berkepastian rendah bahawa tiada perbezaan ataupun paling tidak, sedikit perbezaan antara pendekatan-pendekatan tersebut.

Apakah batasan bukti?
Terdapat pelbagai sebab mengapa keyakinan kita terhadap bukti adalah terhad.
Kami hanya menaruh tahap keyakinan yang sederhana terhadap bukti mengenai pengurangan jangkitan tapak pembedahan oleh gabungan persediaan usus antibiotik mekanikal dan oral, kerana strategi pembedahan yang berbeza (dari segi akses pembedahan serta jenis dan lokasi reseksi usus) dan juga kaedah persediaan usus yang berbeza (dari segi jenis agen, dos dan masa agen persediaan diberikan). Kami juga hanya berkeyakinan sederhana terhadap kemampuan mengurangan kebocoran anastomosis oleh gabungan persediaan usus mekanikal dan antibiotik oral, kerana hanya beberapa kes yang berlaku di seluruh kajian yang disertakan.
Mengenai perbandingan terapi kombinasi dengan antibiotik oral sahaja, kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti kerana tidak cukup kajian meneliti isu ini untuk memastikan keputusan hasil kami. Di samping itu, terdapat beberapa keraguan mengenai kaedah yang digunakan dalam kajian yang disertakan.
Oleh kerana hanya terdapat satu kajian, kami juga mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti yang membandingkan persediaan gabungan usus dengan tiada persiapan usus.

Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini adalah terkini setakat Disember 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USMKK). Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information