Adakah merawat arteri koronari pada jantung membantu mencegah serangan jantung semasa pembedahan saluran darah major?

Mesej-mesej utama

- Kami tidak tahu sekiranya merawat arteri koronari (saluran darah pada jantung) sebelum pembedahan vaskular major (pembedahan pada saluran darah) mempunyai kesan terhadap pencegahan infarksi miokardium akut (serangan jantung) dan kematian (mortaliti) semasa pembedahan. Infarksi miokardium akut mungkin boleh dikurangkan dalam jangka masa panjang, tetapi bukti adalah kurang pasti, dan tempoh tinggal di hospital boleh sedikit dikurangkan.

- Untuk menentukan kesan merawat arteri koronari untuk mencegah infarksi miokardium akut dalam kalangan orang yang menjalani pembedahan vaskular major, lebih banyak kajian berkualiti tinggi adalah diperlukan.

- Kesan sampingan (kemudaratan) yang berkaitan dengan rawatan yang di bawah kajian telah dilaporkan dengan kurang baik.

Apakah infarksi miokardium pascabedah?

Serangan jantung adalah komplikasi penting selepas pembedahan (infarksi miokardium pascabedah). Komplikasi ini memainkan peranan yang penting dalam pembedahan vaskular major. Infarksi miokardium pascabedah adalah penyebab utama morbiditi (penyakit) dan mortaliti (kematian) selepas pembedahan vaskular major. Penyakit arteri koronari adalah keadaan yang menjejaskani saluran darah jantung (arteri koronari) dan berlaku semasa saluran tersebut disempitkan oleh plak (aterosklerosis), yang biasanya terwujud daripada kolesterol. Penyakit ini adalah penyebab utama infarksi miokardium (semasa penyempitan meningkat kepada penyumbatan saluran darah). Aterosklerosis dapat menjelaskan hubungan antara infarksi miokardium pascabedah dan pembedahan vaskular major, sebagai penyebab paling biasa untuk kedua-dua penyakit.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada merawat arteri koronari sebelum pembedahan vaskular major (intervensi koronari prabedah) boleh mencegah infarksi miokardium pascabedah. Rawatan terhadap arteri koronari terdiri daripada meletakkan kateter (tiub nipis) ke dalam arteri, selalunya ke dalam betis atau lengan (intervensi koronari perkutan) dan memasukkannya sehingga ia sampai ke jantung semasa pewarna disuntik untuk melihat jika ada penyempitan arteri koronari (angiografi koronari). Kemudian, sekiranya penyempitan dikenal pasti, stent digunakan untuk membuka saluran darah semula untuk membawa kembali aliran darah (revaskularisasi koronari). Pilihan lain untuk revaskularisasi koronari adalah graf pintasan arteri koronari (satu prosedur pembedahan untuk memintas penyumbatan dalam arteri koronari). Kami ingin mengetahui sama ada pengenal pastian dan rawatan terhadap penghidap penyakit arteri koronari teruk sebelum pembedahan vaskular akan mengurangkan bilangan serangan jantung selepas pembedahan vaskular.

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang membandingkan satu kumpulan yang telah menerima rawatan koronari sebelum pembedahan vaskular major ditambah dengan penjagaan standard prabedah (pengurusan perubatan atau penjagaan biasa) berbanding dengan kumpulan lain yang telah menerima penjagaan prabedah standard (pengurusan perubatan atau penjagaan biasa) tanpa intervensi koronari. Kami ingin mengetahui sama ada terdapat perbezaan antara kumpulan dalam kadar serangan jantung, mortaliti, atau kesan yang buruk. Kami membandingkan hasil dalam kalangan kajian dan merumuskan penemuan kami, dan kemudiannya melihat sama ada bukti tersebut kurang atau lebih dipercayai.

Apakah yang kami temui?

Kami telah menemui tiga kajian melibatkan 1144 peserta. Kajian-kajian ini membandingkan sama ada angiografi koronari atau revaskularisasi koronari, atau kedua-duanya, sebelum pembedahan vaskular ditambah penjagaan biasa dengan penjagaan biasa sahaja (seperti statin, penyekat laku enzim pengubah angiotensin, dan agen antiplatelet). Kajian-kajian ini menggunakan kriteria berbeza untuk memilih peserta mereka, sebagai contohnya menyertakan hanya mereka yang berisiko tinggi untuk penyakit arteri koronari, atau juga menyertakan individu yang berisiko rendah. Kami tidak dapat menggabungkan data daripada satu kajian dalam rumusan kami disebabkan oleh bilangan peserta yang besar dalam penjagaan biasa yang juga telah menjalani rawatan koronari.

Kami menemui bahawa merawat arteri koronari sebelum pembedahan vaskular boleh mengurangkan kadar serangan jantung jangka panjang, tetapi kami sangat tidak pasti mengenai keputusannya. Selanjutnya, mereka boleh mengurangkan sedikit tempoh perawatan di hospital dalam tempoh jangka pendek berbanding dengan penjagaan biasa sahaja. Kami tidak menemui sebarang perbezaan antara kumpulan dalam mortaliti jangka pendek dan panjang serta kadar serangan jantung jangka pendek. Tiada kajian yang melaporkan kesemua hasil yang penting bagi kami. Peristiwa buruk adalah dilaporkan secara teruk dalam kajian: satu kajian telah melaporkan tiada kematian yang disebabkan oleh angiografi koronari, manakala dua kajian lain telah melaporkan lima kematian disebabkan oleh revaskularisasi koronari.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai sedikit keyakinan dalam keputusan disebabkan peserta dan penyelidik sedar kumpulan peserta yang telah ditentukan, yang mungkin boleh mempengaruhi keputusan kajian ini. Di samping itu, kajian menggunakan kriteria berbeza untuk memilih peserta mereka dan menggunakan kaedah yang berbeza, menjadikannya sukar untuk membandingkan keputusan. Pada akhirnya, keseluruhan keputusan telah menyertakan kemungkinan terdapat kedua-dua manfaat atau bahaya daripada rawatan arteri koronari sebelum pembedahan vaskular. Tiada kajian yang dianalisis telah memberikan maklumat tentang subkumpulan pesakit yang berpotensi mendapat manfaat yang lebih besar daripada rawatan di bawah kajian, seperti mereka dengan fraksi ejeksi ventrikel yang berubah (keupayaan jantung untuk mengepam darah).

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini terkini sehingga 13 Mac 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my).

Tools
Information