Mesej utama
• Disebabkan kekurangan bukti yang kukuh, kebaikan dan kemudaratan diclofenac untuk menguruskan kesakitan kanak-kanak selepas mereka menjalani pembedahan adalah tidak jelas.
• Diclofenac mungkin mengurangkan risiko loya dan muntah, tetapi mungkin meningkatkan risiko pendarahan, berbanding opioid (seperti morfin).
• Kajian yang direka bentuk dengan baik dan laporan komprehensif adalah diperlukan untuk menjelaskan kebaikan dan kemudaratan diclofenac berbanding dengan opioid atau ubat lain, atau cara berbeza diclofenac diberikan kepada kanak-kanak.
Pengurusan kesakitan selepas pembedahan
Sakit selepas pembedahan atau prosedur adalah perkara biasa dan boleh mempengaruhi pemulihan serta kembali kepada aktiviti harian. Terdapat banyak cara untuk mengurangkan kesakitan selepas pembedahan, termasuk ubat-ubatan seperti diclofenac. Diclofenac ialah sebahagian daripada jenis ubat yang dipanggil ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs) yang boleh mengurangkan keradangan dan kesakitan. Ia boleh diberikan melalui cara yang berbeza, seperti melalui mulut atau melalui dubur ke dalam rektum (laluan belakang), dan sebelum, semasa, dan selepas pembedahan.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui kebaikan dan kemudaratan diclofenac berbanding dengan rawatan lain serta cara paling berkesan untuk memberi diclofenac kepada kanak-kanak.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan (a) diclofenac dengan rawatan lain untuk kesakitan selepas pembedahan; atau (b) cara yang berbeza untuk memberikan diclofenac kepada kanak-kanak. Kami merumuskan keputusan dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 32 kajian yang memasukkan 2250 kanak-kanak yang mengalami kesakitan selepas pembedahan. Kajian terbesar memasukkan 183 kanak-kanak dan kajian yang terkecil, 31 kanak-kanak. Kajian telah dijalankan di banyak negara di seluruh dunia; lokasi yang paling biasa ialah United Kingdom (10 kajian). Purata umur kanak-kanak adalah antara 2 dan 14 tahun. Diclofenac digunakan untuk menguruskan kesakitan selepas pembedahan dalam 12 jenis pembedahan yang berbeza; yang paling biasa, pembedahan telinga, hidung dan tekak (9 kajian) atau pembedahan mata (6 kajian).
Keputusan utama
Adalah tidak jelas sama ada diclofenac yang diberikan sebelum, semasa, atau selepas pembedahan mempunyai kesan pada kelegaan kesakitan, tahap kesakitan, atau kemudaratan kecil dan serius berbanding dengan plasebo (rawatan 'dummy' atau palsu yang tidak mengandungi sebarang ubat tetapi rupa atau rasa sama seperti ubat yang diuji).
Adalah tidak jelas sama ada diclofenac yang diberikan sebelum, semasa, atau selepas pembedahan mempunyai kesan pada kelegaan kesakitan atau intensiti kesakitan berbanding dengan ubat lain, seperti opioid, paracetamol, atau bupivacaine. Diclofenac mungkin mengakibatkan kurang rasa loya dan muntah berbanding opioid (7 kajian melibatkan 463 kanak-kanak), tetapi mungkin meningkatkan risiko pendarahan (2 kajian melibatkan 222 kanak-kanak), tetapi kami sangat tidak pasti tentang risiko bahaya yang serius (kematian, hilang upaya jangka masa panjang, atau kemasukan ke hospital).
Oleh itu, tidak jelas sama ada diclofenac yang diberikan sebelum, semasa, atau selepas pembedahan mempunyai kesan pada kelegaan kesakitan, intensiti kesakitan, atau kemudaratan kecil atau serius jika dibandingkan dengan plasebo atau ubat lain selain opioid. Ia juga tidak jelas cara pemberian yang mana (penghantaran melalui mulut atau rektum) adalah cara paling berkesan untuk menguruskan kesakitan selepas pembedahan pada kanak-kanak.
Apakah batasan bukti?
Kami tidak yakin dengan bukti kerana batasan dari segi reka bentuk kajian, dan tidak ada kajian yang menilai beberapa hasil utama yang kami minati. Juga tidak terdapat kajian besar yang mencukupi untuk memastikan keputusannya.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga April 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Daniel Hazim Mohd Shukri (Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).