Sejauh manakah keberkesanan ubat-ubatan dan e-rokok untuk berhenti merokok, dan apakah yang paling berkesan?

Mesej utama

Sesetengah ubat-ubatan dan e-rokok (peranti pegang tangan yang berfungsi dengan memanaskan cecair yang biasanya mengandungi nikotin dan perisa) boleh membantu orang ramai untuk berhenti merokok selama enam bulan atau lebih lama.

E-rokok, dan ubat-ubatan cytisine (atau dikenali sebagai Tabex) dan varenicline (atau dikenali sebagai Chantix dan Champix), nampaknya membantu kebanyakan orang untuk berhenti merokok, diikuti dengan menggunakan dua jenis terapi penggantian nikotin sekaligus (tampalan nikotin dan jenis lain, seperti gula getah atau lozeng).

Kami memerlukan lebih banyak bukti tentang kemudaratan jangka panjang yang bmungkin bagi e-rokok dan ubat-ubatan untuk membantu orang ramai berhenti merokok, tetapi terdapat bilangan yang sangat rendah ditemui bagi kemudaratan serius..

Berhenti merokok

Merokok tembakau adalah tidak baik untuk kesihatan orang ramai dan pemberhentian boleh membawa kepada peningkatan kebaikan yang ketara. Kebanyakan orang ingin berhenti merokok dan terdapat ubat-ubatan serta e-rokok tersedia untuk membantu orang ramai melakukannya. Ubat-ubatan ini dipanggil terapi penggantian nikotin, cytisine, varenicline, bupropion (kadang-kala dikenali sebagai Zyban atau Wellbutrin) dan nortriptyline (kadang-kala dikenali sebagai Norpress). Nortriptyline hanya tersedia untuk berhenti merokok di New Zealand, dan cytisine tidak tersedia di banyak negara. Pada masa penulisan, terdapat kekurangan varenicline disebabkan oleh isu pengilangan. Ubat-ubatan dan e-rokok boleh disediakan bersama sokongan tingkah laku, seperti kaunseling. Ubat-ubatan dan e-rokok untuk berhenti rokok direka untuk mengurangkan keinginan orang ramai untuk merokok. Dengan mengetahui lebih banyak maklumat tentang rawatan-rawatan ini berbanding antara satu sama lain, kami berharap ulasan ini akan digunakan untuk memilih rawatan terbaik untuk membantu orang ramai berhenti merokok.

Mengapakah kami melakukan Ulasan Cochrane ini

Kami ingin mengetahui:

- rawatan yang mana (ubat-ubatan dan e-rokok) yang membantu orang ramai untuk berhenti merokok;

- bagaimana rawatan-rawatan ini berbanding antara satu sama lain;

- sama ada terdapat cara untuk menyediakan rawatan ini yang bermakna mereka lebih berkemungkinan membantu orang ramai berhenti merokok (contoh dos atau tempoh rawatan yang berbeza);

- sama ada rawatan-rawatan ini berkemungkinan menyebabkan kemudaratan yang serius; dan

- sama ada rawatan tertentu boleh diterima dengan lebih baik, seperti yang ditunjukkan oleh sedikit orang yang meninggalkan kajian disebabkan oleh rawatan.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang melihat rawatan-rawatan ini dalam membantu orang dewasa berhenti merokok. Kami mencari kajian rawak terkawal, iaitu pemberian rawatan peserta ditentukan secara rawak. Kajian jenis ini biasanya memberikan bukti yang paling boleh dipercayai tentang kesan rawatan. Kami membandingkan semua rawatan antara satu sama lain dengan kaedah yang dipanggil meta-analisis rangkaian.

Tarikh carian: 29 April 2022

Apakah yang kami temui

Kami menemui 332 kajian yang memenuhi kriteria kami dan 319 daripadanya memberikan maklumat yang boleh kami gunakan dalam analisis kami. Ini termasuk 157,179 orang dewasa yang menghisap rokok tembakau. Kebanyakan kajian berlaku di Amerika Syarikat atau Eropah. Kajian-kajian ini membandingkan kesan rawatan berhenti merokok yang disenaraikan di atas dengan:

- tanpa ubat-ubatan/e-rokok untuk berhenti merokok;

- e-rokok yang tidak mengandungi nikotin;

- plasebo (ubat palsu); dan

- jenis ubat berhenti merokok atau e-rokok yang lain.

Apakah keputusan utama ulasan kami?

E-rokok, varenicline dan cytisine berkemungkinan besar membantu orang ramai berhenti merokok. Bagi setiap 100 orang, 10 hingga 19 berkemungkinan akan berhenti merokok menggunakan e-rokok; 12 hingga 16 menggunakan varenicline; dan 10 hingga 18 menggunakan cytisine. Ini dibandingkan dengan 6 dalam 100 orang yang mungkin berhenti apabila tidak menggunakan ubat-ubatan/e-rokok atau plasebo. Orang yang menggunakan dua bentuk terapi penggantian nikotin pada masa yang sama, sebagai contoh, gabungan tampalan nikotin dan gula getah nikotin, nampaknya mempunyai kadar yang sama untuk berhenti dengan orang yang menggunakan e-rokok, varenicline dan cytisine. Tampalan nikotin sahaja, satu lagi bentuk terapi penggantian nikotin sahaja (seperti gula getah, lozeng) dan bupropion kelihatan membantu sedikit orang berhenti tetapi masih berfungsi lebih baik daripada tiada ubat/e-rokok atau plasebo (masing-masing 8, 9 dan 9 orang setiap 100). Nortriptyline nampaknya menghasilkan bilangan terendah orang yang berhenti merokok; bagi setiap 100 orang yang menggunakan nortriptyline 6 hingga 11 berkemungkinan akan berhenti.

Kami berkeyakinan sederhana bahawa bupropion hanya kadang-kadang boleh menyebabkan beberapa kesan kesihatan yang serius. Maklumat yang kami ada untuk rawatan lain tidak memberikan bukti yang jelas tentang kemudaratan yang serius. Untuk semua rawatan, penemuan mencadangkan sangat sedikit orang yang mengalami kemudaratan serius apabila menggunakannya.

Seberapa yakinkah kami terhadap keputusan kami?

Kami yakin bahawa e-rokok, cytisine, varenicline, terapi penggantian nikotin dan bupropion membantu orang ramai berhenti merokok. Kami tidak menjangkakan lebih banyak bukti akan mengubah keputusan ini. Walau bagaimanapun, lebih banyak bukti tentang cara rawatan-rawatan iberbanding dengan satu sama lain, terutamanya berkaitan dengan kemudaratan, akan berguna. Disebabkan sifat semulajadi analisis kami, kami tidak dapat menilai keyakinan kami terhadap bukti untuk terapi penggantian nikotin gabungan (dua jenis digunakan bersama). Kami berkeyakinan sederhana bahawa nortriptyline juga membantu orang ramai untuk berhenti merokok, tetapi kurang yakin dengan keputusan kami untuk e-rokok bukan nikotin dan potensi kemudaratan bagi kebanyakan rawatan. Kami masih memerlukan lebih banyak bukti tentang potensi kemudaratan dan berharap lebih banyak kajian akan melaporkannya pada masa hadapan; walau bagaimanapun, terapi penggantian nikotin telah digunakan sejak 1980-an tanpa bukti kemudaratan yang serius.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my).

Tools
Information