Autoinflasi untuk otitis media dengan efusi (OME atau 'telinga gam') pada kanak-kanak

Mesej utama

Disebabkan kekurangan bukti kukuh, kami tidak pasti sama ada autoinflasi mempunyai sebarang kesan ke atas pendengaran. Penggunaan autoinflasi dua hingga tiga kali sehari mungkin mengurangkan sedikit bilangan kanak-kanak dengan OME selepas tiga bulan susulan. Skor pada soal selidik yang melihat kualiti hidup bagi orang dengan OME juga lebih baik untuk kanak-kanak yang menjalankan autoinflasi. Walau bagaimanapun, sesetengah kanak-kanak mungkin mengalami kesakitan apabila menggunakan autoinflasi.

Apakah itu OME?

Otitis media dengan efusi (OME, kadangkala dipanggil 'telinga gam') adalah keadaan biasa yang menjejaskan kanak-kanak. Cecair terkumpul di telinga tengah, menyebabkan gangguan pendengaran. Akibat pendengaran mereka yang lemah, kanak-kanak mungkin mengalami masalah tingkah laku dan kelewatan dalam perkembangan pertuturan mereka.

Bagaimanakah OME dirawat?

Selalunya, OME tidak memerlukan sebarang rawatan dan simptom akan menjadi lebih baik dengan masa. Pada kanak-kanak dengan OME yang berterusan, rawatan yang berbeza telah diterokai, termasuk ubat-ubatan atau pembedahan. Autoinflasi ialah teknik di mana kanak-kanak meniup udara keluar dari hidung mereka terhadap alat tekanan (seperti belon). Ini memaksa udara kembali melalui tiub Eustachian, yang menghubungkan bahagian belakang hidung ke telinga tengah. Pembukaan tiub ini mungkin membenarkan cecair telinga tengah mengalir keluar.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengenal pasti sama ada autoinflasi lebih baik daripada tiada rawatan, rawatan perubatan atau rawatan pembedahan untuk kanak-kanak dengan OME.

Kami juga ingin melihat sama ada terdapat sebarang kesan tidak diingini yang berkaitan dengan autoinflasi.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan autoinflasi dengan tiada rawatan ataupun rawatan lain pada kanak-kanak dengan OME. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami dapati?

Kami menjumpai 11 kajian yang melibatkan 1036 kanak-kanak dengan OME. Kebanyakan kajian adalah pada kanak-kanak berumur lebih tiga tahun, dan hanya berlangusng sehingga tiga bulan. Mereka membandingkan autoinflasi (dijalankan dua hingga tiga kali sehari) dengan tanpa rawatan.

Kami tidak pasti sama ada autoinflasi mempunyai sebarang kesan ke atas pendengaran, kerana terdapat sangat sedikit bukti tentang perkara ini.

Autoinflasi mungkin mengurangkan sedikit bilangan kanak-kanak yang masih mempunyai OME selepas tiga bulan susulan, dan boleh menyebabkan peningkatan dalam kualiti hidup.

Kanak-kanak yang menggunakan autoinflasi mungkin mengalami lebih banyak sakit telinga berbanding mereka yang tidak menerima sebarang rawatan, tetapi hanya satu kajian menilai ini, dan bilangan kanak-kanak yang mengalami kesakitan adalah kecil (4.4% berbanding 1.3% pada mereka yang tidak mendapat rawatan).

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai terlalu sedikit maklumat tentang kesan jangka panjang autoinflasi. Pelbagai teknik dan peranti berbeza tersedia untuk autoinflasi, dan kami tidak tahu sama ada sesetengah daripada ini lebih berkesan daripada yang lain.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Januari 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).

Tools
Information