Autoinflasi untuk otitis media dengan bendalir (OME atau 'gam telinga') pada kanak-kanak

Mesej utama

Disebabkan oleh kekurangan bukti yang kukuh, kami tidak pasti sama ada penggunaan antibiotik meningkatkan pendengaran untuk kanak-kanak dengan gam telinga.

Penggunaan antibiotik berbanding tanpa rawatan mungkin sedikit mengurangkan bilangan kanak-kanak yang mempunyai gam telinga pada tiga bulan susulan. Tidak jelas sama ada ini adalah kesan yang berpanjangan, kerana hanya beberapa kajian menyusuli kanak-kanak selama lebih daripada tiga bulan.

Kajian yang disertakan dalam ulasan ini tidak melaporkan kemudaratan serius daripada rawatan dengan antibiotik. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa cadangan bahawa antibiotik boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak menyenangkan seperti ruam kulit.

Apakah itu OME?

Penyakit gam telinga (atau 'otitis media dengan bendalir', OME) adalah keadaan yang agak biasa yang menjejaskan kanak-kanak kecil. Cecair yang terkumpul di bahagian tengah telinga, boleh menyebabkan gangguan pendengaran. Akibat pendengaran yang lemah, kanak-kanak mungkin ketinggalan dalam pertuturan dan mungkin menghadapi masalah di sekolah.

Bagaimanakah OME dirawat?

Selalunya OME tidak memerlukan sebarang rawatan dan gejala akan menjadi lebih baik dengan masa. Dalam kanak-kanak dengan OME yang berterusan, rawatan-rawatan yang berbeza telah digunakan, termasuk ubat-ubatan atau pembedahan (pemasukan grommet (tiub pengudaraan), dengan atau tanpa adenoidektomi). Kadangkala, bakteria wujud dalam cecair yang terkumpul di bahagian tengah telinga. Antibiotik kadangkala digunakan untuk mencuba dan menyingkirkan bakteria ini, dan menambahbaik gejala OME.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengenal pasti sama ada antibiotik lebih baik daripada plasebo (rawatan palsu atau dummy), atau tiada rawatan, untuk kanak-kanak dengan OME.

Kami juga ingin melihat sama ada terdapat sebarang kesan yang tidak diingini yang berkaitan dengan pengambilan antibiotik untuk keadaan ini.

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang membandingkan rawatan antibiotik oral dengan sama ada plasebo atau tiada rawatan pada kanak-kanak dengan OME. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami telah memasukkan 19 kajian yang melibatkan lebih daripada 2500 kanak-kanak. Pelbagai jenis antibiotik oral digunakan dan tempoh rawatan berbeza-beza antara kajian.

Tidak jelas sama ada antibiotik mempunyai sebarang kesan pada pendengaran, kerana buktinya tidak kukuh.

Jika dibandingkan dengan tiada rawatan, antibiotik mungkin mengurangkan sedikit bilangan kanak-kanak yang mempunyai OME selepas tiga bulan susulan. Hanya dua kajian melihat pada bilangan kanak-kanak dengan OME selepas masa susulan yang lebih lama, jadi kami tidak pasti sama ada ini kesan yang berpanjangan, kerana OME mungkin berulang.

Kami tidak tahu sama ada rawatan dengan antibiotik mempunyai sebarang kesan terhadap kualiti hidup kerana tiada kajian yang disertakan dalam ulasan ini yang menilai hasil ini. Kami tidak dapat menemui banyak bukti tentang berlakunya anafilaksis - reaksi alahan yang jarang berlaku tetapi sangat serius. Tiada kajian yang melaporkan kanak-kanak mengalami anafilaksis, tetapi ini mungkin kerana tiada sesiapa yang mempunyai reaksi, atau hanya kerana kajian tidak melaporkannya.

Apakah batasan bukti?

Memandangkan bukti yang disertakan dalam Ulasan Cochrane ini adalah tidak pasti, kami tidak pasti sama ada rawatan dengan antibiotik memberi apa-apa faedah kepada kanak-kanak dengan OME. Memandangkan kebanyakan kajian adalah tempoh yang sangat singkat, kami tidak tahu sama ada sebarang kesan antibiotik akan berterusan dalam tempoh masa yang lebih lama - walaupun jika OME kelihatan semakin baik dalam jangka pendek, ia mungkin berulang.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Januari 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information