Apakah faktor yang mempengaruhi kesanggupan seseorang itu untuk mengambil bahagian dalam kajian vaksin semasa wabak atau pandemik?

Apakah matlamat ulasan ini?

Vaksin adalah penting untuk mengekang penularan penyakit berjangkit semasa pandemik seperti COVID-19. Kajian klinikal menguji vaksin-vaksin ini untuk memastikan ianya selamat dan berkesan. Walaubagaimanapun, untuk mencari bilangan orang yang mencukupi dan yang juga sanggup menyertai suatu kajian vaksin untuk penyakit pandemik atau wabak mungkin sukar.

Matlamat Ulasan Cochrane penyelidikan kualitatif (atau 'penjanaan bukti kualitatif') ini adalah bagi mengetahui perkara yang mempengaruhi keputusan seseorang untuk menyertai kajian vaksin dalam konteks pandemik atau wabak. Pemahaman tentang faktor yang mendorong keputusan seseorang untuk menyertai kajian vaksin dapat membimbing rekabentuk kajian serta penggubalan strategi penyertaan yang mengoptimumkan komunikasi, persetujuan termaklum, serta ketercakupan dan kepelbagaian peserta dalam kajian klinikal vaksin. Bagi menjawab soalan ulasan, kami menganalisis 34 kajian tentang pandangan dan pengalaman orang ramai dalam menyertai kajian vaksin.

Mesej utama

Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi keputusan seseorang individu untuk menyertai kajian vaksin semasa pandemik atau wabak. Orang ramai dipengaruhi oleh kaedah suatu kajian dan cara maklumat tentang kajian itu disampaikan. Mereka juga dipengaruhi oleh tanggapan peribadi berkenaan risiko dan kesan sampingan yang mungkin terjadi. Teman-teman dan ahli keluarga juga mungkin mempengaruhi keputusan mereka. Kewaspadaan tentang stigma dan ketidakpercayaan terhadap pihak kerajaan mungkin menjadi penghalang kepada orang ramai daripada mengambil bahagian dalam kajian vaksin. Orang ramai seringkali menganggap peluang untuk membantu orang lain dan mencegah penularan penyakit sebagai suatu sebab untuk menyertai kajian vaksin.

Apa yang kami temui?

Kami memasukkan 34 kajian yang meneliti pandangan dan pengalaman orang ramai yang telah dijemput untuk menyertai kajian vaksin dalam konteks pandemik atau wabak. Kebanyakan kajian tersebut adalah berkaitan dengan kajian vaksin HIV. Kajian-kajian lain adalah berkaitan dengan virus Ebola, tuberkulosis, virus Zika dan COVID-19. Kajian-kajian tersebut telah dijalankan di banyak negara di serata benua Afrika, Asia, Eropah dan Amerika Utara. Kajian-kajian tersebut meneliti pandangan dan pengalaman peserta dewasa yang berusia 18 tahun dan ke atas yang telah dijemput untuk menyertai kajian klinikal vaksin. Sebahagian peserta yang dijemput bersetuju untuk menyertainya, manakala yang lain memutuskan untuk tidak mengambil bahagian.

Keputusan utama

Kami mengenal pasti beberapa faktor yang dipertimbangkan oleh peserta apabila memutuskan untuk menyertai suatu kajian vaksin semasa suatu pandemik atau wabak. Kami menilai keyakinan kami terhadap penemuan ini sebagai rendah, sederhana atau tinggi bergantung pada sebaik mana sokongan penemuan itu daripada kajian yang dimasukkan. Kami berkeyakinan sederhana sehingga tinggi untuk kebanyakan penemuan kajian-kajian tersebut.

Beberapa faktor yang mempengaruhi keputusan peserta berada dalam kawalan pasukan pengkaji yang merangka perkaedahan kajian tersebut. Sebagai contoh, orang ramai dipengaruhi oleh bagaimanana maklumat berkaitan kajian disampaikan, dan sama ada ahli masyarakat turut terlibat dalam pengedarsiaran maklumat itu. Mereka juga dipengaruhi oleh berapa mudahnya bagi mereka menyertai dalam kajian itu, sama ada mereka akan dibayar untuk penyertaan mereka, dan sama ada mereka akan memperoleh akses kepada khidmat sokongan tambahan atau perkhidmatan kesihatan.

Faktor lain termasuklah kekhuatiran peribadi, dan pengaruh ahli keluarga dan teman serta masyarakat. Dari sudut pandangan peribadi, orang ramai mempunyai kekhuatiran berkenaan kesan sampingan vaksin, keberkesanan vaksin, dan bagaimana penyertaan dalam kajian mungkin menjejaskan kehidupan dan tanggungjawab seharian mereka. Orang ramai juga dipengaruhi oleh ahli keluarga mereka dan sama ada penyertaan dalam kajian itu mungkin menjejaskan hubungan mereka dengan orang lain. Sesetengah orang bimbang akan stigma daripada komuniti mereka jika mereka mengambil bahagian. Tahap kepercayaan rakyat terhadap penglibatan pihak kerajaan dalam penyelidikan dan kajian juga boleh mempengaruhi keputusan mereka.

Orang ramai juga mempertimbangkan ganjaran yang mungkin diterima untuk menyertai kajian dan sama ada ianya berbaloi berbanding dengan risiko yang akan dihadapi. Sebahagian daripada ganjaran ini adalah peribadi. Orang ramai ingin memperolehi akses yang lebih cepat untuk mendapatkan vaksin, memperbaiki kesihatan mereka, memperdalam pemahaman mereka tentang sesuatu penyakit itu, serta kembali ke kehidupan normal semasa pandemik atau wabak. Tetapi ada juga peserta yang berniat ingin membantu masyarakat dan menyumbang kepada kemajuan sains. Ini seingkali dikaitkan dengan kenangan ahli keluarga dan rakan-rakan yang meninggal dunia akibat penyakit.

Apakah batasan bukti?

Kami mengenal pasti 34 kajian dalam ulasan ini, tetapi 26 daripadanya adalah berkaitan dengan HIV. Ini menimbulkan kekhuatiran terhadap kebolehterapan data ulasan ini untuk penyakit lain. Di samping itu, kami juga mempunyai kekhuatiran berkenaan kualiti data untuk beberapa hasil penemuan. Disebabkan oleh kepelbagaian peserta dalam setiap kajian tersebut, kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan berdasarkan jenis peserta (seperti latar belakang peserta, jantina, ataupun pendirian sosial atau status).

Sejauh mana bukti ini terkini?

Ulasan ini menyertakan kajian yang diterbitkan sebelum penghujung bulan Jun 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information