Pendekatan pembedahan histerektomi untuk penyakit-penyakit ginekologi benigna

Soalan ulasan

Kami menilai pembedahan yang paling berkesan dan selamat untuk histerektomi dalam kalangan wanita dengan penyakit ginekologi benigna.

Latar belakang

Histerektomi untuk penyakit ginekologi benigna, kebanyakannya perdarahan abnormal rahim, prolaps atau fibroid rahim adalah salah satu prosedur ginekologi yang paling kerap (30% wanita sebelum umur 60; 590,000 prosedur setiap tahun di Amerika Syarikat). Ia boleh dilakukan melalui beberapa pendekatan. Histerektomi abdominal melibatkan pembuangan rahim melalui insisi di bahagian bawah abdomen. Histerektomi vaginal melibatkan pembuangan rahim melalui faraj, tanpa insisi abdomen. Histerektomi laparoskopik melibatkan ‘pembedahan lubang kunci’ melalui insisi kecil di abdomen. Rahim boleh dikeluarkan melalui faraj ataupun selepas morselasi (memotong kecil) melalui salah satu insisi kecil tersebut. Terdapat beberapa jenis histerektomi laparoskopik bergantung kepada takat pembedahan laparoskopik berbanding yang dilaksana melalui faraj. Terkini, histerektomi laparoskopik telah dilakukan secara robotik. Dalam pembedahan robotik, pembedahan dilaksana oleh robot, manakala pakar bedah (manusia) memandu robot tersebut dari kerusi di sudut bilik pembedahan. Malah terbaru, instrumen laparoskopi telah diguna melalui insisi di faraj untuk melakukan histerektomi (histerektomi orifis semulajadi faraj atau V-NOTES). Adalah penting untuk memahami manfaat dan mudarat relatif setiap pendekatan untuk membuat keputusan termaklum yang terbaik bagi setiap wanita yang perlukan histerektomi untuk penyakit ginekologi benigna.

Ciri-ciri kajian

Kami menganalisis 63 kajian rawak terkawal (RCT). RCT adalah sejenis kajian di mana peserta yang dikaji diperuntukkan secara rawak kepada salah satu kumpulan rawatan yang berbeza yang sedang disiasat. Kajian jenis ini dianggap cara terbaik untuk menilai sama ada rawatan benar-benar berkesan iaitu benar-benar membantu pesakit. Ulasan sistematik meringkaskan secara sistematik RCT sedia ada tentang sesuatu subjek.

Seramai 6811 wanita menyertai kajian tersebut. Kajian-kajian membandingkan histerektomi faraj berbanding abdomen (12 kajian, 1046 wanita), laparoskopi berbanding histerektomi perut (28 kajian, 3431 wanita), laparoskopi berbanding histerektomi faraj (22 kajian, 2135 wanita), laparoskopi berbanding histerektomi bantuan robot, tiga kajian,296 wanita) dan laparoskopi berbanding pembedahan endoskopik transluminal orifis semula jadi (dua kajian, 96 wanita). Terdapat juga kajian yang disertakan di mana pelbagai jenis histerektomi laparoskopi dibandingkan termasuk port tunggal berbanding port multipel (tujuh kajian, 613 wanita) dan histerektomi laparoskopi total berbanding histerektomi faraj bantuan laparoskopi (tiga kajian, 233 wanita). Hasil-hasil utama adalah kembali kepada aktiviti normal, kepuasan, kualiti hidup dan komplikasi pembedahan.

Keputusan utama

Kami mendapati histerektomi faraj membolehkan kembali kepada aktiviti normal lebih cepat berbanding histerektomi abdominal. Jika kembali kepada aktiviti normal selepas histerektomi abdominal diandaikan selama 42 hari, maka selepas histerektomi faraj ia adalah antara 24 dan 38 hari. Kami tidak pasti sama ada terdapat perbezaan antara kumpulan untuk hasil utama yang lain. Walau bagaimanapun, data bukan bilangan mungkin mencadangkan kualiti hidup yang diperbaik selepas histerektomi faraj berbanding histerektomi abdominal.

Histerektomi laparoskopi juga mungkin mengakibatkan kembali kepada aktiviti normal lebih cepat daripada histerektomi abdominal. Berdasarkan penemuan kami, jika kembali kepada aktiviti normal selepas histerektomi abdominal diandaikan 37 hari, selepas histerektomi laparoskopi ia akan menjadi antara 22 dan 25 hari. Walau bagaimanapun, histerektomi laparoskopi mungkin dikaitkan dengan risiko lebih besar untuk merosakkan ureter (tiub yang membawa air kencing dari buah pinggang ke pundi kencing). Jika kadar kecederaan ureter semasa histerektomi abdominal diandaikan 0%, maka semasa histerektomi laparoskopi adalah antara 0% dan 2%. Kami tidak pasti sama ada terdapat perbezaan antara laparoskopi dan histerektomi faraj, antara laparoskopi dan histerektomi bantuan robot, atau antara laparoskopi dan pembedahan orifis semula jadi untuk hasil utama kami. Banyak kajian tidak menyertakan maklumat tentang kepuasan pesakit atau kualiti hidup.

Kami membuat kesimpulan histerektomi faraj patut dilaksanakan apabila sesuai. Di mana histerektomi faraj tidak boleh dilakukan, pendekatan laparoskopi mempunyai kelebihan berbanding histerektomi abdominal tetapi lebih berisiko untuk kecederaan ureter. Kebaikan dan keburukan ini harus disertakan dalam proses membuat keputusan dengan pesakit.

Bukti adalah terkini sehingga Disember 2022.

Kepastian bukti

Kami berkeyakinan rendah atau sederhana terhadap bukti untuk kebanyakan perbandingan. Batasan utama adalah pelaporan kaedah kajian yang lemah dan bukti berdasarkan kes keadaan/jenis peristiwa yang kecil.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Denise Chai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information