Preskripsi antibiotik tertangguh untuk jangkitan saluran respiratori

Soalan ulasan

Adakah penangguhan preskripsi antibiotik berbanding preskripsi segera atau tiada antibiotik mengurangkan bilangan antibiotik yang diambil untuk orang dengan jangkitan saluran respiratori termasuk sakit tekak, jangkitan telinga tengah, batuk (bronkitis) dan selesema biasa?

Latar belakang

Mengunakan terlalu banyak antibiotik meningkatkan risiko reaksi buruk dan menyebabkan kos penjagaan kesihatan yang lebih tinggi dan meningkatkan rintangan antibakteria. Satu strategi untuk mengurangkan penggunaan antibiotik yang tidak diperlukan adalah dengan penyediaan preskripsi antibiotik, dengan nasihat untuk menangguh mengisi preskripsi tersebut. Pemberi ubat menilai antibiotik tidak diperlukan segera, dengan harapan simptom akan hilang tanpa antibiotiok.

Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan antibiotik tertunda dengan antibiotik segera atau tiada antibiotik untuk jangkitan saluran respiratori, tidak kira sama ada antibiotik diperlukan atau tidak. Kami juga menilai penggunaan antibiotik, kepuasan pesakit, rintangan antibiotik, kadar perundingan semula dan penggunaan terapi tambahan. Ini adalah kemaskini ulasan pertama yang diterbitkan pada 2007 dan dikemaskini pada 2010, 2013 dan 2017.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga 20 Ogos 2022.

Ciri-ciri kajian

Kami sertakan 12 kajian dengan sejumlah 3968 peserta, di mana data daripada 3750 tersedia untuk penilaian strategi mempreskripsi bagi orang dengan pelbagai jangkitan saluran respiratori. Sebelas daripada kajian-kajian tersebut membandingkan strategi menangguh antibiotik dengan antibiotik segera . Lima kajian membandingkan antibiotik tertangguh dengan tanpa antibiotik. Daripada 12 kajian, enam memasukkan kanak-kanak sahaja (1569 peserta), dua memasukkan orang dewasa sahaja (589 peserta), dan empat memasukkan kanak-kanak dan dewasa (1596 peserta). Kajian baharu yang disertakan dalam kemas kini ini mendaftarkan 448 peserta, dan 436 telah dianalisis berikutan aplikasi kriteria pengecualian.

Sumber pembiayaan kajian

Dua kajian dibiaya oleh syarikat farmaseutikal, dua kajian tidak menerangkan sumber pembiayaan dan baki lapan kajian dibiaya oleh institusi negeri atau kolej pakar.

Keputusan utama

Penggunaan antibiotik adalah paling besar dalam kumpulan antibiotik segera (93%), diikuti oleh antibiotik tertangguh (29%) dan tiada antibiotik (13%).

Kepuasan pesakit adalah serupa bagi orang yang menerima antibiotik tertangguh (88% berpuas hati) berbanding antibiotik segera (90% berpuas hati), tetapi lebih daripada tanpa antibiotik (86% berbanding 81% berpuas hati).

Tiada perbezaan di antara antibiotik segera , tertangguh dan tanpa antibiotik untuk kebanyakan simptom termasuk demam, sakit, rasa tidak sihat, batuk dan hidung berair. Perbezaan hanyalah kecil dan menyokong antibiotik segera untuk melegakan sakit, demam, dan hidung berair bagi sakit tekak; dan sakit dan rasa tidak sihat bagi jangkitan telinga tengah. Berbanding tiada antibiotik, antibiotik tertangguh memberi pengurangan kecil jangka masa sakit, demam, dan batuk berterusan dalam kalangan orang dengan selesema. Terdapat sedikit perbezaan dalam kesan buruk antibiotik dan tiada perbezaan signifikan dalam komplikasinya.

Pada bulan pertama selepas perundingan awal, dua kajian menunjukkan peserta tidak mungkin lebih cenderung untuk kembali dan berjumpa doktor bagi kumpulan preskripsi tertangguh atau segera . Kecuali bulan pertama, satu kajian mendapati para peserta tidak lebih cenderung untuk berjumpa doktor dalam 12 bulan selepas preskripsi yang tertangguh atau segera bagi jangkitan saluran respiratori yang lain, dan satu lagi kajian mendapati peserta lebih cenderung untuk kembali berjumpa doktor dalam tempoh 12 bulan akan datang jika mereka mendapat preskripsi segera berbanding preskripsi tertangguh .

Dua kajian melibatkan kanak-kanak dengan otitis media akut melaporkan penggunaan ubat-ubatan lain dalam kumpulan antibiotik tertangguh dan segera . Tiada perbezaan dalam penggunaan ibuprofen, parasetamol dan titisan otik di dalam satu kajian. Dalam kajian yang satu lagi, kurang sudu parasetamol digunakan dalam kumpulan antibiotik segera berbanding kumpulan antibiotik tertangguh pada hari kedua dan ketiga selepas penampilan awal kanak-kanak. Tiada kajian-kajian yang disertakan menilai herba atau bentuk ubat pelengkap lain.

Tiada kajian-kajian yang disertakan menilai rintangan antibiotik.

Kepastian bukti

Keyakinan kami terhadap bukti hanya sederhana kerana kebimbangan orang dalam kajian tidak ditempatkan secara rawak ke dalam kumpulan rawatan yang berbeza. Ini bermakna perbezaan antara kumpulan mungkin disebabkan oleh perbezaan antara peserta dan bukannya antara rawatan. Mungkin orang dalam kajian-kajian mengetahui rawatan yang mereka diberikan. Tidak semua kajian menyediakan data tentang semua yang kami minati.

Apabila doktor berasa selamat untuk tidak mempreskrib antibiotik segera , menasihat untuk tidak memberi antibiotik tetapi untuk kembali jika simptom tidak hilang, daripada menangguhkan antibiotik, akan mengurangkan penggunaan antibiotik tetapi boleh mengurangkan kepuasan pesakit. Menggunakan strategi antibiotik tertangguh tetap akan mengurangkan penggunaan antibiotik dengan signifikan berbanding penggunaan antibiotik segera .

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Dikemaskini oleh Khoo Jing Hern (Manipal University College Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej UNiversiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information