Mesej utama
Fisioterapi dada berdasarkan teknik hembusan perlahan berupaya meredakan keterukan penyakit dalan bayi dengan bronkiolitis akut sederhana teruk.
Apakah bronchiolitis akut, dan apakah peranan fisioterapi dada dalam keadaan ini?
Bronkiolitis akut adalah jangkitan pernafasan virus yang kerap berlaku pada bayi yang berumur kurang daripada dua tahun. Kebanyakan bayi mempunyai penyakit ringan dan tidak memerlukan rawatan perubatan khusus atau kemasukan ke hospital. Walau bagaimanapun, mereka yang mempunyai penyakit tahap sederhana atau teruk mungkin mengalami pengumpulan cecair dalam saluran pernafasan (rembesan lendir), serta bengkak (edema) atau saluran udara yang sempit (bronkospasme), yang menjadikannya sukar untuk mengeluarkan kahak.
Fisioterapi dada mampu membantu dalam penyingkiran rembesan respiratori dan menambahbaiki pernafasan. Terdapat tiga jenis teknik fisioterapi dada untuk pengurusan pembersihan saluran pernafasan: teknik getaran dan perkusi, teknik hembusan paksaan, dan teknik hembusan pasif perlahan. Selain itu, terdapat bukti yang muncul mengenai teknik pelepasan retrograd rhinopharyngeal dan teknik pelepasan instrumental, secara bersendirian atau dalam gabungan dengan teknik fisioterapi lain.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Tujuan kajian ini adalah untuk menentukan keberkesanan fisioterapi dada dalam melegakan bronchiolitis akut dalam bayi berusia antara 0 dan 24 bulan, dan juga untuk menentukan keberkesanan teknik fisioterapi dada yang berbeza.
Apa yang telah kami lakukan?
Kami mencari semua kajian rawak terkawal (sejenis kajian di mana peserta dibahagikan secara rawak kepada salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang membandingkan intervensi fisioterapi dada dengan kawalan atau jenis fisioterapi lain, dan melihat keberkesanannya mengikut jenis teknik dan tahap keterukan penyakit bronchiolitis.
Apa yang telah kami temui?
Kami memasukkan 17 kajian, dengan sejumlah 1679 peserta. Lima kajian (246 bayi) diuji dengan teknik getaran dan perkusi (fisioterapi dada konvensional); tiga kajian (628 bayi) diuji dengan teknik ekspirasi paksa; dan sembilan kajian (805 bayi) diuji dengan teknik ekspirasi perlahan. Dua kajian (80 bayi) diuji dengan teknik fisioterapi instrumental, dan tiga kajian (216 bayi) diuji dengan teknik pelepasan retrograd rhinopharyngeal (dua digabungkan dengan teknik ekspirasi perlahan dalam 116 bayi). Keterukan penyakit tersebut dalam bayi adalah ringan dalam satu kajian, teruk dalam empat kajian, sederhana dalam enam kajian, dan ringan hingga sederhana dalam lima kajian. Satu kajian tidak melaporkan tahap keterukan penyakit pada bayi. Dua kajian telah dilakukan ke atas bayi yang ambulatori (bukan hospital), dan selebihnya dilakukan ke atas bayi yang dimasukkan ke hospital.
Kami tidak menjumpai kesan fisioterapi konvensional terhadap keterukan penyakit bayi dengan bronkiolitis sederhana. Teknik ekspirasi paksa juga gagal menunjukkan kesan ke atas keterukan bronkiolitis kepada bayi dengan penyakit yang teruk, manakala kesan buruk yang penting telah dilaporkan. Kami mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap bukti ini, dan kajian baharu kelihatan tidak mampu untuk mencabar keputusan-keputusan tersebut. Teknik ekspirasi perlahan menunjukkan peningkatan ringan hingga sederhana dalam tahap keparahan bronkiolitis, kebanyakannya dalam bayi dengan bronkiolitis sederhana, berdasarkan bukti kepastian rendah (kajian masa depan mungkin mencabar keputusan ini). Juga, satu kajian menunjukkan peningkatan dalam masa untuk pemulihan dengan teknik hembusan perlahan dalam bayi dengan bronkiolitis sederhana. Tiada kesan ditunjukkan atau dilaporkan untuk hasil klinikal lain seperti tempoh tinggal di hospital, tempoh suplemen oksigen, penggunaan bronkodilator atau tanggapan ibu bapa tentang manfaat daripada fisioterapi.
Apakah batasan bukti?
Walaupun kesan positif ditemui untuk beberapa jenis fisioterapi dada, kebanyakan kajian direka dengan buruk, yang secara langsungnya memberi impak atas kepastian dan kebolehpercayaan keputusan. Untuk beberapa teknik, bukti kajian untuk kesannya adalah kurang pasti. Tambahan pula, bilangan peserta yang lebih besar, intervensi yang lebih lama, dan pelaporan kesan buruk yang lebih baik diperlukan sebelum sebarang kesimpulan yang kukuh dapat dicapai.
Bukti-bukti adalah kukuh untuk jenis fisioterapi yang lebih tua atau lebih mantap (getaran dan perkusi dan teknik hembusan paksa) yang diberikan kepada bayi yang dimasukkan ke hospital. Bukti adalah terhad untuk teknik ekspirasi perlahan, dan hanya anekdot untuk teknik terbaru (pelepasan retrograd rhinopharyngeal dan teknik pelepasan instrumental), yang telah diterokai dalam beberapa kajian. Hanya terdapat sedikit bukti tentang keberkesanan fisioterapi dada dalam kalangan bayi yang tidak dirawat di hospital.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini hingga 20 April 2022.
Diterjemahkan oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my