Soalan ulasan
Kami menyiasat sejauh mana penyusuan susu ibu atau susu ibu tambahan (susu ibu yang diekstrak dan diberikan melalui tiub pemakanan atau dimasukkan ke dalam mulut bayi) berkesan sebagai penahan sakit bagi bayi baru lahir semasa menjalani prosedur-prosedur yang menyakitkan (contohnya suntikan vaksin, cucukan tumit, pengambilan darah untuk ujian atau pemeriksaan mata). Tindak balas kesakitan bayi (contohnya perubahan kadar jantung, tahap oksigen, tekanan darah, peratusan masa menangis, tempoh menangis dsb) telah dinilai oleh para profesional penjagaan kesihatan untuk mengukur kesakitan yang dialami oleh bayi.
Latar belakang
Penyusuan susu ibu mungkin melegakan kesakitan bagi bayi baru lahir yang menjalani prosedur yang menyakitkan. Ubat-ubatan untuk mengurangkan kesakitan biasanya diberikan untuk prosedur besar yang menyakitkan, tetapi mungkin tidak diberikan untuk prosedur kecil yang menyakitkan seperti pengambilan darah (dengan cucukan tumit atau mengambil sampel dari urat). Terdapat pelbagai strategi bukan ubat yang boleh digunakan untuk mengurangkan kesakitan pada bayi, seperti memegang atau membalut mereka, menghisap puting, atau memberi minuman manis (seperti sukrosa atau glukosa). Pelbagai kajian dilakukan terhadap bayi baru lahir telah menunjukkan bahawa penyusuan susu ibu mungkin menjadi cara yang baik untuk mengurangkan kesakitan yang dirasai oleh mereka apabila menjalani prosedur kecil yang menyakitkan. Kajian ini telah dijalankan pada bayi yang lahir cukup bulan, dan ia telah menunjukkan bahawa penyusuan susu ibu mungkin berkesan dengan memperlihatkan bahawa ia mengurangkan masa bayi menangis dan pelbagai skor kesakitan yang telah disahkan untuk bayi. Susu ibu yang diberikan melalui picagari tidak menunjukkan keberkesanan yang sama seperti penyusuan susu ibu secara langsung. Sangat sedikit kajian yang dijalankan pada bayi pramatang, oleh itu kajian baru diperlukan untuk menentukan sama ada penggunaan susu ibu tambahan pada bayi-bayi kecil ini berkesan dalam mengurangkan kesakitan mereka.
Ciri-ciri kajian
Kami telah melakukan pencarian yang teliti dalam penulisan perubatan sehingga 1 Ogos 2022 untuk kajian yang mengkaji kesan pengurangan kesakitan akibat penyusuan susu ibu atau susu ibu tambahan bagi prosedur perubatan kecil pada bayi yang baru lahir cukup bulan dan pramatang. Kami memasukkan kajian rawak sahaja, kerana ia menyediakan bukti perubatan yang paling boleh dipercayai. Kami mengenalpasti 66 kajian yang melaporkan sejumlah lebih dari 6200 bayi dalam Ulasan Cochrane ini. Tiga puluh enam kajian menilai penyusuan susu ibu, 29 kajian menilai susu ibu tambahan, manakala satu kajian membandingkan kedua-duanya antara satu sama lain. Dalam lebih separuh daripada kajian tersebut, pengurangan kesakian berlaku semasa prosedur cucukan tumit. Dalam kajian lain, ia berlaku semasa prosedur vaksinasi, pengambilan darah dari urat atau prosedur lain. Kajian menggunakan pelbagai kumpulan perbandingan, seperti plasebo, tiada intervensi, pegangan ibu, sentuhan kulit-ke-kulit, jumlah air yang serupa, puting, penjagaan rutin, pelbagai kepekatan sukrosa atau glukosa, ‘selitan berbantu’ (memegang bayi dalam posisi fleksibel dengan tangan rapat di badan dan tangan diletakkan untuk menggalakkan penyusuan), pembalut, menghangatkan tumit, krim bius untuk kulit, atau gabungan daripada ini. Kajian menggunakan pelbagai skala kesakitan serta perubahan dalam kadar denyutan jantung dan tekanan darah dan tempoh menangis untuk menilai kesakitan.
Sumber dana kajian
Kajian yang dimasukkan dalam ulasan tersebut tidak mendapat dana luar menurut maklumat yang diberikan dalam laporan.
Keputusan utama
Bayi baru lahir dalam kumpulan penyusuan susu ibu mengalami kadar denyutan jantung yang lebih rendah, tempoh menangis yang lebih singkat, peratusan masa menangis yang lebih rendah, dan skor yang lebih rendah dalam Skala Sakit Neonatal Bayi berbanding bayi-bayi yang tidak menerima sebarang intervensi. Kepekatan glukosa/sukrosa yang sederhana mungkin mempunyai keberkesanan yang serupa dengan penyusuan susu ibu. Kajian-kajian tentang susu ibu tambahan menunjukkan keputusan yang berbeza-beza. Susu ibu tambahan didapati menyebabkan peningkatan kadar denyutan jantung yang lebih rendah berbanding dengan air, dan tempoh menangis yang lebih singkat berbanding plasebo.
Apakah batasan bukti
Kami mempunyai keyakinan sederhana bahawa penyusuan susu ibu mengurangkan kesakitan seperti yang dinilai melalui kadar denyutan jantung, tempoh menangis atau skala kesakitan yang disahkan berbanding dengan tiada intervensi. Susu ibu tambahan untuk prosedur-prosedur yang menyakitkan mungkin mengurangkan kesakitan berbanding dengan tiada intervensi atau plasebo.
Oleh kerana jumlah kumpulan perbandingan yang tinggi, ukuran-ukuran kesakitan yang lain dinilai dalam sebilangan kecil kajian. Majoriti kajian tidak melaporkan sebarang kesan rawatan yang tidak diingini atau berbahaya. Mereka yang melaporkannya tidak mengenalpasti sebarang kesan tidak diingini atau berbahaya daripada rawatan pada mana-mana bayi.
Diterjemahkan oleh Lee Jie Min (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my