Apakah manfaat dan risiko intervensi farmakologi untuk gatal-gatal dalam kalangan pesakit penjagaan paliatif dewasa?

Pruritus atau gatal-gatal adalah salah satu simptom yang paling membingungkan dalam penyakit lanjut yang tidak boleh diubati dan boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada pesakit. Pruritus berpunca dari berbilang faktor dan boleh menjadi simptom pelbagai patofisiologi. Terutamanya di sepanjang dekad yang lalu, pemerhatian klinikal dan ujian terkawal telah banyak membantu pemahaman dan rawatan pruritus, khususnya dalam penyakit hati, uraemia dan lain-lain jenis pruritus kronik. Oleh itu, ulasan ini bertujuan untuk mengumpul dan menilai bukti secara sistematik bagi rawatan pruritus yang sesuai dalam bidang penjagaan paliatif.

Mesej utama

- untuk pruritus (gatal) yang berkait dengan penyakit buah pinggang, kami dapati pengurangan pruritus bagi intervensi farmakologi berikut berbanding plasebo: Analog GABA (gabapentin, pregabalin) cenderung menyebabkan lebih besar pengurangan pruritus, agonis kappa-opioid (difelikefalin, nalbuphine, nalfurafine) mengurangkan sedikit pruritus, natrium cromolyn, minyak ikan/asid lemak omega-3, dan capsaicin topikal boleh mengakibatkan pengurangan besar pruritus, dan montelukast mungkin mengakibatkan pengurangan besar pruritus, tetapi buktinya sangat tidak pasti.

- untuk pruritus (gatal) yang berkait dengan penyakit hati kami mendapati rifampicin dan flumecinol berbanding plasebo boleh mengurangkan pruritus, tetapi buktinya sangat tidak pasti.

- penyelidikan dalam penjagaan paliatif adalah mencabar dan sering terbatas kepada tempoh masa terhad di akhir hayat. Lebih banyak kajian berkualiti tinggi untuk mencegah dan merawat pruritus (gatal) diperlukan.

Apakah pruritus?

Pruritus adalah istilah perubatan untuk gatal-gatal. Gejala ini boleh menjadi masalah besar dalam penjagaan paliatif kerana ia mengurangkan kualiti hidup. Pruritus mungkin terjadi berkaitan dengan pelbagai penyakit seperti penyakit buah pinggang kronik, penyakit hati atau kanser.

Bagaimanakah pruritus dirawat?

Bergantung kepada punca, pruritus boleh dirawat dengan intervensi farmakologi, bukan farmakologi dan topikal.

Apakah yang ingin kami tahu?

Kami ingin tahu jika intervensin farmakologi lebih baik daripada plasebo atau intervensi kawalan aktif lain untuk memperbaik pruritus. Kami juga ingin tahu jika intervensi farmakologi dikaitkan dengan sebarang kesan yang tidak diingini.

Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian klinikal yang berkualiti tinggi ubat untuk mencegah atau merawat pruritus dalam penjagaan paliatif. Kami bandingkan dan rumuskan keputusan kajian-kajian tersebut dan menilai keyakinan terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami dapati?

Kami mendapati 91 kajian menguji 51 ubat/aplikasi berbeza dalam kalangan 4652 orang dengan pruritus. Kajian terbesar melibatkan 373 orang dan kajian terkecil adalah lapan orang. Kajian-kajian tersebut berlangsung di pelbagai negara iaitu Eropah, Amerika Utara dan Asia. Kebanyakan kajian berlangsung sekitar empat hingga lapan minggu. Syarikat farmaseutikal membiayai 17 (19%) daripada 91 kajian.

Pada masa ini terapi antipruritik ideal adalah kurang. Walau bagaimanapun, terdapat cukup kajian-kajian untuk menunjukkan kesan bagi punca gatal tertentu. GABA-analog (gabapentin, pregabalin), agonis kappa-opioid (difelikefalin, nalbuphine, nalfurafine), montelukast, asid lemak minyak ikan/omega-3, natrium cromolyn dan capsaicin topikal (semuanya berbanding plasebo) memperbaik gatal yang berkait dengan penyakit buah pinggang kronik, dan rifampicin (berbanding plasebo atau kawalan aktif) dan flumecinol (berbanding plasebo) memperbaik gatal yang berkait dengan masalah hati. Secara keseluruhan, kebanyakan ubat menyebabkan sedikit kesan sampingan yang ringan. Naltrexone menunjukkan kesan sampingan yang paling banyak.

Apakah batasan bukti?

Terdapat beberapa batasan bukti. Paling penting, kebanyakan orang dalam kajian mengetahui rawatan yang mereka terima. Tambahan pula, kajian-kajian dijalankan dalam pelbagai jenis orang dan cara penilaian yang berbeza untuk menyampaikan intervensi.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemaskini ulasan yang terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga Julai 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wan Anisa Hnim Binti Mohd Nasir@Azman (Klinik Pergigian Kok Lanas). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information