Kortikosteroid topikal untuk merawat phimosis untuk kanak-kanak lelaki

Soalan ulasan

Adakah kortikosteroid topikal berkesan untuk rawatan phimosis pada kanak-kanak lelaki?

Apakah phimosis?

Phimosis adalah keadaan di mana kulit yang melindungi kepala zakar (kulup) tidak boleh ditarik sepenuhnya ke belakang (ditarik balik). Phimosis adalah normal semasa lahir dan selalunya membetulkan sendiri tanpa rawatan. Ini dikenali sebagai phimosis kongenital atau fisiologi. Phimosis juga boleh disebabkan oleh parut pada kulup, keadaan yang dipanggil phimosis patologi. Ia boleh menjadi sukar untuk membezakan antara kedua-dua jenis. Satu daripada sepuluh kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun dan satu daripada 100 kanak-kanak lelaki berumur 16 tahun mempunyai phimosis.

Bagaimanakah phimosis dirawat?

Operasi untuk mengeluarkan atau melebarkan kulup (berkhatan dan plasti prepuce) telah digunakan secara meluas pada masa lalu untuk merawat phimosis. Walau bagaimanapun, krim dan salap yang mengandungi kortikosteroid (ubat yang mengurangkan keradangan dan mengehadkan atau menghentikan aktiviti sistem imun) telah menunjukkan hasil yang menjanjikan. Ini menawarkan bentuk rawatan yang kurang invasif dan mungkin mengehadkan keperluan untuk pembedahan dalam kalangan sesetengah kanak-kanak lelaki.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada krim atau salap kortikosteroid (kortikosteroid topikal) adalah lebih baik daripada rawatan palsu (plasebo) atau tiada rawatan untuk meningkatkan hasil berikut.

• Penarikan sepenuhnya kulup
• Penarikan separa kulup
• Perubahan dalam skor kebolehtarikhan
• Penyelesaian lengkap phimosis jangka panjang
• Kesan yang tidak diingini pada kawasan yang dirawat atau bahagian badan yang lain

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang melihat kortikosteroid topikal berbanding plasebo atau tiada rawatan pada kanak-kanak lelaki (berumur lahir hingga 18 tahun) dengan phimosis. Kami hanya memasukkan kajian rawak terkawal, di mana kanak-kanak lelaki diberikan sama ada kortikosteroid atau plasebo/tiada rawatan secara rawak. Kami telah bandingkan dan merumuskan hasil keputusan daripada kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor - faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami temui?

Kami mendapati 14 kajian rawak, termasuk 1459 kanak-kanak lelaki. Kajian memasukkan kanak-kanak lelaki yang berumur berbeza (18 hari hingga 17 tahun), dengan pelbagai jenis dan darjah phimosis. Kajian menggunakan pelbagai jenis kortikosteroid, dan tempoh rawatan berbeza dari empat hingga lapan minggu.

Keputusan utama

Kami mendapati bahawa kortikosteroid topikal berbanding plasebo atau tiada rawatan boleh meningkatkan kekerapan penarikan balik lengkap dan separa kulup selepas empat hingga lapan minggu rawatan. Kortikosteroid topikal juga boleh meningkatkan kebarangkalian penarikan balik sepenuhnya kulup yang diukur enam bulan selepas rawatan. Kami tidak pasti tentang kesan kortikosteroid pada kebolehtarikan kulup berbanding plasebo. Hanya dua kajian melaporkan kesan yang tidak diingini di tapak rawatan (daripada 11 kajian yang mengukur kesan yang tidak diingini). Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara kortikosteroid dan plasebo atau tiada rawatan sekiranya berlaku kesan yang tidak diingini.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai sedikit atau sangat sedikit keyakinan terhadap bukti kerana kebanyakan penerbitan memberikan penerangan yang tidak mencukupi tentang kaedah kajian; kerana terdapat perbezaan penting antara kanak-kanak lelaki yang termasuk dalam kajian (umur, betapa teruknya phimosis) dan antara rawatan yang digunakan (jenis kortikosteroid, tempoh rawatan); dan kerana beberapa keputusan adalah sangat tidak tepat.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemaskini ulasan terdahulu kami yang telah diterbitkan pada 2014. Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini. Diterjemah oleh Ahmad Shauqi Mohammad Norizan. Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information