Soalan ulasan
Kami ingin mengetahui apakah kesan supplemen vitamin E (pada pelbagai dos) terhadap kekerapan pesakit sistik fibrosis mengalami masalah kesihatan akibat kekurangan vitamin E.
Latar belakang
Dianggarkan sebanyak 85% hingga 90% pesakit sistik fibrosis tidak menghasilkan enzim yang cukup dalam pankreas mereka dan tidak dapat menyerap lemak ketika mencerna makanan; mereka juga mungkin menghadapi masalah dalam penyerapan vitamin larut lemak A, D, E dan K. Sekiranya tahap vitamin E terlalu rendah, ini boleh menyebabkan penyakit darah dan masalah dengan sistem saraf, ingatan dan kemahiran berfikir.
Tarikh carian
Carian terakhir kami adalah pada 20 Julai 2020.
Ciri-ciri kajian
Kami mengenalpasti empat kajian melibatkan 141 peserta; dua daripadanya adalah dalam kanak-kanak (berumur enam bulan hingga 14.5 tahun) dan dua lagi tidak menyatakan usia peserta. Mereka yang mengambil bahagian dalam kajian menerima suplemen vitamin E dalam bentuk yang berbeza (sama ada larut dalam air atau larut dalam lemak), plasebo (bahan yang tidak mengandungi ubat) atau tanpa suplemen. Tiga kajian menyatakan bahawa rawatan untuk setiap individu adalah dipilih secara rawak, tetapi hanya satu kajian yang mengatakan bahawa individu dibahagikan kepada kumpulan yang berbeza.
Hasil utama
Vitamin E larut air
Bukti daripada satu kajian (45 peserta) menunjukkan bahawa suplemen dapat meningkatkan kadar vitamin E dalam darah selepas enam bulan. Keputusan yang sama dilihat pada tempoh seawal satu bulan (dua kajian, 32 peserta) dan tiga bulan (satu kajian, 45 peserta). Hanya satu kajian (45 peserta) melaporkan berat badan pada bulan pertama dan keenam, tetapi tidak menunjukkan perbezaan antara suplemen dan plasebo pada kedua-dua waktu ini.
Vitamin E larut lemak
Dua kajian (36 peserta) melaporkan tahap serum vitamin E yang lebih tinggi selepas satu bulan suplemen vitamin E larut lemak berbanding tanpa rawatan, tetapi kajian lain (36 peserta) tidak menemukan perbezaan antara suplemen dan tiada rawatan selepas tiga bulan.
Tiada kajian dalam mana-mana perbandingan yang melaporkan keputusan vitamin E yang telah dirancang untuk hasil nisbah lipid total, kejadian gangguan kekurangan spesifik vitamin E, fungsi paru-paru atau kualiti hidup.
Oleh kerana kajian-kajian menggunakan bentuk suplemen dan dos yang berbeza, adalah sukar untuk menggabungkan hasilnya dan menerapkannya pada populasi sistik fibrosis yang lebih luas. Hasil kajian menunjukkan bahawa suplemen vitamin E boleh meningkatkan tahap vitamin E dalam pesakit sistik fibrosis, tetapi kualiti buktinya adalah rendah.
Kajian akan datang perlu melihat pada hasil yang lebih spesifik seperti status vitamin E, fungsi paru-paru dan status pemakanan, terutamanya dalam pesakit yang sedang menerima rawatan enzim pankreas dan suplemen vitamin E. Mereka juga boleh melihat kepada tahap terbaik suplemen vitamin E yang memberi kesan klinikal yang paling efektif.
Kualiti bukti
Kami menilai bukti sebagai berkualiti rendah berdasarkan sebab berikut. Kami tidak berpendapat bahawa individu yang mengambil bahagian dalam kajian ini dapat mengetahui sama ada mereka menerima suplemen atau placebo, maka ini tidak akan mempengaruhi hasilnya; walaupun mereka mungkin mengetahui sekiranya mereka mengambil suplemen atau tidak mengambil apa-apa. Kami tidak dapat mengetahui dari maklumat yang kami peroleh sama ada sebahagian besar kajian yang dirancang membolehkan semua individu mempunyai peluang yang sama untuk berada dalam mana-mana kumpulan. Kami juga tidak dapat mengetahui apakah ada yang dapat meneka terlebih dahulu dalam kumpulan mana mereka akan berada. Ia juga tidak jelas apakah ada hasil yang dilaporkan untuk semua orang yang mengambil bahagian dalam kajian ini dan sebab mengapa ada individu yang mungkin menarik diri dari kajian ini. Kami tidak mengetahui sekiranya fakta-fakta ini akan mempengaruhi keyakinan kami terhadap hasilnya.
Diterjemahkan oleh Che Suhaili Che Taha (Universiti Sultan Zainal Abidin). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Sebarang pertanyaan sila hubungi chesuhaili@unisza.edu.my