Pengurusan pembedahan prolaps organ pelvik dalam kalangan wanita

Soalan ulasan

Intervensi pembedahan prolaps faraj apikal manakah yang memberi hasil-hasil terbaik?

Latar belakang

Prolaps faraj apikal adalah penurunan rahim atau bahagian atas faraj (vault) selepas histerektomi. Terdapat pelbagai rawatan pembedahan, dan tiada garis panduan untuk mengesyorkan yang terbaik.

Ciri-ciri kajian

Lima puluh sembilan kajian rawak terkawal (RCT) menilai 6705 yang menjalani pembedahan untuk prolaps faraj apikal. Perbandingan paling lazim adalah di antara pembedahan faraj dan kolpopeksi sakral (prosedur abdominal yang menggantungkan bahagian atas vagina kepada sakrum dengan graf) (tujuh RCT), pembedahan faraj dengan atau tanpa jaringan (tujuh RCT), histerektomi faraj berbanding penggantungan abdominal (enam RCT), dan pelbagai jenis atau laluan kolpopeksi sakrum (lapan RCT). Bukti adalah terkini sehingga Mac 2022.

Keputusan utama

Bagi mereka yang mengalami prolaps berulang selepas histerektomi, kolpopeksi sakrum (prosedur abdominal) dikaitkan dengan kadar kesedaran prolaps yang lebih rendah, pembedahan ulangan untuk prolaps, prolaps semasa pemeriksaan, dan inkontinens stres urinari (SUI) berbanding prosedur faraj. Jika 8% wanita sedar tentang prolaps selepas kolpopeksi sakrum, 18% (16% hingga 32%) mungkin lebih cenderung sedar selepas prosedur faraj. Jika 6% wanita perlukan pembedahan prolaps ulangan selepas kolpopeksi sakrum, 14% (8% to 18% akan memerlukannya selepas prosedur faraj. Jika 17% wanita mempunyai SUI selepas kolpopeksi sakrum 31% (19% hingga 49%) akan mengalaminya selepas pembedahan apikal faraj.

Kolpopeksi sakrum boleh diguna dalam kalangan mereka dengan prolaps rahim dengan cara berikut: dengan pemeliharaan rahim (histeropeksi sakrum), dengan histerektomi subtotal (badan rahim dikeluarkan, dan serviks dikekalkan) atau selepas histerektomi total. Walau bagaimanapun, data yang terhad tidak dapat memastikan sebarang manfaat jika dibanding dengan intervensi faraj alternatif.

Bukti yang terhad tidak menyokong penggunaan jaringan transvagina berbanding pembaikan tisu asli tanpa jaringan (pembaikan faraj menggunakan sutur). Bukti adalah tidak tepat, tetapi mencadangkan jika 18% wanita sedar tentang prolaps selepas pembedahan tanpa jaringan, antara 6% dan 59% akan menyedarinya selepas pembedahan dengan jaringan. Jika 10% wanita perlukan pembedahan ulangan untuk prolaps selepas pembedahan tanpa jaringan, 3% hingga 11% akan berbuat demikian selepas pembedahan dengan jaringan. Kami tidak menemui bukti jelas pembedahan dengan jaringan mengurangkan prolaps berulang. Jaringan dikaitkan dengan kadar 17.5% jaringan terdedah (jaringan terhakis ke dalam faraj).

Bukti adalah tidak konklusif bagi pembandingan di antara pembedahan yang memelihara rahim dengan histerektomi faraj, dan pelbagai akses laluan untuk melakukan kolpopeksi sakrum.

Kepastian bukti

Kepastian kualiti bukti adalah dari sangat rendah hingga sederhana. Pembatasan termasuklah ketidaktepatan, laporan kaedah kajian yang lemah, dan ketidakkonsistenan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Denise Chai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Dikemaskini. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information