Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin membandingkan keberkesanan latihan pundi kencing dengan rawatan lain untuk orang dewasa dengan pundi kencing terlampau aktif (overactive bladder, OAB).
Latar belakang
OAB ialah keadaan kronik biasa yang melibatkan kerap membuang air kecil pada waktu siang, membuang air kecil semasa tidur, dan desakan mengejut untuk membuang air kecil dengan atau tanpa inkontinens urinari (kencing yang tidak disengajakan). Keadaan ini menurunkan kualiti hidup dan mengakibatkan beban ekonomi yang ketara kepada masyarakat. Latihan pundi kencing ialah terapi tingkah laku yang menetapkan matlamat rawatan dan menggunakan teknik untuk mengubah suai gerak balas yang tidak sesuai terhadap desakan untuk membuang air kecil. Matlamatnya adalah untuk memperbaik gejala OAB dengan meminimumkan desakan yang kerap untuk membuang air kecil. Walaupun garis panduan klinikal mengesyorkan latihan pundi kencing untuk merawat OAB, tiada ulasan yang menilai keberkesanan secara sistematik.
Apa yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang mengkaji latihan pundi kencing dalam tujuh intervensi berikut: 1. berbanding dengan tanpa rawatan, 2. berbanding dengan ubat-ubatan yang dipanggil antikolinergik, 3. berbanding dengan ubat-ubatan yang dipanggil agonis β3-adrenoseptor, 4. berbanding dengan latihan otot lantai pelvis (pelvic floor muscle training, PFMT; pengukuhan otot-otot di sekeliling pundi kencing, dubur, dan faraj atau zakar), 5. kombinasi dengan antikolinergik berbanding dengan antikolinergik sahaja, 6. kombinasi dengan agonis β3-adrenoseptor berbanding dengan agonis β3-adrenoseptor sahaja, dan 7. kombinasi dengan PFMT berbanding dengan PFMT sahaja.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 15 kajian yang layak melibatkan 2007 peserta. Kebanyakan peserta adalah wanita. Kajian membandingkan latihan pundi kencing dengan tiga perbandingan: tiada rawatan, antikolinergik, dan PFMT dalam kalangan orang dewasa dengan OAB. Tiada kajian yang mengkaji empat perbandingan lain. Tujuh kajian telah dibiayai awam. Dua kajian menerima geran daripada syarikat ubat-ubatan. Enam kajian tidak mengisytiharkan sumber pembiayaan mereka.
Keputusan utama
Latihan pundi kencing berbanding tiada rawatan : latihan pundi kencing boleh menyembuhkan atau memperbaik gejala OAB, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusannya. Latihan pundi kencing boleh mengurangkan bilangan episod inkontinens. Kami mendapati tiada kajian yang membantu kami untuk menjawab soalan tentang kesan-kesan yang lain.
Latihan pundi kencing berbanding antikolinergik : latihan pundi kencing boleh menyembuhkan atau memperbaik gejala OAB lebih daripada antikolinergik. Kami tidak mengetahui sama ada latihan pundi kencing mempunyai impak terhadap kesan-kesan yang lain, dan kami menemui tiada kajian yang membantu kami menjawab soalan tentang kepuasan yang dilaporkan oleh pesakit.
Latihan pundi kencing berbanding PFMT : latihan pundi kencing mungkin memberi sedikit hingga tiada perbezaan terhadap kualiti hidup atau bilangan episod inkontinens setiap 24 jam. Satu-satunya kajian yang melihat kesan sampingan melaporkan tiada kejadian. Tidak jelas sama ada latihan pundi kencing mempunyai kesan terhadap episod kencing. Kami menemui tiada kajian yang mengukur kesan yang lain.
Apakah batasan bukti?
Kebanyakan kajian yang disertakan adalah terhad disebabkan bilangan peserta yang kecil dan pelaporan butiran kajian yang lemah, yang membawa kepada ketidakpastian terhadap bukti. Bukti setakat ini tidak mencukupi untuk menunjukkan keberkesanan latihan pundi kencing bagi merawat OAB dan lebih banyak kajian yang direka dengan baik diperlukan untuk mencapai kesimpulan yang kukuh.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Bukti adalah terkini setakat 6 November 2022.
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my u sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my).