Imunoterapi berbanding kemoterapi untuk merawat kanser pundi kencing yang tidak boleh dibedah atau metastatik

Soalan ulasan

Bagaimanakah imunoterapi (ubat baharu yang berfungsi melalui sistem imun badan) berbanding kemoterapi (ubat yang membunuh sel kanser) pada penghidap kanser pundi kencing atau sistem kencing atas yang telah merebak ke seluruh badan atau prosedur pembedahan tidak boleh dilaksanakan kerana tahap lanjut.

Latar belakang

Sehingga beberapa tahun yang lalu, rawatan kanser pundi kencing yang telah merebak ke organ lain di luar saluran kencing (kanser pundi kencing metastatik) terdiri daripada satu daripada hanya beberapa kemoterapi menggunakan ubat-ubatan yang dipanggil cisplatin atau carboplatin (kemoterapi yang mengandungi platinum). Kini rawatan kanser pundi kencing metastatik termasuk beberapa imunoterapi baharu. Imunoterapi menggunakan sistem imun badan untuk menghalang tumor daripada membesar, atau mungkin mengecutkannya. Ulasan ini telah melihat kepada bukti imunoterapi sebagai rawatan pertama (barisan pertama) atau kemudian (barisan kedua) untuk kanser pundi kencing metastatik, dan membandingkannya dengan kemoterapi.

Ciri-ciri kajian

Kami telah memasukkan kajian bukan rawak dan kajian rawak terkawal (di mana orang ditugaskan kepada kumpulan secara kebetulan) dalam ulasan Cochrane ini, kerana beberapa kelulusan oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab adalah berdasarkan kajian bukan rawak. Kami hanya memasukkan kajian rawak terkawal dalam analisis kami.

Keputusan utama

Kami telah mengenal pasti lima kajian rawak dan tujuh kajian bukan rawak yang menangani soalan ulasan kami, tetapi kami hanya menganalisis kajian rawak. Peserta dalam kajian ini mempunyai peringkat lanjutan tempatan (kanser yang telah merebak dari tempat ia bermula ke tisu berdekatan dan tidak dapat dikeluarkan melalui pembedahan) atau kanser pundi kencing metastatik.

Rawatan barisan pertama: imunoterapi untuk rawatan kanser pundi kencing yang lebih lanjut atau metastatik, berbanding dengan kemoterapi, mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas risiko kematian akibat sebarang sebab (jika 750 daripada 1000 orang yang menjalani kemoterapi mati dalam tempoh tiga tahun, akan ada 11 orang lebih sedikit [antara 45 lebih sedikit dan 26 lebih ramai] daripada 1000 pada imunoterapi yang meninggal dunia). Imunoterapi mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan (diukur menggunakan skala mata dari 0 hingga 156, kualiti hidup pada orang dengan imunoterapi hanya 4.1 mata lebih baik secara purata). Imunoterapi mungkin mengurangkan kesan sampingan yang serius (jika 908 daripada 1000 orang yang menjalani kemoterapi mempunyai kesan sampingan yang serius dalam tempoh satu tahun, akan terdapat 481 orang lebih sedikit [antara 644 lebih sedikit dan 227 lebih sedikit] daripada 1000 orang yang menggunakan imunoterapi dengan kesan sampingan yang serius).

Rawatan barisan kedua: imunoterapi boleh mengurangkan risiko kematian daripada sebarang sebab (jika 920 daripada 1000 orang yang menjalani kemoterapi meninggal dunia dalam tempoh tiga tahun, akan terdapat 59 orang lebih sedikit [antara 95 lebih sedikit dan 28 lebih sedikit] daripada 1000 orang akibat imunoterapi yang meninggal dunia). Kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan mungkin tidak terjejas oleh imunoterapi (diukur menggunakan skala mata dari 0 hingga 100, kualiti hidup orang dengan imunoterapi hanya 4.8 mata lebih baik secara purata). Imunoterapi mungkin mengurangkan kesan sampingan yang serius (jika 630 daripada 1000 orang yang menjalani kemoterapi mempunyai kesan sampingan yang serius dalam tempoh satu tahun, akan terdapat 15 orang lebih sidikit [antara 76 lebih sedikit dan 126 lebih sedikit] daripada 25 orang yang menggunakan imunoterapi dengan kesan sampingan yang serius).

Batasan utama bukti

Bergantung pada hasil, kami mempunyai keyakinan yang rendah hingga sederhana terhadap bukti.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Tools
Information