Mesej utama
PDE5i mungkin mengurangkan sedikit kekerapan dan tempoh serangan fenomena Raynaud, dan boleh meningkatkan penilaian keseluruhan pesakit terhadap penyakit mereka, tetapi mungkin mendatangkan sedikit perbezaan dalam kesakitan berbanding orang yang mengambil pil palsu (plasebo). Tidak jelas sama ada PDE5i mempunyai kesan ke atas tahap keparahan serangan.
Berbanding dengan orang yang dirawat dengan plasebo, orang yang dirawat dengan PDE5i lebih cenderung untuk menghentikan rawatan lebih awal tetapi mungkin mempunyai kadar bahaya yang tidak diingini yang sama.
Apakah fenomena Raynaud?
Fenomena Raynaud adalah penyakit yang mengakibatkan penurunan aliran darah ke jari tangan dan kaki. Simptom termasuk perubahan warna, sakit, dan dalam kes yang teruk, ulser (luka terbuka) pada jari tangan atau kaki. Sejuk, tekanan, dan ketidakselesaan emosi adalah pencetus serangan Raynaud paling kerap. Fenomena Raynaud primer tidak mempunyai penyakit asas yang berkaitan dengannya, manakala fenomena Raynaud sekunder dikaitkan dengan penyakit tisu-tisu penghubung asas seperti sklerosis sistemik (skleroderma) atau lupus (lupus erythematosus sistemik).
Bagaimanakah fenomena Raynaud dirawat?
Phosphodiesterase 5 inhibitors (PDE5i) adalah kelas ubat yang digunakan dalam rawatan disfungsi erektil dan tekanan darah tinggi dalam paru-paru. PDE5i mungkin berkesan dalam fenomena Raynaud dengan meningkatkan aliran darah ke bahagian kaki. Kajian yang termasuk dalam ulasan ini telah menaksir empat ubat PDE5i.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada PDE5i lebih baik daripada pil palsu (plasebo) untuk memperbaiki fenomena Raynaud. Kami juga ingin menyiasat sama ada kaedah ini mempunyai sebarang kesan yang tidak diingini.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan PDE5i dengan plasebo pada penghidap fenomena Raynaud. Kami telah membandingkan dan merangkumkan hasil kajian serta menilai keyakinan kami terhadap bukti tersebut, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami telah menjumpai sembilan kajian ke atas sejumlah 411 orang, kebanyakannya perempuan. Kebanyakan orang dalam kajian mempunyai fenomena Raynaud sebagai tambahan kepada sklerosis sistemik. Tempoh kajian adalah antara empat hingga lapan minggu. Kajian telah dijalankan di India, Jerman, dan Brazil.
Kami mendapati bahawa:
- orang yang mengambil PDE5i mengalami tiga serangan yang lebih sedikit dalam seminggu (21) berbanding mereka yang mengambil plasebo (24).
- tempoh purata serangan fenomena Raynaud adalah lima minit lebih pendek dengan PDE5i berbanding plasebo (50 berbanding 55 minit).
- kami tidak pasti sama ada PDE5i mengurangkan keterukan serangan
- mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam jumlah kesakitan pada mereka mengambil PDE5i berbanding yang mengambil plasebo (2.9 berbanding 3.0 mata pada skala 0 hingga 10 iaitu peningkatan 1%).
- orang yang mengambil PDE5i melaporkan peningkatan keseluruhan 36% dalam penyakit mereka berbanding mereka yang mengambil plasebo.
- orang yang mengambil PDE5i mungkin mempunyai kadar peristiwa-peristiwa serius yang tidak diingini yang sama yang menyebabkan kemudaratan berbanding mereka yang mengambil plasebo (2% dengan PDE5i dan 4% dengan plasebo).
- orang yang mengambil PDE5i berkemungkinan besar untuk menghentikan rawatan lebih awal (julat 4% hingga 20% dalam kajian berbeza) berbanding mereka yang mengambil plasebo (2%).
Apakah batasan bukti?
Kami mempunyai keyakinan yang rendah terhadap bukti kerana kajian adalah kecil dan keputusan adalah berbeza-beza.
Sejauh mana bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Jun 2022.
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.