Mesej utama
• Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara lubiprostone dan plasebo (rawatan cubaan) dalam mencapai kejayaan rawatan pada kanak-kanak yang mengalami sembelit yang sukar dikawal. Kami juga menemui bahawa lubiprostone mungkin selamat seperti plasebo.
• Kemungkinanan terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara prucalopride, juga sejenis julap, dan plasebo dalam kekerapan membuang air besar setiap hari, kejayaan rawatan, dan keselamatan.
• Tidak jelas sama ada mana-mana rawatan yang lain yang kami lihat dapat membantu. Buktinya tidak pasti kerana bilangan peserta kajian yang sangat rendah dan terdapat masalah dengan cara penyelidikan dilaporkan.
• Pada masa ini, tiada definisi yang dipersetujui untuk sembelit yang sukar dikawal. Untuk membangunkan bukti lanjut mengenai terapi untuk sembelit yang sukar dikawal, para penyelidik mesti menggunakan definisi yang sama. Kami menggalakkan usaha lanjut untuk menghasilkan definisi yang dipersetujui.
Apakah sembelit yang sukar dikawal?
Sembelit dalam kalangan kanak-kanak adalah masalah biasa. Jika doktor tidak dapat mencari punca asas untuk gejala tersebut, ia dipanggil sembelit berfungsi. Gejala sembelit termasukkah kekerapan membuang air besar yang lebih rendah, inkontinensia usus atau kotoran, dan sakit perut. Sembelit boleh menjadi ringan dan bertindak balas dengan baik terhadap rawatan standard , seperti perubahan tingkah laku atau julap. Namun, ia juga boleh menjadi lebih serius atau lebih lama. Kami mentakrifkan sembelit sukar dikawal sebagai sembelit yang berterusan walaupun diberikan rawatan standard.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui rawatan mana yang membantu dan selamat untuk merawat kanak-kanak (antara 0 dan 18 tahun) yang mengalami sembelit yang tidak bertindak balas terhadap rawatan perubatan standard (sembelit sukar dikawal). Tahap sembelit yang melampau ini boleh memberi kesan kepada kehidupan kanak-kanak dengan cara yang sangat negatif seperti tidak pergi ke sekolah dan aktiviti harian yang lain boleh menyebabkan kesakitan, ketidakselesaan, dan kepayahan umum kepada mereka; serta perlu pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Oleh itu, terdapat keperluan untuk melihat sama ada terapi yang diuji boleh membantu menyelesaikan masalah tersebut.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mempertimbangkan sebarang ubat, prosedur pembedahan atau terapi untuk membantu kanak-kanak yang mengalami sembelit yang sukar dikawal. Setiap kajian membandingkan rawatan khusus dengan plasebo, tiada rawatan, atau rawatan lain. Kami ingin mengetahui sama ada rawatan-rawatan tersebut meningkatkan kekerapan membuang air besar, menambahbaik gejala, atau membawa kepada kejayaan rawatan . Kami juga ingin mengetahui sama ada rawatan-rawatan tersebut selamat, jadi kami melihat sama ada ia menyebabkan kesan sampingan. Kami telah mencari kajian rawak terkawal (kajian di mana pesakit dibahagikan secara rawak secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) membandingkan mana-mana terapi perubatan, pembedahan atau pelengkap berbanding tiada rawatan, plasebo atau rawatan lain pada kanak-kanak yang mengalami sembelit yang sukar dikawal.
Apakah yang telah kami temui?
Kami telah menemui 10 kajian yang melibatkan sejumlah 1278 kanak-kanak. Umur purata peserta kajian adalah antara 5 hingga 10 tahun. Kajian-kajian tersebut telah dijalankan di Iran, Brazil, Colombia, Amerika Syarikat, Kanada, Australia, dan beberapa negara Eropah. Kajian dijalankan dalam tempoh satu hingga enam bulan.
Kajian-kajian tersebut membuat perbandingan berikut:
• suntikan botox berbanding pelembut najis;
• eritromisin berbanding plasebo;
• lubiprostone berbanding plasebo;
• natrium dioktil sulfosuksinat rektum dan sorbitol berbanding julap polietilena glikol oral ;
• terapi biomaklum balas berbanding tiada rawatan;
• suntikan botox elektromotif intrarektal berbanding suntikan botox biasa;
• suntikan botox berbanding miektomi sfinkter dubur dalaman;
• prucalopride berbanding plasebo;
• rangsangan elektrik transkutaneus berbanding rangsangan palsu ; dan
• diet Mediterranean yang ditetapkan oleh pakar diet dengan arahan bertulis berbanding arahan bertulis.
Keputusan utama
• Kemungkinan terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara lubiprostone dan plasebo dalam mencapai kejayaan rawatan, dan mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kejadian buruk untuk perbandingan ini.
• Kemungkinan terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara prucalopride dan plasebo dalam kekerapan membuang air besar, kejayaan rawatan dan kejadian buruk.
• Kami tidak tahu sama ada mana-mana rawatan yang lain yang dikaji dalam ulasan ini adalah lebih selamat atau lebih bermanfaat daripada yang lain.
Apakah batasan bukti?
Bukti adalah terhad disebabkan oleh bilangan peserta yang kecil dalam kajian yang terlibat, dan oleh sebab setiap kajian melihat perbandingan yang berbeza, mengakibatkan kedua-duanya memberikan bukti yang tidak tepat. Terdapat juga isu tentang cara kajian dijalankan yang membawa kepada kekhuatiran bahawa keputusan kajian mungkin berat sebelah.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini adalah terkini sehingga Jun 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologgi MARA).