Ubat penahan sakit selain opiod untuk menangani kesakitan kepada bayi yang menjalani prosedur yang menyakitkan

Mesej utama

• Kami tidak menemui bukti yang mencukupi mengenai ubat penahan sakit bukan opiod untuk menangani kesakitan kepada bayi yang menjalani prosedur yang menyakitkan. Kami mendapati hanya dua kajian kecil yang membandingkan ubat penahan sakit (ketamin) dengan ubat penahan sakit lain (opioid) atau cecair manis bagi menjalani prosedur yang berbeza.

• Kajian yang lebih besar mengenai pelbagai ubat penahan sakit adalah diperlukan untuk memberikan pemahaman yang lebih baik tentang faedah dan mudarat ubat penahan sakit yang berbeza-beza dan cara terbaik untuk memberikannya.

Apakah yang kami ingin tahu?

Bayi, terutamanya yang dilahirkan terlalu awal atau tidak sihat, mungkin menjalani banyak prosedur yang menyakitkan semasa berada di hospital. Adalah tidak jelas ubat penahan sakit manakah yang terbaik untuk melegakan kesakitan dengan cukup dan selamat. Kami memberi tumpuan khusus pada kajian yang menilai ubat anti-radang bukan steroid (NSAID) seperti ibuprofen, dan antagonis reseptor N-metil-D-aspartat (NMDA) seperti ketamin, untuk bayi semasa prosedur yang menyakitkan. Kami ingin mengetahui bagaimana ubat penahan sakit mempengaruhi tahap kesakitan kepada bayi semasa prosedur dan sebarang kesan sampingan yang disebabkan oleh ubat penahan sakit.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan:

• Antagonis reseptor NMDA (contohnya ketamin) atau NSAID (contohnya ibuprofen) berbanding tanpa rawatan, plasebo (rawatan palsu), cecair manis oral, atau intervensi yang bukan ubat penahan sakit;

• satu ubat penahan sakit berbanding ubat penahan sakit lain; atau

• cara-cara lain untuk memberikan ubat penahan sakit yang sama (contohnya melalui mulut atau vena).

Kami menilai kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan kaedah kajian.

Apa yang kami dapati?

Kami mendapati dua kajian yang melibatkan sejumlah 269 bayi yang menjalani prosedur yang menyakitkan. Satu kajian yang dijalankan di Nigeria membandingkan pemberian ketamin dengan sirap gula melalui mulut untuk berkhatan. Kajian lain, yang dijalankan di India, membandingkan fentanil dengan ketamin yang diberikan melalui vena semasa rawatan laser untuk penyakit mata. Dalam kedua-dua kajian, bayi yang menerima ketamin mempunyai skor kesakitan yang lebih rendah; walau bagaimanapun, kajian menggunakan kaedah yang berbeza dan menilai prosedur yang berbeza, menjadikannya sukar untuk membuat sebarang kesimpulan. Kajian terakhir juga memberikan bukti yang tidak jelas mengenai kesan rawatan terhadap masalah pernafasan dan tekanan darah.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak yakin dengan bukti dan sangat tidak pasti tentang keputusan kerana kajian-kajian yang disertakan terhad, bersaiz kecil, dan menggunakan kaedah yang berkemungkinan menghasilkan ralat.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini setakat Jun 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information