Mencegah tromboembolisme vena dalam kalangan wanita semasa mengandung, melahirkan anak dan selepas kelahiran

Kami berhasrat menentukan daripada kajian rawak terkawal manfaat dan mudarat rawatan semasa kehamilan, melahirkan anak, dan selepas kelahiran untuk mencegah gumpalan darah vena dalam kalangan wanita yang berisiko tinggi.

Apakah isunya?

Gumpalan darah boleh terbentuk di dalam vena dalam, biasanya di kaki. Ini dikenali sebagai trombosis vena dalam, atau DVT. Jika sebahagian daripada gumpalan darah itu pecah, ia boleh dibawa dalam darah ke paru-paru dan menyekat saluran darah di sana. Ini dipanggil embolisme pulmonari (PE), dan boleh menyebabkan kematian, walaupun ini jarang berlaku. Semua ini secara bersama dikenali sebagai penyakit tromboembolisme vena (VTE). Sistem pembekuan darah wanita lebih aktif semasa hamil untuk melindungi daripada pendarahan yang berlebihan semasa melahirkan anak. Sesetengah wanita yang mempunyai risiko lebih tinggi untuk VTE semasa mengandung dan sekitar masa melahirkan anak termasuk wanita yang pernah mengalami VTE sebelumnya, trombofilia (keadaan yang menyebabkan orang lebih cenderung untuk membentuk gumpalan darah) dan selepas melahirkan anak secara pembedahan caesar.

Mengapakah ini penting?

Wanita yang berisiko tinggi untuk mengalami VTE semasa mengandung dan dalam tempoh enam minggu selepas melahirkan anak biasanya diberikan rawatan untuk mencegah gumpalan darah. Rawatan berbeza-beza kerana kekurangan garis panduan yang jelas. Rawatan untuk mencegah VTE termasuk ubat jenis heparin, aspirin dan pemakaian stoking mampatan untuk meningkatkan pengaliran darah di kaki. Sesetengah rawatan berpotensi membahayakan wanita, contohnya, dengan meningkatkan kehilangan darah selepas melahirkan anak atau mengganggu penyembuhan luka.

Apakah bukti yang telah kami temui?

Ini adalah kemas kini Ulasan Cochrane yang diterbitkan pada 2014. Kami mencari bukti baru pada Oktober 2019. Dua puluh sembilan kajian rawak terkawal melibatkan 3839 wanita kini disertakan. Kajian-kajian itu diterbitkan daripada 1975 hingga 2016 dan kebanyakannya dijalankan di negara berpendapatan tinggi. Kajian menyertakan wanita yang berisiko tinggi mendapat VTE yang mengandung, semasa melahirkan anak, dan selepas kelahiran. Rawatan yang dinilai termasuk jenis dan dos heparin yang berbeza (heparin berat molekul rendah dan heparin tidak terpecah), dan stoking atau peranti mampatan. Tiada kematian berlaku. Penemuan yang dilaporkan disokong oleh bukti yang berkepastian sangat rendah.

Memulakan rawatan semasa kehamilan (dengan atau tanpa rawatan selepas melahirkan anak): kami melihat kepada berlakunya VTE dengan gejala dan kesan-kesan buruk yang menyebabkan wanita menghentikan rawatan. Sebarang faedah heparin tidak jelas apabila dibandingkan dengan tanpa rawatan atau plasebo (dinilai oleh sehingga empat kajian dengan 476 wanita). Begitu juga, untuk pelbagai jenis heparin (dinilai oleh sehingga empat kajian dengan 404 wanita), pelbagai dos heparin berat molekul rendah (oleh satu kajian dengan 144 wanita), dan untuk stoking mampatan berbanding dengan tanpa stoking (oleh satu kajian dengan 44 wanita ).

Untuk rawatan semasa dan selepas melahirkan anak melalui faraj atau pembedahan caesar: kami sangat tidak pasti tentang kesan heparin apabila dibandingkan dengan tiada rawatan terhadap berlakunya VTE dengan gejala (dinilai oleh satu kajian dengan 210 wanita). Kajian ini tidak melaporkan kesan buruk yang menyebabkan wanita menghentikan rawatan.

Untuk rawatan semasa dan selepas kelahiran secara pembedahan caesar: kami sangat tidak pasti tentang kesan heparin berbanding dengan tanpa rawatan atau plasebo (dinilai oleh sehingga lima kajian dengan 1140 wanita). Kajian melihat kepada pelbagai jenis atau dos heparin, dan peranti mampatan berbanding dengan berehat di katil (oleh satu kajian dengan 49 wanita). Tiada kesan buruk setelah pemberhentian rawatan dilaporkan.

Melihat kepada rawatan selepas melahirkan melalui faraj atau pembdahan caesar: tiada VTE dengan gejala dilaporkan dalam kalangan wanita yang menerima sama ada heparin atau tiada rawatan atau plasebo dalam dua kajian (58 wanita). Tiada kajian melaporkan kesan buruk yang menyebabkan wanita menghentikan rawatan.

Apakah maksudnya?

Kami sangat tidak pasti sekiranya manfaat rawatan yang digunakan untuk mencegah gumpalan darah vena dalam kalangan wanita berisiko tinggi semasa mengandung dan sekitar masa melahirkan anak melebihi sebarang mudarat. Sebilangan kecil kajian telah disertakan di dalam perbandingan dengan pelbagai kesan yang diukur dan bilangan kejadian yang rendah. Sesetengah kajian mempunyai batasan rekabentuk dan definisi faktor risiko pembekuan darah dan kesannya adalah tidak selalunya jelas. Lebih banyak kajian yang besar dan berkualiti tinggi diperlukan.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my, untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my).

Tools
Information