Bolehkah intervensi psikososial mengurangkan ubat antipsikotik dalam kalangan penghuni rumah jagaan?

Mesej utama

Kami tidak pasti sama ada intervensi psikososial secara umumnya merupakan cara yang berkesan untuk mengurangkan penggunaan ubat antipsikotik di rumah jagaan. Penyelidikan menggunakan pelbagai pendekatan namun menunjukkan keputusan yang tidak seragam, tetapi ternyata sukar untuk mengitlakkan keputusan untuk sistem penjagaan kesihatan dan sosial yang berbeza. Tiada bukti bahawa intervensi psikososial menyebabkan kejadian berbahaya seperti terjatuh atau kemasukan ke hospital.

Mengapakah penghuni pusat jagaan diberikan ubat antipsikotik?

Ramai penghuni rumah jagaan menghidap demensia, mengalami gangguan emosi atau masalah tingkah laku pada suatu masa semasa menghidap penyakit tersebut, tetapi ia lebih kerap berlaku pada tahap penyakit lanjut. Gejalanya mungkin amat teruk dan merunsingkan, untuk kedua-dua penghuni itu sendiri dan untuk penjaga mereka dan ia termasuklah kegelisahan, keresahan dan merayau-rayau, berhalusinasi (melihat atau mendengar perkara yang tidak wujud), dan tingkah laku ganas terhadap orang lain. Penjaga dicabar oleh tingkah laku mencabar penduduk dan dengan menganalisis punca, penjurus, atau akibat daripada tingkah laku tersebut.

Ubat antipsikotik kerap digunakan untuk mengawal gejala dan tingkah laku ini. Ubat-ubatan ini digunakan terutamanya untuk merawat penyakit yang berkaitan dengan keadaan psikotik (iaitu masalah kesihatan mental yang menyebabkan pesakit melihat atau menanggap sesuatu perkara berbeza daripada orang lain), tetapi juga untuk penyakit lain dengan gejala yang sama dengan psikosis, seperti demensia. Adalah diketahui bahawa ubat-ubatan ini tidak selalunya berkesan dan ia boleh memberi kesan berbahaya kepada penghidap demensia. Oleh itu, garis panduan mencadangkan bahawa ia hanya boleh digunakan apabila strategi tanpa ubat-ubatan tidak berkesan.

Apakah yang kami ingin tahu?

Oleh kerana faedah terhad dan potensi bahaya ubat antipsikotik pada penghidap demensia, terdapat banyak minat untuk mencari cara untuk mengurangkan penggunaan antipsikotik di rumah jagaan. Cara ini boleh termasuklah, sebagai contoh, faktor organisasi, latihan kakitangan, atau intervensi lain. Kami berminat pada pendekatan psikososial, yang bertumpu pada cara penjagaan pesakit diatur dan disampaikan, dan menggalakkan strategi alternatif tanpa ubat-ubatan. Intervensi ini selalunya terdiri daripada komponen yang berbeza, seperti pendidikan untuk kakitangan, penyemakan ubat oleh pakar, dan sokongan serta aktiviti tambahan untuk penghuni. Intervensi ini boleh meningkatkan kesejahteraan penghuni rumah jagaan, atau meningkatkan kemahiran kakitangan untuk menyokong penghuni dengan demensia. Satu pendekatan dipanggil penjagaan berpusatkan orang, bertujuan untuk menekankan keperluan setiap orang untuk dilayan sebagai individu dan menerima perhatian keperluan individu mereka.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan intervensi psikososial yang direka untuk mengurangkan penggunaan ubat antipsikotik dengan penjagaan biasa. Kami melihat kesan intervensi ini pada bilangan pesakit yang diberikan ubat antipsikotik serta ukuran kesihatan mental dan kesihatan jasmani serta kualiti hidup penghuni. Kami juga melihat maklumat berkenaan kejadian berbahaya seperti terjatuh dan kemasukan ke hospital.

Kami merumuskan keputusan kajian dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui lima kajian yang melibatkan 120 rumah jagaan dengan 8342 penghuni. Satu kajian telah dijalankan di AS, satu di Kanada, dua di UK, dan satu di Jerman. Kajian-kajian itu berlangsung selama enam hingga 12 bulan. Semua intervensi dalam kajian-kajian tersebut melibatkan pendidikan kakitangan jururawat dan ahli pasukan lain. Dua kajian secara khusus mempromosikan penjagaan berpusatkan orang dan satu lagi menyiasat penjagaan berpusatkan orang dengan intervensi tambahan (senaman, aktiviti sosial, atau semakan ubat).

Keputusan utama

Kami memutuskan bahawa kajian itu terlalu berbeza untuk menggabungkan keputusan mereka. Secara keseluruhannya, kami tidak dapat memastikan bahawa intervensi psikososial membawa kepada kurang penggunaan ubat antipsikotik kerana keputusan kajian tidak seragam. Dua kajian yang terawal mendapati intervensi mereka dapat mengurangkan penggunaan ubat antipsikotik. Salah satu daripada ini menggunakan intervensi pendidikan dan satu lagi intervensi untuk mempromosikan penjagaan berpusatkan orang di rumah jagaan di UK. Percubaan kemudian untuk mengulangi intervensi ini di Jerman tidak berjaya. Kajian yang melihat kesan pendekatan tambahan pada rawatan berpusatkan orang menemui bahawa semakan ubat tambahan (tetapi bukan senaman atau aktiviti sosial tambahan) boleh mengurangkan penggunaan ubat antipsikotik. Kajian akhir intervensi pendidikan untuk kakitangan mendapati tiada kesan terhadap ubat antipsikotik.

Tiga kajian memberikan maklumat tentang kesan berbahaya seperti risiko terjatuh atau kemasukan ke hospital, dan tidak ada bukti bahawa intervensi mereka menyebabkan kejadian ini. Kami juga tidak menemui bukti yang jelas tentang kesan intervensi pada ukuran kesihatan fizikal atau mental atau kualiti hidup yang lain.

Apakah batasan bukti?

Disebabkan bilangan kajian yang kecil, perbezaan antara kajian-kajian, dan keputusan kajian yang tidak seragam, tahap keyakinan kami terhadap keputusan ulasan ini adalah rendah. Kajian-kajian dijalankan di pelbagai negara yang berbeza di mana penjagaan biasa mungkin berbeza. Tidak semua kajian menyediakan data tentang semua aspek yang kami minati.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemaskini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga Julai 2022.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information