Mesej utama
- Mungkin tiada perbezaan klinikal penting antara kedua-dua kaedah pembedahan katarak dari segi komplikasi, ketajaman penglihatan (keupayaan untuk membezakan bentuk dan objek pada jarak tertentu) serta kualiti hidup.
- Pembedahan katarak berpandukan laser femtosecond (FLACS) adalah lebih mahal dan terdapat beberapa bukti yang menunjukkan bahawa pembedahan katarak fakoemulsifikasi (PCS) mungkin lebih kos efektif.
- Terdapat perbezaan dalam kaedah kajian melaporkan hasil kajian: pelaporan hasil yang diseragamkan dapat mempermudah perbandingan masa hadapan.
Apakah itu katarak?
Katarak adalah pengeruhan kanta di dalam mata. Ia merupakan penyebab utama kebutaan di dunia.
Apakah itu pembedahan katarak?
Pembedahan katarak merupakan salah satu pembedahan yang paling kerap dilakukan di seluruh dunia. Semasa pembedahan standard, pakar bedah membuka bahagian hadapan kapsul kanta (lapisan luar kanta atau 'kulit'), mengeluarkan bahan kanta keruh di dalam kapsul dan meletakkan kanta tiruan yang jelas di dalam beg kapsul yang tinggal. Matlamat pembedahan katarak berpandukan laser femtosecond (FLACS) adalah untuk menyediakan pengendalian langkah-langkah pembedahan katarak yang leih tepat. Peningkatan ketepatan kaedah pembedahan dapat memungkinkan hasil yang lebih baik atau tahap keselamatan yang lebih tinggi untuk pesakit yang menjalani pembedahan katarak.
Apakah yang kami ingin tahu?
Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui apakah faedah dan kemudaratan FLACS dibandingkan dengan PCS ultrasound standard.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan PCS dengan FLACS pada orang yang mengalami katarak berkaitan usia. Kami membandingkan dan meringkaskan keputusan kajian dan menilai tahap keyakinan kami terhadap kualiti bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Analisis ini telah menyertakan 42 kajian yang melibatkan seramai 5831 orang peserta. Kajian-kajian tersebut telah dijalankan di negara-negara di seluruh dunia; kebanyakannya dilakukan di benua Eropah (25 kajian). Semua kajian ini membandingkan FLACS dengan PCS dalam kalangan pesakit yang mempunyai katarak. Enam belas kajian sama ada dibiayai oleh pengeluar mesin laser atau pihak penyelidik melaporkan hubungan fiskal dengan badan pengeluar.
Secara keseluruhannya, terdapat beberapa ketidakpastian sama ada FLACS mengurangkan bilangan robekan kapsul kanta kerana terdapat sangat sedikit kes kejadian robekan kapsul dalam kedua-dua kaedah pembedahan katarak baik secara manual mahupun berpandukan laser dalam kajian-kajian ini. Berdasarkan data yang tersedia, sebarang perbezaan dari segi komplikasi kapsul dijangka kecil. Kapsul merupakan selaput halus yang pada asalnya meliputi kanta semula jadi yang kemudiannya akan mengandungi kanta tiruan sesudah pembedahan. Robekan kapsul boleh menjejaskan hasil visual selepas pembedahan katarak dan mungkin memerlukan pembedahan lanjut. Komplikasi lain juga jarang berlaku untuk pembedahan katarak yang dibantu laser dan standard. Berdasarkan data yang sedia ada, sebarang perbezaan dari segi hasil visual selepas pembedahan juga dijangka kecil.
Hanya tiga kajian melaporkan kesan pembedahan terhadap kualiti hidup peserta dan mungkin terdapat sedikit ataupung tiada sebarang perbezaan apabila kaedah FLACS dibandingkan dengan kaedah PCS.
FLACS ialah pilihan yang lebih mahal dan dua buah kajian melaporkan bahawa ia kurang kos efektif.
Apakah batasan bukti?
Keyakinan kami terhadap bukti adalah rendah kerana kebimbangan tentang fakta bahawa pesakit dan penilai mengetahui rawatan yang mereka terima atau sediakan, masing-masing. Tidak semua kajian menyediakan data tentang semua hasil berkepentingan kami. Akhir sekali, badan bukti tersebut juga hanya berasaskan kes kejadian yang sedikit dalam beberapa aspek.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Kami mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 10 Mei 2022.
Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).