Metformin untuk hiperplasia endometrium

Soalan ulasan

Adakah rawatan metformin berkesan dan selamat untuk wanita dengan hiperplasia endometrium?

Latar belakang

Kanser endometrium (kanser lapisan rahim) adalah kanser lazim yang mempengaruhi organ-organ pembiakan wanita di seluruh dunia. Hiperplasia endometrium (penebalan lapisan rahim) adalah keadaan prakanser dalam kalangan wanita yang boleh menyebabkan kanser endometrium jika tidak dirawat. Kejayaan rawatan wanita dengan hiperplasia endometrium boleh mencegah kanser endometrium. Hiperplasia endometrium biasanya dirawat dengan tablet hormon progesteron, memasukkan sistem pelepas levonorgestrel (LNG-IUS) ke dalam rahim, menasihati wanita dengan berat badan berlebihan untuk menurunkan berat badan, atau melakukan histerektomi untuk wanita yang tidak mahu hamil di masa hadapan.

Walau bagaimanapun, tablet progesteron dikaitkan dengan kesan sampingan dalam kalangan hampir 84% wanita, dan ini boleh menghalang wanita melengkapkan rawatan. Tablet progesteron juga tidak selalu berfungsi, dan hiperplasia endometrium boleh kembali dalam kalangan 14% hingga 30% wanita selepas rawatan. LNG-IUS dikaitkan dengan perdarahan faraj yang tidak teratur dalam kalangan hampir 82% wanita. Ramai wanita mendapati ia menyakitkan, atau tidak boleh diterima. Oleh itu, rawatan alternatif untuk hiperplasia endometrium diperlukan.

Metformin, tablet oral yang biasa diguna untuk merawat diabetis, telah menunjukkan penyembuhan hiperplasia endometrium dalam beberapa kajian manusia. Walaupun wanita yang mengambil metformin boleh mengalami kesan sampingan, ia biasanya boleh diterima. Jika wanita mengalami kurang kesan sampingan metformin berbanding tablet progesteron, dan jika metformin berkesan merawat hiperplasia endometrium, wanita akan lebih bersedia untuk melengkapkan rawatan, dan kadar penyembuhan akan diperbaik. Ini boleh mengurangkan jumlah wanita dengan kanser endometrium. Walau bagaimanapun, keberkesanan dan keselamatan metformin untuk merawat wanita dengan hiperplasia endometrium masih tidak pasti.

Ciri-ciri kajian

Para penyelidik menyertakan tujuh kajian rawak terkawal di mana sejumlah 387 wanita mengambil bahagian. Lima kajian membandingkan metformin dengan megestrol (sejenis progesteron), dan satu kajian membandingkan metformin ditambah megestrol dengan megestrol sahaja. Semua wanita dalam kajian menerima rawatan selama tiga hingga enam bulan. Bukti adalah terkini sehingga 5 September 2022.

Keputusan utama

Kajian-kajian tentang metformin sahaja berbanding megestrol sahaja tidak memberi cukup bukti untuk membezakan keberkesanan penyembuhan hiperplasia endometrium.

Kajian-kajian tentang metformin ditambah megestrol berbanding megestrol sahaja mendapati metformin boleh memperbaik dinding rahim yang menebal, tetapi bukti adalah tidak pasti tentang hasil-hasil lain .

Satu kajian kecil memberi bukti yang tidak cukup untuk menyokong atau menyangkal penggunaan metformin ditambah LNG-IUS atau LNG-IUS sahaja.

Kepastian bukti

Kami menilai kepastian bukti sebagai rendah hingga sangat rendah untuk semua hasil, kerana batasan dalam cara kajian direka bentuk dan saiz sampel yang kecil.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Dikemaskini oleh Cochrane Malaysia. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Tools
Information