Adakah meditasi membantu mencegah orang daripada menghidap penyakit kardiovaskular atau penyakit kardiovaskular bertambah teruk?

Mesej utama

· Kami melihat terutamanya dua jenis meditasi utama, intervensi berasaskan keprihatinan (MBI) dan meditasi transendental (TM), berbanding dengan menerima sesuatu yang lain atau tidak ada apa-apa (masing-masing dirujuk sebagai kumpulan perbandingan aktif dan tidak aktif). Kami mendapati keputusan yang tidak konsisten untuk banyak hasil yang diingini.

· Berbanding dengan pembanding yang tidak aktif, MBI mungkin mengurangkan tekanan, dan juga boleh mengurangkan kegelisahan dan kemurungan dan tekanan darah. TM boleh mengurangkan tekanan darah jika dibandingkan dengan pembanding aktif atau tidak aktif, dengan beberapa kajian yang melaporkan hasil psikologi. Keputusan akan lebih pasti dengan penambahan kajian lanjut yang dijalankan dengan baik.

Apa itu penyakit kardiovaskular?

Penyakit kardiovaskular (CVD) merangkumi beberapa penyakit jantung dan saluran darah yang berbeza, beberapa di antaranya disebabkan oleh masalah seperti kolesterol tinggi, ketidakaktifan fizikal, tekanan, diet yang buruk, berat badan berlebihan, merokok, atau minum alkohol. Secara keseluruhan, CVD adalah penyebab kematian utama di dunia.

Bagaimanakah meditasi dapat membantu?

Meditasi dapat membantu mengurangkan tahap tekanan seseorang, yang boleh memberi manfaat kepada mereka secara langsung (contohnya, dengan menurunkan tekanan darah), dan secara tidak langsung dengan membantu mereka mengelakkan cara yang tidak sihat untuk mengatasi tekanan (contohnya, merokok, minum alkohol, atau membuat pilihan makanan yang buruk).

Apakah jenis meditasi yang kita lihat?

Kami melihat kepada dua jenis meditasi utama untuk kajian ini:

· Intervensi berasaskan keprihatinan (MBI);

· Meditasi transendental (TM).

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada meditasi membantu:

· mengurangkan risiko kejadian klinikal CVD, seperti kematian, serangan jantung, strok, atau sakit dada;

· mengurangkan tekanan darah;

· memperbaik tekanan, kemurungan, kegelisahan, dan kesejahteraan;

· memperbaik ukuran darah seperti kolesterol dan kadar glukosa darah;

· mengurangkan berat badan;

· mengurangkan merokok;

· memperbaik kualiti hidup dan keupayaan orang untuk menghadapi dan mengatasi.

Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan meditasi dengan tanpa intervensi (pembanding tidak aktif) atau intervensi bukan farmakologi lain (pembanding aktif), pada orang yang berisiko tinggi menghidap CVD dan orang yang sudah mempunyai CVD. Kami menilai hasil untuk keseluruhan peserta dan secara berasingan untuk kedua-dua kumpulan ini.

Kami membanding dan merumus keputusan kajian tersebut serta menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang telah kami temui?

Kami mendapati 81 kajian yang melibatkan 6971 orang sama ada berisiko tinggi atau yang sudah mempunyai CVD. Kajian tersebut berlangsung antara 12 minggu dan lima tahun.

Hanya satu kajian MBI dan satu kajian TM yang melaporkan kejadian klinikal CVD, dan kami mendapati bahawa kedua-dua jenis meditasi mungkin mempunyai kesan yang sedikit atau tidak berkesan, tetapi kami sangat tidak pasti mengenai hasilnya.

Enam kajian (388 orang) yang membandingkan MBI dengan pembanding aktif mencadangkan bahawa ia mungkin memberi sedikit kesan atau tidak berkesan kepada tekanan darah, tetapi kami tidak pasti mengenai hasilnya. Keputusan dari lapan kajian (774 orang) mendapati bahawa TM mungkin mengurangkan tekanan darah sistolik berbanding dengan pembanding aktif, tetapi bukti untuk tekanan darah diastolik kurang pasti.

Jika dibandingkan dengan pembanding yang tidak aktif, orang yang mengamalkan keprihatinan (sembilan kajian, 379 orang) mungkin mengalami penurunan tekanan darah, tetapi hasilnya tidak konsisten. Apabila membandingkan TM dengan pembanding yang tidak aktif (2 kajian, 154 orang) kami mendapati bahawa TM boleh mengurangkan tekanan darah.

Kami mendapati bahawa mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kegelisahan, kemurungan, atau kesejahteraan antara MBI dan pembanding aktif. Enam kajian (357 orang) melaporkan bahawa tekanan mungkin bertambah baik pada orang yang mengamalkan keprihatinan. Lima kajian (421 orang) melaporkan sedikit atau tiada kesan terhadap kemurungan di kalangan orang yang mengamalkan TM berbanding dengan intervensi lain. Kami sangat tidak pasti mengenai kesan TM terhadap kegelisahan atau tekanan.

Jika dibandingkan dengan pembanding yang tidak aktif, orang yang mengamalkan keprihatinan mungkin mengalami pengurangan kegelisahan (sembilan kajian, 533 orang), kemurungan (15 kajian, 912 orang), dan tekanan (11 kajian, 708 orang), tetapi keputusannya tidak konsisten. Dua kajian (198 orang) melaporkan kemungkinan peningkatan kesejahteraan di kalangan orang yang mengamalkan keprihatinan, berbanding tanpa intervensi. Kami tidak menemui perbezaan dalam keputusan untuk tekanan darah, kegelisahan, kemurungan, dan tekanan, di mana kami mempunyai kajian yang cukup untuk membandingkan orang yang berisiko CVD dengan mereka yang mempunyai CVD yang mantap.

Satu kajian kecil melaporkan dua kesan MBI yang tidak diinginkan/buruk jika dibandingkan dengan pembanding yang tidak aktif. Seorang peserta mengalami vertigo sementara semasa bergulung kepala dalam pergerakan yang sedar dan pada yang lain MBI menyebabkan penampilan semula kenangan traumatik dan kemurungan yang terkawal. Peserta ini menerima kaunseling dan meneruskan MBI, yang mereka dapati bermanfaat.

Apakah batasan bukti?

Walaupun kami cuba mengelompokkan kajian mengikut jenis intervensi meditasi dan kumpulan perbandingan, supaya mereka lebih serupa untuk dianalisis, masih terdapat banyak ketidakkonsistenan dalam penemuan yang masih belum dijelaskan.

Sebilangan besar kajian berukuran kecil, dan kami tidak pasti seberapa baik mereka dijalankan, terutamanya disebabkan oleh pelaporan yang buruk.

Tarikh akhir carian pada bulan November 2021 adalah batasan ulasan. Walau bagaimanapun, pada bulan Mei 2023 kami mengkaji semula status 74 kajian yang sedang berjalan dan memberikan perinciannya. Sembilan kajian didapati telah selesai pada masa ini dan akan dinilai secara rasmi dalam kemas kini kajian ini.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga November 2021.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Lai Nai Ming (School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia).

Tools
Information